Thursday, February 13, 2014

Pemilihan KEADILAN 2014: Notis akan dikeluarkan 17 Mac ini


Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) KEADILAN dalam kenyataan hari memberitahu, pekeliling Pemilihan KEADILAN 2014 akan dikeluarkan Setiausaha Agung parti selewat-lewatnya 17 Mac ini.

Pengerusi JPP KEADILAN 2014, Datuk Johari Abdul berkata, 29 Mac depan hari pencalonan bagi pertandingan peringkat Pusat, iaitu bagi jawatan-jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP).

Johari turut berkata, 4 hingga 13 April adalah tarikh pemilihan bagi Cabang-cabang KEADILAN di seluruh negara manakala pengundian dan Mesyuarat Agung Tahunan Cabang (MATC) pada 25 April.

Mesyuarat Agung Tahunan Cabang (MATC) dijangka berakhir selewat-lewatnya pada 11 Mei, serentak dengan pemilihan bagi jawatan jawatan KEADILAN peringkat Pusat.

“Dijangka selepas 11 Mei keputusan akan diumumkan oleh Presiden parti (Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail,” kata Johari pada sidang media di ibu pejabat KEADILAN, hari ini.

Kata Johari, pejabat Setiausaha Agung KEADILAN akan mengeluarkan senarai nama-nama anggota yang layak, mengundi seperti mana yang termaktub dalam peraturan pemilihan.

Johari mengingatkan syarat minimum had tempoh keanggotaan kepada mereka yang layak mengundi, iaitu 12 bulan bagi seseorang anggota.

Beliau turut menasihatkan anggota KEADILAN menyertai Pemilihan 2014 dalam suasana adil dan sihat

“Apa-apa kenyataan, ucapan atau bahan-bahan kempen semasa Pemilihan parti hendaklah berasaskan kepada rekod kerja calon, pencapaian dan perancangannya untuk parti,” kata Johari.

Bagi Pemilihan KEADILAN 2014, Johari dibantu Timbalannya, Datin Paduka Dr Tan Yee Kew, bekas Senator Pulau Pinang, Datuk Mustafa Kamal Yusof, bekas ahli parlimen Merbok, Datuk Rashid Din, Pegawai Khas Pejabat Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Malik Husin.

Antara ahli jawatankuasa lain bagi Pemilihan KEADILAN 2014 ialah Setiausaha MPN Negeri Sembilan, Sabaruddin Md Yassin, ahli majlis Pimpinan KEADILAN Sabah, Rahman Yaakob, bekas Pengerusi KEADILAN Sarawak,Wan Zainal Abidin Wan Sanusi serta pegawai ibu pejabat KEADILAN, Hanif Zuhdi.

~ KeadilanDaily

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails