Monday, April 28, 2014

Ibrahim Ali pulak belasah Obama...


Datuk Ibrahim Ali hari ini senada dengan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, menyanggah kenyataan Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama yang menyifatkan Malaysia tidak akan berjaya jika bukan Islam tidak diberikan peluang yang sama.

Presiden Perkasa itu berkata, kenyataan Obama itu tidak benar kerana selama ini bukan Islam menguasai 60% ekonomi negara.

"Siapa miliki bangunan pencakar langit, gedung besar dan rumah kedai dalam bandar?

"Kerajaan membiayai sekolah jenis kebangsaan walaupun ada yang mendakwa bertentangan dengan Perlembagaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hari ini menteri dalam negeri turut menyelar kenyataan Obama dengan mengatakan tidak benar Malaysia mengamalkan diskriminasi kaum dan agama.

Semalam, Obama berkata, Malaysia perlu memastikan masyarakat bukan Islam di negara ini, mendapat peluang yang sama seperti majoriti penduduk beragama Islam jika negara ini mahu terus makmur.

Katanya, masyarakat bukan Islam di Malaysia pada masa ini berdepan permusuhan dan ada yang rasa tertindas.

“Sepatutnya tidak ada alasan untuk diskriminasi, dan anda perlu memastikan menentang perkara ini dalam kehidupan harian.

“Malaysia tidak akan berjaya jika bukan Islam tidak mendapat peluang yang sama adil. Myanmar tidak akan berjaya jika populasi Islam di sana terus ditindas,” katanya dalam majlis pertemuan dua hala untuk belia Asean di Dewan Tunku Canselor di Universiti Malaya, Kuala Lumpur semalam.

Ibrahim berkata pihak yang mendakwa Malaysia menafikan hak bukan Islam adalah golongan kurang waras dan tidak berakal.

Katanya, Obama sendiri tidak memastikan Israel memberi layanan yang baik kepada penduduk asal di Palestin.

"Saya nak tanya Obama, layanan apa pihak Israel beri kepada penduduk asal rakyat Palestin? Cakap tidak serupa bikin.

"Kenapa Obama tidak nasihat penduduk bukan Islam wajib menghormati kaum majoriti Islam? Obama seperti presiden Amerika lain juga tidak telus," katanya.

Ibrahim berkata tindakan Obama ke Malaysia dan membuat kenyataan berat sebelah hanya menambahkan lagi ketegangan kaum di negara ini lapor The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails