Friday, May 30, 2014

Setelah melompat parit, Ahmad Maslan kata Dyana Sofya akan kalah 5-0


Pengalaman yang luas dalam bidang politik dan akademik menjadikan calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Teluk Intan, Datuk Mah Siew Keong mempunyai lima kelebihan berbanding calon DAP, Dyana Sofya Mohd Daud, kata Ahmad Maslan.

Ketua penerangan Umno itu berkata, lima kelebihan Mah itu sudah cukup menjadi garis panduan penduduk Teluk Intan berbanding Dyana yang merupakan calon muda dan mentah dalam bidang politik.

“Pendidikan, mari kita banding, Mah ada empat ijazah dari tiga universiti. Dyana ada ijazah dari UiTM. Mah lebih baik daripada segi pendidikan. Kita beri Mah 1, 0 Dyana.

“Kedua, Mah pernah menjadi Adun Pasir Bedamar, ahli Parlimen Teluk Intan dua penggal. Dyana pernah jadi apa? Ada jawatan itu? Tidak ada. 2-0.

“Ketiga, Mah pernah menjadi ketua Gerakan Teluk Intan, pimpinan gerakan Perak, setiausaha agung parti, ketua pemuda dan sekarang presiden parti. Dyana ahli biasa DAP. 3-0,” katanya ketika berucap di hadapan kira-kira 70 penduduk Teluk Intan di Menara Condong, malam tadi.

Mah pada satu sidang media semalam masih melihat cabaran besar bertanding di Teluk Intan walaupun ketika ini menjawat presiden Gerakan.

Katanya, tanggungjawab diletakkan sepenuhnya kepada dirinya sama ada BN menang atau pun kalah di kawasan itu dan keyakinannya sekadar 51% untuk memenangi PRK itu.

Ahmad berkata, kelebihan Mah yang keempat adalah di belakangnya berdiri teguh jentera kerajaan seperti Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

“Di belakang Mah ada menteri besar, perdana menteri, menteri, agensi kerajaan pusat dan negeri tetapi di belakang Dyana hanya ada Lim Kit Siang. Siapa lagi kuat? Mah. 4-0.

“Kalau kita hantar surat sokongan dengan kepala surat DAP dan tandatangan Dyana untuk anak belajar di universiti, mohon pinjaman Tekun, rumah SPNB, minta AIM. Tuan-tuan fikir laku ke surat itu? Payah tuan-tuan, payah.

“Tetapi Mah mohon peruntukan daripada perdana menteri, insya-Allah, hampir pasti lulus peruntukan yang dipohon Mah,” katanya.

Semalam, Najib di Beijing berkata jawatan dalam Kabinet menanti Mah jika beliau memenangi PRK Parlimen Teluk Intan pada Sabtu ini, lapor Bernama.

"Saya boleh membuat komitmen itu di sini. Jika Datuk Mah memenangi pilihan raya kecil Teluk Intan, maka sebagai presiden Gerakan, beliau akan dilantik menganggotai Kabinet," kata Najib.

Ahmad berkata, fakta terakhir yang sememangnya diketahui oleh orang Teluk Intan adalah Mah anak jati di kawasan itu berbanding Dyana yang berasal dari Ipoh.

“Terakhir, Mah lahir, dibesarkan, bersekolah, ada harta dan perniagaan di sini. Ada sahabat dan kerabat yang membantunya kerana Mah anak jati Teluk Intan. Betul? Dyana tak payah cerita. Orang luar.

“Dia tak tahu mana Sungai Samak, Kampung Bahagia, Sungai Kerawai, Kampung Banjar dan Kampung Selabak. Mah sudah masuk semua tempat itu. Berapa kosong? 5-0," katanya menggulung kelebihan terakhir Mah berbanding Dyana.

Mah, 53, pertama kali bertanding kerusi Parlimen Teluk Intan pada pilihan raya umum 1999 yang menyaksikan beliau menewaskan calon DAP N Rajendran dengan majoriti 2,783 undi.

Beliau mengekalkan kerusi Parlimen itu pada pilihan raya umum 2004 namun tewas dalam tsunami politik pada 2008 dan sekali lagi pada pilihan raya umum 2013 menyaksikan Mah gagal merampas kembali kerusi itu buat kali kedua.

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails