Thursday, July 31, 2014

Kemelut Politik Selangor dan implikasinya terhadap PAS, satu analisa..


Kemelut politik Selangor menganggu ketenteraman Ramadan dan perayaan Aidilfitri tahun ini.

Bagi politikus, pengamat dan penganalisis politik, kemelut ini bakal menjadi bahan perbincangan hangat ketika menjamah hidangan rumah terbuka raya.

Ada dua naratif politik yang terbit daripada kemelut ini:

1- Kedegilan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk menurut konsensus partinya untuk memberi laluan kepada calon menteri besar yang lebih sesuai menerajui Pakatan Rakyat (PR) di Selangor.

2 - sokongan terbuka Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang (gambar) kepada Khalid tanpa mendapatkan persetujuan partinya, dan pada masa yang sama membelakangkan semangat kesepakatan dalam gabungan pembangkang itu.

Penulisan ini tidak akan meneliti merit atau kritikan langkah menggugurkan Khalid kerana keputusan tersebut sudah pun dibuat oleh PKR, sebaliknya ia mengupas implikasi “Langkah Hadi” terhadap parti Islam yang dipimpinnya.

Langkah Hadi dalam kemelut politik Selangor bukan sahaja mempunyai impak yang besar terhadap hala tuju politik negeri termaju di negara ini, tetapi juga masa depan politik nasional.

Ini kerana langkah Hadi ini mampu menggangu kesinambungan PR sebagai gagasan politik alternatif yang mampu memberi saingan sengit terhadap Barisan Nasional (PR) seperti yang dibuktikannya dalam dua pilihan raya umum lepas.

Jika Hadi membiarkan pertimbangan peribadinya mengatasi semangat kesepakatan dalam PR, aspirasi majoriti masyarakat Malaysia untuk menyaksikan perubahan di bawah kepimpinan gabungan politik alternatif ini sudah pasti akan terkubur.

Lantas, apakah tindakan yang perlu diambil oleh Hadi dan PAS?

Adakah parti Islam ini akan berkompromi untuk mencapai matlamat politik yang lebih besar bersama PR, iaitu untuk merampas Putrajaya?

Adakah kemelut Selangor ini membuka jalan kepada parti Islam ini untuk menarik diri daripada PR dan membuat pakatan politik baru dengan Umno?

Berikut adalah lima senario yang kemungkinan berlaku rententan daripada kemelut di Selangor ini.

Senario 1 – PAS kekal dalam PR apabila Hadi menarik balik sokongannya terhadap Khalid

PAS perlu ingat dan sedar bahawa ia dapat menjadi antara sebuah parti pembangkang yang kuat hasil kerjasama yang dibentuknya dengan PKR dan DAP.

Malah, majoriti rakyat Malaysia meletakkan harapan terhadap gabungan ketiga-tiga parti ini untuk membawa pembaharuan di negara ini.

Momentum perubahan yang berlaku pada 2008 dan 2013 dijangka akan berterusan dalam pilihan raya umum yang akan datang sekiranya PR mampu mengukuhkan kerjasama dan mengotakan janji-janji pembaharuan mereka.

Atas kesedaran inilah, pimpinan PAS pusat akan mendesak Hadi untuk menarik balik sokongannya terhadap Khalid dan akur dengan keputusan yang dibuat PKR.

Ini adalah kesefahaman yang dibentuk dalam PR sejak gabungan politik ini dibentuk selepas Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12).

Parti politik yang diberi kepercayaan untuk mengisi jawatan menteri besar di negeri-negeri yang berada dalam kuasa PR mempunyai hak mutlak untuk menamakan pemimpin mereka tanpa campur tangan parti gabungan lain.

Justeru, PKR dan DAP tidak masuk campur dalam pemilihan menteri besar di Kelantan dan Kedah atas semangat menghormati pilihan PAS sebagai peneraju gabungan PR di kedua-dua negeri tersebut.

Jadi, mengapa PAS hendak menjadi rakan gabungan yang ingkar dan mengamalkan double standard dalam konteks kerusi menteri besar Selangor?

Sama ada atas desakan partinya sendiri atau atas muhasabah diri yang dilakukan, Hadi akan dapat melihat perjuangan yang lebih besar bersama PR (merampas Putrajaya) berbanding sokongan peribadinya terhadap Khalid di Selangor.

Jika Hadi dan PAS kembali ke landasan setiakawan dan kesepakatan dalam PR dan meneruskan agenda reformasi, ia akan dapat meneruskan momentum perubahan yang bertiup kencang di Malaysia dan berpotensi membentuk kerajaan baru di peringkat nasional dalam pilihan raya umum akan datang.

Impak senario 1 ini terhadap PAS dan PR adalah positif. Walaupun keyakinan pengundi terhadap pakatan pembangkang mungkin terhakis sedikit kerana politicking dalaman yang berlarutan sejak PRU13 lalu, penyelesaian kemelut Selangor ini akan mengembalikan kestabilan dan mengukuh gabungan PR.

Tambahan pula, pelantikan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bagi menggantikan Khalid sebagai menteri besar Selangor yang baru akan membawa gaya kepimpinan yang lebih bersifat konsultatif dan telus berbanding kepimpinan sebelum ini.

Hasilnya, PR akan dapat menggembeling kekuatannya di Selangor untuk melonjak ke tampuk pemerintahan di Putrajaya.

Bagi BN, senario 1 ini adalah yang terburuk bagi mereka. Pastinya, BN akan melihat pengaruh seteru utama mereka semakin meluas dan bertambah mantap hasil kekuatan ekonomi serta sumber yang dijana di Selangor.

Dalam jangka masa 2 hingga 3 tahun, sudah pasti Anwar bersama sekutunya di dalam PR akan mengorak strategi dan dasar yang lebih hebat untuk menandingi BN.

Sekiranya senario 1 ini direalisasikan, PAS berpotensi menjadi kuasa besar dalam kancah politik Melayu dan nasional.

Ia perlu memperkuatkan lagi mesej moderasi dan tengah (umpamanya, konsep Negara Berkebajikan) yang dilaung-laungkannya sejak PRU12 lagi.

Mesej sebeginilah yang akan memacu PAS dan PR ke tingkat yang lebih tinggi. Bagaimanapun, pendekatan ini mungkin akan membawa perpecahan dalam parti Islam, terutamanya dalam kalangan mereka yang masih mahu menghidupkan wacana serta visi negara Islam dan hudud.

Ini risiko yang PAS perlu berani hadapi. Senario 1 ini berupaya membawa risiko yang agak tinggi tetapi pulangan politiknya adalah paling lumayan.

Senario 2 - PAS keluar atau disingkirkan PR tetapi kekal sebagai parti pembangkang

Senario ini berkemungkinan berlaku apabila Hadi dan PAS berkeras untuk terus menyokong kepimpinan Khalid sebagai menteri besar Selangor.

Implikasinya ialah PAS akan ditekan untuk keluar daripada PR atau disingkirkan daripada gabungan parti pembangkang itu.

PAS bagaimanapun, mengambil keputusan untuk kekal sebagai parti pembangkang.

Apabila senario ini berlaku, PAS berkemungkinan besar hilang sokongan sebahagian besar pengundi bukan Melayu dan juga segelintir penyokong pembangkang dalam kalangan orang Melayu.

Dalam senario ini, kerusi PAS di Selangor akan merosot daripada 15 kepada enam, atau kurang daripada itu.

Pada masa yang sama, PAS berpotensi kalah di kerusi Parlimen pelbagai kaum seperti Pokok Sena, Parit Buntar, Bukit Gantang, Kota Raja, Shah Alam, Sepang, Hulu Langat dan Temerloh (dengan kata lain, PAS berkemungkinan kalah di semua kerusi Parlimen kecuali di Kelantan dan Terengganu).

Senario ini akan meletakkan PAS kembali kepada kedudukan sebelum 1999; iaitu sebuah parti Melayu yang berpusat di Pantai Timur sahaja.

Pokoknya, senario 2 ini akan melenyapkan sebahagian besar usaha yang dilakukan PAS dan PR untuk menguasai politik nasional sejak dua dekad yang lepas.

Senario 2 adalah yang terbaik untuk BN kerana kekalutan dalam PAS dan PR akan memberi peluang kepada BN untuk mengembalikan sokongan Melayu.

BN, khususnya Umno akan mengambi kesempatan untuk memecah-belahkan PAS dengan merancakkan lagi suntikan racun ke dalam parti Islam itu.

Jika Hadi dan PAS berkeras untuk mengutamakan kepentingan peribadi, ia tidak akan dapat kembali ke dalam PR.

Dan sekiranya perkara ini berlanjutan sehingga pilihan raya akan datang sudah pasti BN khususnya Umno akan mempunyai kelebihan.

Senario 3 – PAS keluar PR tetapi kelompok pro-Pakatan dalam PAS tubuhkan parti baru menggantikan parti Islam itu dalam PR

Senario ini mempunyai kemungkinan yang agak rendah kerana kesetiaan ahli PAS terhadap partinya adalah tinggi.

Apapun, jika ia direalisasikan, potensi parti baru serpihan PAS ini dalam meraih sokongan pengundi Melayu adalah amat terhad kerana kekangan sumber, track record dan pengalaman.

Parti baru ini dijangka akan memberikan saingan kepada PAS dan Umno di kawasan majoriti Melayu.

Namun pesaingan pelbagai penjuru ini sudah pasti akan menguntungkan BN. Tambahan pula, parti baru ini sudah pasti menghadapi cabaran sengit untuk mematahkan dominasi PAS di negeri-negeri Pantai Timur.

Senario ini akan menguntungkan BN khususnya Umno. PAS akan kembali menjadi parti kecil yang hanya mempunyai pengaruh di negeri-negeri Pantai Timur.

Masa depan PAS mungkin akan menjadi lebih suram apabila Umno dapat mengambil kesempatan ke atas perpecahan PR dan kelemahan PAS untuk merampas Kelantan daripada dominasi parti Islam tersebut.

Tambahan pula, potensi PAS untuk merebut Terengganu pada pilihan raya akan datang agak malap memandangkan Umno sudah pun menukar menteri besar negeri tersebut dengan personaliti yang lebih cergas dan diterima kebanyakan ahli parti.

Senario 4 – PAS keluar PR dan kemudian membentuk ‘Kerajaan Perpaduan’ dengan Umno di Selangor

Kemelut Selangor memberi ruang dan peluang kepada kelompok dalam PAS yang menyokong usul “Kerajaan Perpaduan” antara PAS dan Umno (beberapa pemimpin tertinggi PAS sudah pun terlibat dalam rundingan bersama Umno atas dasar memperkasa dominasi Melayu dan Islam).

Kebarangkalian senario ini berlaku adalah agak rendah, kerana pimpinan PAS menghadapi risiko hilang legitimasi dalam kalangan ahli dan pimpinan akar umbi.

Berdasarkan ketetapan yang dizahirkan daripada dua muktamar PAS yang lalu, adalah jelas bahawa akar umbi parti Islam ini menolak sebarang cubaan untuk bekerjasama dengan Umno.

Malah, akar umbi PAS mungkin akan bertindak menyingkirkan mana-mana pemimpin yang cuba membentuk kerajaan gabungan dengan Umno dan BN.

Walaupun terdapat tentangan hebat daripada akar umbi, pemerhatian menunjukkan kecenderungan PAS untuk kerjasama dengan Umno masih hidup dalam kalangan segelintir pucuk pimpinan PAS dan penasihat mereka.

Hal ini berlaku lantaran timbul sikap kurang percaya kepada kepimpinan Anwar dan DAP. Ini ditambah pula dengan persepsi segelintir pemimpin PAS yang melihat kerjasama di dalam PR akan “mencairkan” perjuangan parti itu untuk menegakkan kerajaan Islam.

Tambahan pula, dalam PR, wacana Islam sering perlu bersaing dengan wacana liberal demokratik dan multi-culturalisme.

Jika PAS tetap berdegil dan mahu membentuk kerajaan perpaduan di Selangor, ia mungkin hanya bertahan untuk satu penggal sahaja.

Ini kerana, pengundi bukan Melayu dan segelintir penyokong pembangkang dalam kalangan Melayu akan menolak parti ini.

Senario 5 – Khalid mendapat perkenan Sultan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum PAS capai keputusan pada 10 Ogos

Sekiranya Khalid dapat membubarkan DUN tatkala PAS masih dalam keadaan tidak menentu, pilihan raya yang berlangsung sudah pasti akan membawa kekalahan besar kepada pembangkang, terutamanya PAS dan PKR.

Kemelut Selangor menjejaskan imej pembangkang dan kegagalan mereka untuk menyelesaikan kemelut ini memberi peluang kepada BN khususnya Umno untuk merampas kembali negeri terkaya itu.

Pada masa yang sama, selain DAP, jentera pilihan raya PAS dan PKR bukan sahaja tidak bersedia dan malah mungkin bercakaran sesama sendiri dan antara satu dengan lain.

PAS kini berada di persimpangan. Kemelut Selangor ini mungkin menjadi katalis kepada runtuhnya gagasan politik yang dilihat majoriti rakyat Malaysia sebagai alternatif kepada BN.

Bukan itu sahaja, kerja keras dan pengorbanan pembangkang dan juga penyokong mereka selama ini untuk menuntut perubahan kerajan sudah pasti akan terkubur.

Lebih teruk, PAS akan kembali menjadi parti nyamuk (walaupun keahliannya besar) yang tidak mempunyai impak besar dalam politik Malaysia.

Kini terpulanglah kepada pimpinan PAS untuk membuat keputusan yang bukan sahaja dapat merungkai kemelut di Selangor tetapi juga masa depannya dan politik pembangkang.

PR sememangnya tidak sempurna dan punya banyak kelemahan tetapi ia masih kenderaan yang paling berpotensi untuk sampai ke destinasi penting iaitu Putrajaya.

Tanyalah majoriti pengundi yang memangkah PAS, PKR dan DAP dalam PRU13 lalu.

Analisis oleh The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails