Thursday, July 31, 2014

PAS bukanlah sebuah parti yang kuat jika bersendirian kata Prof. Agus


menjawab pertanyaan Perlukah Pas kekal dalam Pakatan Rakyat?, penyokong Pas akan terbelah tiga — ada yang mahu kekal dalam PR, ada yang mahu Pas menyertai BN, dan ada mahu Pas keluar dan berdiri dengan kekuatan sendiri.

Bagi yang menyokong untuk keluar, mereka menyatakan Pas yang banyak membantu PR untuk menang besar dalam pilihan raya. Pas yang banyak bertolak ansur dengan onar yang dibuat oleh PKR dan DAP. Pas yang mempunyai sokongan akar umbi yang kuat. Pas yang telah teruji banyak dalam politik tanah air.

Tidak cukup dengan itu, mereka menyatakan Pas adalah parti ideologi yang jelas dan tegas untuk menegakkan negara Islam. Oleh itu, perjuangan Pas tidak sama dengan perjuangan PKR dan DAP.

Dan dengan alasan itu, mereka yakin sekiranya bertanding sendirian pun Pas tetap boleh memenangi kerusi yang banyak dalam pilihan raya.

Tepatkah alasan Pas tersebut?

Saya bersetuju parti Pas mempunyai sokongan bawahan yang kuat dan mempunyai pendirian politik tentang Islam yang tegas. Tetapi saya tidak bersetuju untuk menyatakan Pas sebagai parti yang kuat jika bertanding sendirian.

Sejarah pilihan raya telah menunjukkan jika Pas bertanding sendirian, maka kerusi yang dimenanginya sikit sahaja. Adalah amat sukar untuk Pas menyaingi kekuatan Umno sebagai parti orang Melayu dan Islam.

Pas hanya kuat pada tahun 1974 apabila menyertai BN, kuat pada tahun 1990 apabila bersama dalam pakatan APU, dan kuat pada tahun 1999 hingga 2014 apabila bergabung dengan parti lain dalam BA dulunya dan PR sekarang.

Saya cukup yakin sekiranya Pas bertanding sendirian, maka kerusi yang dimenangi oleh Pas adalah sedikit sahaja, malah belum tentu boleh membentuk kerajaan negeri di Kelantan.

Jika meragui kenyataan saya ini, Pas boleh mencubanya dengan mengambil tindakan keluar dari PR. Kita tengok pencapaian Pas dalam pilihan raya yang akan datang.

Perlukah Pas menyertai BN?

Jika Pas sudah tidak boleh bekerjasama lagi dengan PR, maka baiklah Pas keluar dari PR. Selagi Pas dalam PR, maka akan selalu ada pandangan bahawa Pas adalah parti yang kuat dan boleh bertahan sendirian, sedangkan realitinya adalah sebaliknya.

Jika Pas keluar dari PR, apakah Pas perlu menyertai BN? Saya fikir bagus untuk keluar dari PR dan menyertai BN. Ada tiga keperluan. Pertama, untuk mengukuhkan kedudukan politik orang Melayu dan Islam. Kedua, untuk membolehkan BN mendapat sokongan dua pertiga majoriti dan seterusnya meluluskan persempadan baru kawasan pilihan raya.

Ketiga, saya mahu tahu kekuatan Pas selepas meninggalkan PR. Apakah Pas akan kekal kuat? Apakah Pas kekal disokong oleh anak muda? Apakah Pas boleh kekal baik dalam BN? Apakah peristiwa Pas dipecat dari BN pada tahun 1978 tidak berulang lagi? Dan paling penting, saya mahu tahu apakah Pas ini parti yang boleh bertahan kerjasamanya dengan parti lain?

Jika merujuk kepada sejarahnya, Pas gagal berrtahan dalam BN, gagal bertahan dalam APU, gagal bertahan dalam BA, dan sekarang saya mahu tengok pula bagaimana kesudahan kerjasamanya dalam PR?

Apa yang perlu Pas lakukan?

Pada saya, yang menghadapi krisis sekarang bukan PR. Yang menghadapi krisis ialah Pas. Bagi mengatasi kemelut ini, sudah sampai masanya pemimpin Pas memanggil perhimpunan agung tergempar.

Biarkan pemimpin akar umbi mengundi membuat keputusan sama ada untuk keluar dari PR, menyertai BN atau keluar PR untuk berdiri dengan kekuatan sendiri. Keputusan majoriti itulah yang perlu diterima sebagai penentu hala tuju masa depan Pas.

Saya fikir sudah sampai masanya pemimpin Pas berfikir dan mengambil keputusan tegas tentang hal ini. Jika sekejap ada pemimpin kata tidak boleh sepakat dengan PR dan sekejap pula ada yang kata boleh sepakat, itu politik yang tidak ada jiwa, tidak ada semangat setia kawan, tidak menentu pendirian politiknya dan tidak ada hala tuju yang jelas.

Yakinlah, jika Pas sudah membuat keputusan tegas, sekurang-kurangnya kemelut politik hari ini boleh reda seketika..


PROFESOR MADYA DATUK DR MOHAMMAD AGUS YUSOFF

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails