Wednesday, November 27, 2013

PAS takkan berjaya tawan Johor, kata Puad Zarkashi... takburnya dia...


Umno yakin bahawa usaha PAS untuk menawan Johor pada pilihan raya akan datang tidak akan berhasil kerana sokongan masyarakat Melayu johor masih utuh bersama mereka.

Ahli Majlis Tertinggi Umno Dr Mohd Puad Zarkashi berkata usaha itu tidak akan berjaya kerana Pakatan Rakyat (PR) banyak bergantung kepada sokongan orang Cina untuk mendapatkan kerusi di Johor.

“PAS sendiri banyak bergantung kepada sokongan orang Cina. Sebab itu yang dapat kerusi lebih di Johor dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 ialah DAP, bukannya PAS. PAS gagal mendapatkan sokongan orang Melayu,” katanya apabila dihubungi oleh FMT semalam, mengulas kenyataan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu yang mengatakan PAS akan musnahkan Umno apabila menawan Johor kelak.

Beliau turut mempersoalkan keutuhan kerjasama parti-parti komponen PR yang disifatkannya sebagai rapuh.

“Saya juga yakin kerjasama dalam PR tak sekukuh mana. Kita boleh nampak dalam muktamar PAS baru-baru ini banyak pihak yang mempersoalkan tahaluf siyasi (kerjasama politik) mereka dalam PR,” katanya lagi.

Beliau berkata, terdapat perpecahan dalam PAS terutamanya dari golongan ulama yang tidak menyenangi tahaluf siyasi bersama PR diteruskan.

“Saya nampak ini akan memecahkan PAS sendiri sebab pimpinan PAS dikuasai oleh golongan Anwarinas dan perpecahan ini akan terus membesar,” jelas Puad tanpa menamakan mana-mana individu.

Tambahnya lagi, hubungan PAS dengan PR hanya menguntungkan DAP, seperti yang berlaku dalam PRU yang lalu.

“Dalam PRU yang lepas, Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub bertanding di kerusi Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri Nusa Jaya namun tumpas di kedua-dua kerusi walaupun Penasihat DAP Lim Kit Siang berjaya memenangi kerusi Parlimen Gelang Patah,” katanya.

Puad turut melontarkan keyakinan beliau kepada Pengerusi Badan Perhubungan Negeri Johor yang baharu, Datuk Seri Mohd Khalid Nordin untuk mengekalkan penguasaan Umno di negeri itu.

“Saya yakin dengan kepimpinan Khalid dan agenda beliau seperti pembinaan rumah mampu milik akan memastikan sokongan orang Melayu semakin meningkat,” jelas beliau ~ Free Malaysia Today

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails