Friday, December 27, 2013

Usah merungut kenaikan kos sara hidup, kata menteri


Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hassan Malek menasihati rakyat Malaysia agar tidak merungut, sebaliknya memberikan kritikan membina terhadap langkah kerajaan menaikkan beberapa harga barangan.

Hassan ketika ditemui di program "Kembali ke Sekolah" anjuran sebuah pasaraya di Kuala Lumpur hari ini, berkata peniaga juga tidak seharusnya menaikkan harga barangan dengan keterlaluan.

"Jangan memanaskan keadaan dan menaikkan harga. Tolong pertimbangkan dan bantu kementerian.

"Sesetengah barangan bantuan kerajaan turut disalahgunakan sesetengah pihak dengan menaikkan harganya," katanya lagi.

Hassan turut menjelaskan, kementeriannya sedang berusaha membantu rakyat ekoran kenaikan harga sesetengah barangan yang berlaku disebabkan penstrukturan subsidi yang menyebabkan kenaikan harga bahan api, elektrik, dan juga barangan keperluan harian yang menyaksikan peningkatan kos sara hidup rakyat.

"Saya telah mengarahkan pasukan saya untuk berada di bawah berhubung dengan orang ramai.

"Kita akan lakukannya bersama dengan agensi lain termasuk Kementerian Pelancongan," tambahnya.

Ditanya tentang saranan Tun Dr Mahathir Mohamad yang menggesa Putrajaya menjimatkan kos perbelanjaan dan bukannya menaikkan harga barangan, Hassan cuma menjawab beliau menghormati pandangan bekas perdana menteri itu.

"Kita akan melihat sebarang kemungkinan terhadap cadangan beliau... saya hanya boleh katakan kami menghormati pandangannya," katanya, dan menambah, perkara itu juga akan dibawa ke dalam mesyuarat.

Kaji selidik yang dijalankan oleh Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (Umcedel) dan didedahkan kepada umum pada Selasa lalu mendapati, isu kenaikan kos sara hidup bakal menjadi penentu masa depan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) menjelang 2018.

Tiga kenaikan barangan yang memberi kesan langsung termasuk kenaikan kadar caj elektrik, peningkatan kos barangan dan kenaikan harga barang api.

Umcedel turut mencadangkan Putrajaya memandang berat hasil dapatan kajian mereka sekiranya ingin terus kekal berkuasa.

~ The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails