Wednesday, July 30, 2014

UMNO Selangor sedia bekerjasama dengan PAS..


Umno - Barisan Nasional (BN) sedia mengadakan perbincangan untuk menjalinkan kerjasama dengan PAS jika parti itu mahu keluar daripada Pakatan Rakyat (PR).

Jelas Setiausaha Perhubungan Umno Selangor, Datuk Johan Abdul Aziz perkara mustahak adalah menyelesaikan isu rakyat bukannya melibatkan rakyat negeri itu dalam kemelut yang sedang bergolak terutama isu membabitkan Menteri Besar negeri itu.

Beliau dalam masa sama menegaskan parti itu tidak berniat untuk mengambil kesempatan terhadap pergolakan dalaman PR yang kelihatannya tidak sependapat dengan keputusan untuk menukar Tan Sri Khalid Ibrahim dengan Presiden PKR Datuk Sri Wan Azizah Wan Ismail.

"Demi kebaikan rakyat Umno sedia untuk berbincang tentang perkara ini (kerjasama Umno - PAS). "Kalau sudah tidak ada persefahaman PAS dengan PR, kita Umno bukan nak menangguk di air yang keruh tapi kita lebih mementingkan kepentingan terhadap rakyat.

"Banyak perkara pokok yang penting untuk diselesaikan," katanya ketika dihubungi.

Untuk rekod, satu paparan skrin aplikasi mesej Whatapps yang mendedahkan pemimpin jawatankuasa PAS pusat secara aktif membincangkan mengenai kemungkinan parti itu meninggalkan Pakatan Rakyat (PR) terdedah.

Dalam masa yang sama, ahli jawatankuasa PAS Mod Zuhdi Marzuki mengutarakan cadangan untuk bekerjasama dengan Umno - BN di negeri itu.

Mohd Zuhdi menggariskan satu senario bagaimana PAS boleh keluar daripada PR kemudian membentuk satu kerajaan dengan majoriti mudah di DUN Selangor melalui bantuan Umno pada masa yang sama mengekalkan Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar dalam pada itu mengambil sikap terbuka dengan pandangan yang dilontarkan ahli jawatankuaa PAS itu menerusi 'Whatsapp'.

Tambahnya dalam arena politik, apa juga situasi atau senario tidak mustahil untuk menjadi kenyataan serta senada dengan Setiausahanya bahawa rakyat perlu diutamakan.

"Semua orang boleh bagi pandangan. "Whatsapp ni sesiapa boleh tulis, tapi dalam politik tidak ada yang mustahil," jelasnya.

Sebelum ini Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan nama isterinya Wan Azizah sebagai pengganti yang layak untuk memegang jawatan Menteri Besar.

Perbezaan dalam PAS itu dilihat apabila Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang mahu Khalid kekal sebagai Menteri Besar, sebaliknya Timbalannya Mohamad Sabu dan Ketua Penerangan Datuk Mahfuz Omar mempertikaikan pendirian itu secara terbuka.

Mengulas pendirian yang bercanggah itu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng memberi bayangan PR akan berpecah disebabkan kemelut Menteri Besar di Selangor lapor AntaraPos

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails