Friday, December 27, 2013

Pesan Mahathir kepada Najib.. Kurang kos, bukan naik harga..


Tun Dr Mahathir Mohamad mengkritik kerajaan ekoran kenaikan tarif elektrik pada kadar 15 peratus yang menurutnya, agak tinggi.

Beliau berkata, tarif elektrik tidak seharusnya dinaikkan secara mendadak kerana akan membebankan pengguna.

“Ini akan memberikan bebanan kepada pengguna elektrik domestik selain memberi kesan kepada kos pengeluaran industri,” katanya dalam satu entri blognya, semalam.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, tarif elektrik jika perlu dinaikkan, boleh dilakukan secara berperingkat bagi mengelakkan industri yang telah memeterai perjanjian pengeluaran menanggung kerugian besar.

“Kerugian pemain industri akibat kenaikan tarif elektrik akan menyebabkan mereka membayar cukai korporat yang lebih rendah akibat tidak mendapat keuntungan besar,” katanya.

Dalam pada itu, kata Dr Mahathir, pembaziran mampu dielakkan sekiranya kerajaan serius bertindak dan mengambil iktibar daripada Laporan Ketua Audit Negara mengenai ketirisan.

“Kerajaan ada kalanya melakukan pembaziran kerana tidak memikirkan pulangan dalam sebarang bentuk perbelanjaan.

Jika kerajaan berhasrat mengurangkan kos urus tadbir, mereka boleh melakukannya,” kata beliau.

Selain itu, katanya, pendapatan negara boleh ditingkatkan melalui pengurangan kos pengeluaran berbanding menggunakan pendekatan menaikkan harga.

"Konsep ‘cost down’ merupakan salah satu alternatif terbaik bagi mengelakkan pembaziran sekali gus mampu menjana pendapatan.

Ada masanya harga boleh dinaikkan. Ini mungkin mengakibatkan kemerosotan jualan dan keuntungan.

Lebih baik mengurangkan kos atau sama ada mengekalkan atau meminimumkan kenaikan harga," katanya.

Jelas Dr Mahathir, perkara sama boleh dilakukan kerajaan. "Semua kos boleh diteliti untuk menentukan mana yang benar-benar penting, kos mana yang boleh dikurangkan, atau perkhidmatan mana yang boleh diolah," katanya.

Mengulas lanjut, beliau tidak menafikan kerajaan memerlukan wang bagi mentadbir negara namun pada masa yang sama menyifatkan bebanan tersebut tidak harus digalas oleh rakyat sepenuhnya.

2 Disember lalu, Kerajaan mengesahkan kenaikan kadar tarif elektrik sebanyak 14.98 peratus atau 4.99 sen hingga 38.53 sen per kWh bagi Semenanjung Malaysia dan lima sen bagi Sabah dan Labuan yang akan berkuat kuasa Januari tahun depan.

Pada 2014, kerajaan dijangka akan menaikkan kadar tol di beberapa lebuh raya di negara ini. Tambang pengangkutan awam LRT dan monorel juga dijangka dinaikkan ~ Sinar Harian

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails