Thursday, August 28, 2014

"Rumah Mampu Tengok" pesat dibina di JB


Di kala kerajaan negeri Johor di bawah pimpinan Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sibuk merangka program untuk membina lebih banyak rumah mampu milik, namun apa yang sedang berlaku di Iskandar Malaysia ketika ini adalah sebaliknya.

Perkembangan di Iskandar Malaysia kini terutamanya di Johor Bahru dan Nusajaya menyaksikan kepesatan pembinaan satu lagi kategori perumahan khusus untuk golongan berkemampuan yang dipanggil oleh segelintir warga Johor Bahru "rumah mampu tengok".

Penduduk Johor Bharu menggelar kategori rumah itu sedemikian kerana harga yang ditawarkannya adalah jauh di luar kemampuan sebahagian besar daripada warga tempatan di negeri selatan tanah air ini.

"Harga-harga seunit kondominium yang ditawarkan oleh pemaju-pemaju itu mencecah RM800,000 bagi unit permulaan seluas 800 kaki persegi dan ke bawah manakala harga unit dengan keluasan 1000 kaki persegi dan berhadapan dengan laut pula akan melebihi RM1 juta."

"Sebab itu, saya dan penduduk JB yang lain menggelarkan kategori rumah ini sebagai 'rumah mampu tengok" kerana kita hanya mampu melihatnya dan tidak berkemampuan untuk memilikinya," menurut pekerja swasta, Hezree Abdul Samad, 35, kepada Malaysia Gazette hari ini.

Beliau yang sudah berumahtangga menjangkakan, kebanyakan atau kesemua daripada pembeli "rumah mampu tengok" itu adalah warga asing terutamanya dari Singapura serta China yang dilaporkan amat berminat untuk melabur di dalam sektor hartanah di Johor.

Menurut beberapa laporan media sebelum ini, dianggarkan terdapat lebih daripada 10 pemaju asing terutamanya daripada China dan Singapura sedang bergiat aktif di dalam sektor hartanah di Iskandar Malaysia dengan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) keseluruhan projek-projek mereka dianggarkan mencecah RM50 bilion.

Sejak dilancarkan pada 2006 sehingga kini, Iskandar Malaysia telah berjaya menarik sebanyak RM140 bilion pelaburan daripada dalam dan luar negara dengan 60 peratus daripada pelaburan yang diterimanya adalah di dalam sektor hartanah.

Lokasi projek-projek hartanah "rumah mampu tengok" oleh pemaju asing ini terletak di kawasan pesisir Selat Johor, berhadapan dengan Singapura.

Angka berkenaan projek hartanah asing di Iskandar Malaysia itu, bagaimanapun tidak termasuk projek-projek hartanah yang sedang dilaksanakan oleh pemaju tempatan seperti UEM Sunrise, Mah Sing Group, SP Setia, Damansara Realty, Johor Land dan lain-lain.

Syarikat hartanah tempatan juga tidak terkecuali turut serta dengan keghairahan membina ribuan rumah-rumah serta pangsapuri mewah di Iskandar Malaysia.

Menurut Hazree, harapannya untuk memiliki rumah di Johor Bahru kini bergantung kepada program-program seperti Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) oleh kerajaan negeri Johor atau Skim Perumahan Rakyat 1Malaysia (PRIMA) oleh kerajaan persekutuan.

Bagaimanapun, projek-projek inisiatif kerajaan pusat dan negeri ini berjalan amat perlahan dan kuantiti rumah yang ditawarkan di Johor Bahru tidak dapat menampung permintaan yang tinggi daripada penduduk yang dahagakan kemudahan rumah mampu milik.

PRIMA dijangka membina 8,000 rumah mampu milik di Johor Bahru dengan kerjasama agensi kerajaan negeri termasuk Johor Corporation, manakala program RMMJ sebagaimana disebut oleh Exco Perumahan Negeri Datuk Latiff Bandi pula menawarkan sekitar 25,000 rumah seumpama itu di seluruh negeri.

Kuantiti pembinaan rumah mampu milik di Johor Baharu itu bagaimanapun gagal menandingi kepesatan pembinaan "rumah mampu tengok" dengan pemaju China, RF Properties Ltd sahaja merancang untuk membina 30,000 pangsapuri mewah di bawah projek mewahnya Princess Cove di Tanjung Puteri.

Sebuah lagi pemaju perumahan China, Country Garden Ltd pula akan membina 9,000 unit kondominium di bawah projek hartanah di Danga Bay, membuktikan lagi selera besar pemaju-pemaju asing ini untuk memenuhkan Johor Bahru dengan projek-projek "rumah mampu tengok" mereka yang bernilai jutaan ringgit.

Bagi Hezree, beliau masih menunggu notis daripada pejabat Setiausaha Perumahan Negeri Johor tentang permohonannya untuk mendapatkan salah satu unit rumah mampu milik bernilai RM80,000 yang ditawarkan di bawah RMMJ ~ MALAYSIAGAZETTE

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails