Tuesday, August 26, 2014

Ibrahim Ali mungkin bertanding di Pengkalan Kubor


Presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali berkata, beliau tidak akan bertanding sebagai calon bebas pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor.

Sebaliknya, beliau berkata akan mempertimbangkan sekiranya terdapat parti yang mahu beliau menjadi calon.

"Pengkalan Kubor ini sebenarnya tempat permainan saya. Saya tak berhasrat untuk bertanding. Lagipun bertanding (sebagai calon) bebas tiga penjuru tak mudah untuk saya.

"Kalau bertanding atas nama parti, ada orang jemput, saya boleh pertimbangkan.

"Tetapi kalau bebas, tiga penjuru macam di (DUN) Pengkalan Pasir saya rasa tak perlu walaupun saya akur ada pengaruh di sana (Pengkalan Kubor)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Malaysiakini selepas mesyuarat ahli dewan tertinggi PERKASA di Kuala Lumpur hari ini.

Kerusi DUN Pengkalan Kubor kosong berikutan kematian penyandangnya Noor Zahidi, 57, yang meninggal dunia akibat kanser hati.

Selain itu, Ibrahim berkata, sebagai ahli politik dari Kelantan yang pernah bertanding atas tiket PAS pada 2008, beliau meramalkan Umno akan menang mudah pada PRK Pengkalan Kubor akan datang.

Sengit jika PAS lwn BN

Bagaimanapun, beliau berkata, persaingan akan menjadi sengit sekiranya PAS meletakkan calonnya di kawasan itu untuk bertanding dengan Umno.

Katanya, PKR akan kalah memandangkan parti itu tidak mempunyai cawangan di Pengkalan Kubor serta tidak mempunyai jentera dan ahli yang kuat di Kelantan.

Malah, Ibrahim berkata, simbol bendera parti juga dapat mempengaruhi pengundi untuk membuat pilihan semasa pilihan raya nanti.

"Kalau di Kelantan, guna simbol 'mata' (PKR), orang rasa tak ada kewajipan untuk mengundi. Tapi PAS, simbol bulan. Orang ingat Islam. Jadi dia (pengundi) tak ada kewajipan nak undi PKR.

"Sebab itu di Pengkalan Kubor, kalau PKR bertanding, beri menang mudah pada BN. Lagipun PKR tak ada calon berwibawa. PKR tak ada cawangan di Pengkalan Kubor. Ahli pun tak ada. PKR tak ada jentera dan ahli pun tak kuat.

"Kalau calon PAS bertanding, atau calon PKR bertanding guna simbol PAS, saya percaya pertarungan akan sengit," katanya lagi.

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails