Thursday, June 26, 2014

PAS pecat Ahlinya yang jihad di Syria


PAS memecat Ustaz Lotfi Ariffin dari menjadi ahlinya pada 11 Mei, 2014 selepas mendapat maklumat dan mengesahkan beliau ke Syria untuk menyertai peperangan di sana melalui satu kumpulan yang dikatakan berjihad di sana, kata Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali.

"Kita mendapat maklumat itu sebelum ini dan menyiasatnya. Setelah sah, mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat pada 11 Mei lalu membuat keputusan memecat beliau.

"Cuma ketika itu kita tidak memaklumkan perkara ini kepada media," kata Mustafa sambil menambah keluarga Lotfi telah dimaklumkan mengenai hal ini.

The Star melalui ketua pengarangnya, Wong Chun Wai, serta dua lagi wartawannya dalam laporan mereka mendakwa pemimpin PAS antara rakyat Malaysia yang menyertai jihad di Syria dalam laporan mereka hari ini.

Menurut The Star, Lotfi yang didakwa sebagai bekas AJK Dewan Ulama PAS secara terbuka memuat naik gambar beliau dan klip video mengenainya di Syria ke media sosial.

The Star juga memaklumkan mereka akan menyiarkan laporan eksklusif bagaimana rakyat Malaysia dilatih oleh gerakan pengganas Jabhat al-Nusra atau Al Nusra Front, satu gerakan serpihan dari al-Qaeda yang terlibat dalam memenggal kepala dan membunuh musuh mereka di Syria dan Lebanon.

Seorang lagi militan Malaysia, kata The Star, adalah bekas penyanyi pop Melayu, Ali Ukay. Menurut akhbar itu, Ali dipengaruhi oleh Lotfi dan menyertai beliau ke Syria.

Timbalan Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu ketika merasmikan mesyuarat agung PAS Hulu Langat baru-baru ini menegaskan PAS akan meneruskan perjuangan melalui jalan politik dan pilihan raya dan tidak akan mengiktiraf mana-mana ahlinya yang mengambil jalan selain dari itu.

"Kita akan teruskan dengan muhajahah silmiyyah (perjuangan secara damai). Oleh itu mana-mana ahli yang memilih jalan lain dari ini tidak akan diiktiraf oleh parti," katanya.

Dalam pada itu, Mohamad Sabu meminta pihak keselamtan negara menyiasat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang memuji gerakan bersenjata di Syria iaitu Isil.

"Saya minta akhbar The Star siar kenyataan saya ini di muka depan kalau berani," kata Mohamad bagi mengulas laporan akhbar milik MCA, The Star yang mendakwa ahli PAS menyertai gerakan jihad bersenjata di Syria.

"PAS membantu orang pelarian termasuk di Syria melalui Yayasan Amal Malaysia tetapi tidak mengiktiraf mana-mana pihak yang menyertai gerakan bersenjata termasuk Isil," kata Mohamad.

Kerana itulah, katanya, PAS pada 11 Mei 2014 lalu telah memecat seorang ahlinya Lotfi Ariffin yang bergambar dan menyertai pasukan bersenjata di Syria.

Dua lagi ahli PAS, kata Mohamad juga diberikan amaran kerana terlibat dengan mereka disana walaupun tidak terlibat menyertai gerakan bersenjata.

"Kedua-dua mereka dilihat bergambar dengan pasukan bersenjata di sana," kata Mat Sabu tanpa menyebut nama kedua-dua ahli PAS itu.

Sehingga kini, kata Mohamad, PAS hanya mengiktiraf gerakan bersenjata yang dibuat oleh umat Islam Palestin melawan balik serangan dan penjajahan yang dibuat oleh Israel ke atas mereka ~ The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails