Wednesday, April 30, 2014

MH370 ditemui di Teluk Benggal dinafikan JACC..


Ketua pasukan mencari pesawat MH370 menafikan dakwaan sebuah syarikat yang memaklumkan menemui bangkai pesawat hilang itu yang dipercayai terhempas di Lautan Hindi.

Ini berikutan syarikat GeoResonance itu menyatakan kawasan penemuan ialah di Teluk Bengal, yang terletak beberapa ribu batu jauhnya daripada kawasan pencarian sekarang iaitu di selatan Lautan Hindi.

Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) yang menguruskan pencarian antarabangsa itu menolak dakwaan berkenaan, lapor CNN.

“Australia yang mengetuai pasukan pencari bergantung kepada maklumat daripada satelit dan data lain untuk menentukan kawasan pesawat yang hilang itu.

"Lokasi yang disebutkan oleh laporan GeoResonance itu di luar kawasan pencarian yang ditentukan oleh data. Pasukan bersama antarabangsa yakin pesawat ini berada di selatan kawasan pencarian, " kata JACC.

Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, Malaysia sedang bekerjasama dengan rakan kongsi antarabangsa untuk menilai kredibiliti maklumat itu.

GeoResonance berkata, analisis medan elektromagnet super lemah dirakamkan oleh imej multispektral udara.

"Syarikat tidak mengisytiharkan ia adalah MH370, bagaimanapun ia perlu disiasat," kata GeoResonance dalam satu kenyataan.

Pengarah syarikat itu, David Pope, berkata beliau tidak mahu memberitahu kepada umum maklumat itu pada mulanya, tetapi maklumatnya tidak diendahkan.

"Kami sekumpulan besar ahli sains dan kami diabaikan, dan kami fikir kami mempunyai kewajipan moral untuk memberitahu penemuan kami kepada pihak berkuasa," katanya kepada CNN dalam program New Day pada Selasa.

Pope berkata, teknologi GeoResonance diwujudkan bagi mencari senjata nuklear, biologi dan kimia di bawah laut atau dalam kubu di bawah bumi.

Beliau berkata, syarikat itu memulakan carian empat hari selepas pesawat itu hilang dan menghantar penemuan awal pada 31 Mac dan ia disusuli dengan laporan penuh pada 15 April.

Katanya, dengan mendedahkan perkara itu kepada umum, syarikat itu berharap ia akan mendorong pegawai untuk mengambil dakwaan itu secara serius.

Pope berkata, GeoResonance menghubungi pihak berkuasa Malaysia semalam dan mereka “sangat berminat, sangat teruja” dengan penemuan itu.

Inmarsat, syarikat satelit yang dikatakan mempunyai hubungan terakhir dengan MH370, masih "amat yakin" dalam analisisnya iaitu pesawat itu berakhir di selatan Lautan Hindi, kata sumber yang rapat dengan penyiasatan MH370 kepada CNN.

Analisis Inmarsat adalah "berdasarkan fizik yang boleh diuji dan matematik," kata sumber itu, dan disemak oleh pihak berkuasa Amerika Syarikat, Britain dan Malaysia serta sebuah syarikat satelit bebas lapor The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails