Friday, June 27, 2014

'Langkah Kajang' masih berjalan atau sudah terkangkang?


Adakah 'Langkah Kajang' yang dihasilkan oleh Pakar Strategi PKR Rafizi Ramli untuk menjatuhkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sudah berhenti dan tidak bergerak lagi?

Ini kerana, selepas enam bulan strategi itu dihasilkan, RM1.6 juta wang pembayar cukai dibelanjakan kerananya (melalui pilihan raya kecil) dan menteri besar Selangor itu masih kekal di situ.

Orang yang dipilih untuk menggantikan beliau berdepan dengan hukuman penjara manakala pengganti yang dipilih untuk menggantikannya 11 jam sebelum masa itu, iaitu isterinya, tidak menunjukkan sebarang minat untuk pergi lebih jauh daripada Adun Kajang saja.

Para pengguna laman sosial mempermainkan strategi itu sebagai "Penipuan Kajang" kerana tiada apa-apa yang berlaku selepas pilihan raya kecil Kajang.

Tetapi Rafizi yakin perubahan bakal berlaku.

"Sudah lima bulan ke? Tak mungkin," kata Rafizi sambil ketawa dan menggelengkan kepalanya ketika dia diperingatkan tentang posting dalam blognya yang bertarikh 29 Januari 2014 yang bertajuk "Game Changer in Putrajaya Quest".

"Walaupun Langkah Kajang berubah sedikit daripada rancangan asalnya, saya yakin ia masih berjalan untuk mengubah keadaan," katanya kepada The Malaysian Insider.

Bagaimanapun, Khalid tetap menjadi orang nombor satu di Selangor dan tidak ada sebarang tanda untuk turun.

"Walaupun orang kata Langkah Kajang gagal kerana Khalid masih di sana, ia memenuhi tujuannya, iaitu untuk membentuk pilihan lain (menggantikan beliau).

"Sekarang, saya fikir orang semakin ramai mempertikaikan Khalid berbanding sebelum ini dan melihat Langkah Kajang satu keperluan. Jadi saya fikir Khalid perlu memahami sentimen orang ramai ini,” katanya.

"Saya rasa sekarang orang ramai sudah kerap mempersoalkan Khalid dan mula melihat Langkah Kajang perlu dilakukan. Jadi saya rasa Khalid kena ambil berat sentimen awam," katanya.

Rafizi berkata, walaupun Datuk Seri Anwar Ibrahim terkeluar daripada percaturan, namun Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail lebih mampu mengambil alih kedudukan menteri besar.

"Jangan pandangan rendah Wan Azizah sebagai menteri besar. Sokongan rakyat yang diperoleh Wan Azizah lebih luas berbanding pemimpin lain dalam Pakatan Rakyat," katanya.

Katanya, Wan Azizah yang mesra disapa Kak Wan itu berupaya membuatkan orang ramai kagum dengan kebolehannya terutama dalam mengatur strategi dan memimpin rakyat.

"Cabaran yang akan dihadapinya tentu berbeza dengan Khalid semasa menjadi menteri besar pada penggal pertama. Jika tidak cukup bersih, dia mesti dilihat lebih tegas dan konsultatif.

"Dia membuktikan dirinya sebegitu melalui gaya kepimpinannya dalam parti - dia tidak mudah terpengaruh, dihormati dan pendengar yang baik dalam PKR," kata Rafizi.

Bagaimanapun, Rafizi mengakui rancangan asal untuk menjadikan Anwar sebagai menteri besar merupakan langkah terbaik.

"Anwar tidak akan dilantik secara terus, sudah tentu Anwar calon terbaik jadi menteri besar dan saya rasa sekarang rakyat sudah mula lihat langkah ini boleh menghancurkan Umno sebab itu mereka sedaya upaya cuba menghalang Anwar," katanya.

Beliau berkata, ketegasan dan keberanian moral Anwar akan membantu menyelesaikan semua masalah di Selangor.

Namun, Langkah Kajang dipertikaikan kerana bimbang Anwar mungkin menggunakan kedudukannya sebagai ketua pembangkang dan mengubah kuasa negeri.

"Saya juga pernah berfikir begitu sehingga saya dapati kebanyakan rakyat Malaysia masih berfikiran secara feudal.

"Sebagai pemimpin pembangkang, di mata rakyat dia tidak ada kuasa melainkan selepas dilantik mengetuai negeri. Contohnya seperti (Ketua Menteri) Lim Guan Eng dan Khalid.

"Jika Langkah Kajang berjalan seperti yang dirancang, majoriti rakyat yang tidak berpihak akan melihat Anwar sebagai menteri besar tulen, bukan macam 'Anwar Ibrahim' yang dulu.

"Sebab itu Umno melihatnya sebagai ancaman besar dan mahu beliau disingkirkan," kata Rafizi merujuk kepada keputusan Mahkamah Rayuan pada 6 Mac lalu berhubung kes liwat Anwar.

Mempertimbangkan pengganti Anwar selepas beliau tersingkir daripada percaturan, adakah Langkah Kajang masih relevan?

"Pada asalnya, nama Wan Azizah atau Anwar langsung tidak timbul (dalam DUN Selangor).

"(Menteri besar Selangor) perlu mendapat persetujuan ketiga-tiga parti, dan pada ketika itu kami berada dalam keadaan tertekan apabila tiada calon Adun daripada tiga parti itu yang diterima," katanya.

Ditanya sama ada ini bermakna Pakatan Rakyat hanya bergantung kepada politik personaliti berbanding ideologi, Rafizi berkata: "Saya tidak fikir begitu. Ini soal politik kepercayaan.

"Kita ada masalah dengan Khalid, sama ada rakyat suka atau tidak. Persoalan ini timbul di kalangan Adun sebelum Langkah Kajang lagi, sama ada orang itu boleh dipercayai dapat memerintah dengan baik kerana itu amat dititiberatkan," katanya.

Apabila diingatkan Khalid masih menteri besar walaupun PKR bersedia menggantikannya, Rafizi mengeluh kesal.

"Tanpa mandat, saya tidak boleh buat apa-apa. Pada Januari, saya kemukakan pilihan (Langkah Kajang kepada pemimpin PKR), dan kepimpinan parti bersetuju dengan cadangan saya tentang bagaimana hendak bawa parti maju ke depan.

"Pandangan saya jelas dan tidak berubah sejak Januari," katanya.

Bagaimanapun, katanya, dengan prestasi Khalid dan situasi Selangor kini, rakyat akan melihat perubahan kepimpinan dalam masa setahun.

Katanya, ramai menyuarakan kebimbangan dengan percaturan tersebut dan disebabkan itu pihaknya perlu berpendirian teguh dan tidak akan biarkan mereka terjerat dengan perangkap sendiri, terutama apabila berdepan dengan penyokong.

"Berdepan dengan serangan Utusan satu hal, tetapi paling dibimbangkan adalah apabila terpaksa bersemuka dengan kekecewaaan daripada pengundi sendiri," katanya.

Berdasarkan pengalaman lalu, Ahli Parlimen Pandan itu berkata strategi itu masih wajar dan setiap sen yang dilaburkan dalam PRK lalu amat berbaloi.

"Persoalan sama ada duit rakyat terbazir bukan isu kerana saya berfikir sebaliknya.

"Saya rasa ini melibatkan kepentingan rakyat untuk terus bersuara menentang Barisan Nasional (BN)," katanya merujuk kepada sistem di Amerika Syarikat dan United Kingdom yang mengadakan pilihan raya setiap dua tahun sekali.

Katanya, Pakatan Rakyat sekurang-kurangnya dapat menghalang tunjuk perasaan yang dirancang NGO Melayu berhaluan kanan untuk menyerang gereja ekoran isu kemelut Bible.

"Bayangkan jika itu berlaku, kita akan lihat keadaan lebih teruk berbanding 13 Mei jika Kristian bertindak balas. 13 Mei lebih kepada mainan politik tetapi ini mungkin akan membabitkan hal agama,” katanya.

Rafizi mengakui Selangor masih belum layak dijadikan contoh negeri Pakatan Rakyat.

"Pendirian saya kekal, jika Selangor benar-benar negeri contoh di bawah pemerintahan Khalid, kita mungkin dapat menguasai Putrajaya tahun lalu. Bagaimanapun itu masih tidak mencukupi untuk menarik undi rakyat.

"Jika dilihat semula semasa PRU13, ada anjakan ketara dalam strategi PKR. Ketika itu saya melihat kita tidak akan mampu menang jika hanya tumpu kepada pencapaian Selangor dan sebab itu saya dapati lebih mudah Pakatan raih undi dengan menyerang BN," katanya.

Ditanya tindakan selanjutnya di Selangor, Rafizi berkata beliau sudah selesai memainkan peranannya dengan mencetuskan Langkah Kajang.

Keputusan untuk melaksanakan pilihan alternatif juga sudah dilakukan, iaitu menggantikan Khalid dengan Wan Azizah, dan kini terpulang kepada Pakatan Rakyat.

"Jika masalah terus berlarutan, kebimbangan yang disuarakan Adun atau pemimpin parti lain terpaksa dibawa kepada perbincangan di peringkat tertinggi Pakatan Rakyat.

"Namun jika masih tiada apa berlaku, Langkah Kajang akan jadi ramalan sia-sia," kata Rafizi.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/langkah-kajang-masih-berjalan-kata-rafizi-ramli#sthash.17YXnmd5.dpuf

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails