Friday, August 29, 2014

MAS rugi lagi.. kali ni RM302.62 juta pulak..


Kerugian sebelum cukai Malaysia Airlines (MAS) untuk suku kedua berakhir 30 Jun 2014 meningkat kepada RM302.62 juta berbanding RM165.89 juta pada suku yang sama tahun lepas.

Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia semalam, MAS berkata, pendapatannya merosot lima peratus kepada RM3.59 bilion berbanding RM3.78 bilion sebelum ini berikutan faktor hasil dan tempat duduk yang lebih rendah selepas tragedi MH370.

Pada separuh pertama berakhir 30 Jun 2014, kerugian sebelum cukainya meningkat kepada RM741.77 juta berbanding RM444.34 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Pendapatannya susut kepada RM7.19 bilion daripada RM7.32 bilion sebelum ini.

Dalam satu kenyataan semalam, MAS berkata, kehilangan Penerbangan MH370 pada Mac 2014 terus menjejaskan keputusan kewangan suku keduanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Ahmad Jauhari Yahya, berkata pasukan MAS telah bekerja keras bagi mengembalikan keyakinan pasaran serta meningkatkan semula jualan.

"Malangnya ketika kami mula melihat petunjuk pemulihan di semua rantau, kami ditimpa pula nahas MH17," katanya.

Menurutnya, dalam suku berkenaan, faktor tempat duduk susut 9.5 peratus pada Mei kepada 68.9 peratus.

Kapasiti bertambah sembilan peratus tahun ke tahun berdasarkan penggunaan pesawat lebih tinggi, tetapi trafik kekal tidak berubah tahun ke tahun, katanya.

Ahmad Jauhari berkata, perbelanjaan bahan api melonjak 10 peratus kepada RM1.53 bilion berikutan peningkatan harga bahan api dan kelemahan ringgit berbanding dolar US.

Kelemahan keputusan kewangan itu membuatkan syarikat penerbangan itu sedar mengenai keperluan menstruktur semula operasi, malah sebelum tragedi MH370 dan MH17, katanya.

"Kami beroperasi dalam persekitaran perniagaan yang sukar dengan saingan sengit daripada syarikat penerbangan serantau serta global di samping kos operasi yang tinggi.

"Ditambah dengan kesan daripada kedua-dua tragedi yang telah merosakkan jenama kami, keperluan menstruktur syarikat telah dipercepat.

"Kesan kewangan penuh daripada tragedi berkembar MH370 dan MH17 dijangka menjejaskan MAS dalam separuh kedua tahun ini," kata Ahmad Jauhari.

Beliau berkata, syarikat perlu melalui pemeriksaan dan penilaian semula lengkap dalam usaha mengukuhkan kedudukan agar lebih mampan pada masa depan.

Pada 8 Ogos, Khazanah Nasional Bhd mengumumkan rancangannya memiliki MAS sepenuhnya dan menyahsenarai syarikat itu daripada Bursa Malaysia.

Jika diluluskan, ia akan melaksanakan pelan menstruktur semula kumpulan itu ke arah mengembalikannya kepada keuntungan. - Bernama

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails