Saturday, July 26, 2014

Kenyataan Hadi mengenai MB Selangor bukan kenyataan rasmi PAS


Sokongan mengejutkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang supaya Tan Sri Khalid Ibrahim kekal sebagai menteri besar Selangor menggoyahkan Pakatan Rakyat (PR) dan berisiko memecahkan gabungan itu, kata sumber dalaman.

Sesetengah pemimpin PAS melahirkan rasa terkejut mereka, tetapi masih belum ada pendirian rasmi dari PKR dan DAP berhubung kenyataan Hadi kecuali yang ianya bercanggah dengan keputusan PR pada Rabu yang bersetuju supaya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengambil alih jawatan itu.

“Persoalannya sekarang, siapa yang bercakap bagi pihak PAS? Apakah pemimpin yang menghadiri mesyuarat PR atau hanya Hadi? Adakah beliau membantah kenyataan PR sekarang?” kata sumber PR .

“Terpulang kepada PAS untuk menyelesaikan isu ini. Bagi pihak PR, kita sudah bersetuju untuk menggantikan Khalid dengan seseorang dari PKR,” katanya.

Seorang lagi pemimpin PR memberi amaran bahawa tindakan Hadi menyokong Khalid akan memberikan kesan besar kepada PR, termasuk memecahkan gabungan itu jika keputusan bersama itu tidak dilaksanakan.

“Apa pun boleh berlaku sekarang, daripada ancaman PR berpecah atau pilihan raya mengejut.

“Kita belum bersedia, tetapi tidak mempunyai pilihan selain menyenaraikan senario yang bakal berlaku,” katanya, dengan menambah mereka harus menunggu keputusan akhir PAS mengenai Khalid yang dikritik kerana bertindak di luar kepentingan PR.

Kepimpinan PAS hanya akan bertemu pada 8 Ogos untuk membincangkan cadangan PKR agar Dr Wan Azizah menggantikan Khalid, tetapi Hadi berkeras semalam bahawa menteri besar selama dua penggal itu tidak melakukan apa-apa kesalahan untuk disingkirkan.

"Saya sudah mendengar semua hujah dan kumpulkan semuanya sebelum saya dapati majoriti kalangan akar umbi PAS bersetuju Khalid dikekalkan atas konsep amanah yang ditunaikannya," katanya memetik kenyataan Pesuruhjaya PAS Selangor Iskandar Samad yang mengatakan PAS negeri tidak menyokong idea menggantikan Khalid.

Kebanyakan pemimpin PAS yang dihubungi enggan memberi komen, dan Ahli Jawatankuasa Pusat Khalid Samad mengatakan keputusan akhir masih belum dibuat.

"Kita sudah bersetuju akan berbincang mengenai hal ini pada 10 Ogos. Jadi saya menganggap ini bukan keputusan rasmi PAS lagi," kata ahli Parlimen Shah Alam itu.

Khalid juga mengatakan kenyataan Iskandar tidak mewakili PAS Selangor kerana mesyuarat dua kali Badan Perhubungan PAS Selangor dengan Dewan Harian PAS Pusat tidak pernah mencapai apa-apa kata sepakat mengenai kedudukan Khalid.

Ahli Badan Perhubungan PAS Selangor, Izham Hashim mengesahkan PAS negeri masih belum membuat keputusan sama ada Khalid harus kekal sebagai menteri besar atau disingkirkan.

"Mesyuarat tidak mencapai apa-apa kata sepakat kerana kami mempunyai pandangan berbeza mengenainya. Mesyuarat memutuskan untuk diserahkan kepada pimpinan parti untuk dirundingkan dengan rakan-rakan Pakatan Rakyat untuk mencapai kata sepakat," kata Izham.

Ketua Penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar berkata, beliau tidak tahu mengenai pandangan Hadi itu.

"Selepas raya nanti baru kita mesyuarat," kata Mahfuz, merujuk kepada Hari Raya Aidilfitri yang bermula minggu hadapan.

Ini bukan kali pertama keputusan Hadi menggugat PR Selangor.

Beliau secara peribadinya memberi kebenaran kepada Ridzuan Ismail untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Damansara pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu walaupun kerusi tersebut dipertahankan Presiden PSM Dr Nasir Hashim yang bertanding di atas tiket PKR kerana partinya bukan anggota PR.

Kedua-duanya tewas kepada BN.

Terdapat persoalan mengapa Hadi membenarkan Ridzuan bertanding kerana hanya Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali yang boleh mengeluarkan surat mengesahkan calon.

Walaupun kalah di Kota Damansara, PR menang lebih besar di Selangor dengan PAS dan DAP mendapat 15 kerusi sementara PKR mendapat 14. Umno memenangi baki 12 daripada 56 kerusi negeri itu lapor The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails