Monday, November 25, 2013

Bagaimana Kerajaan boleh jadikan harga gula lebih murah.. oleh Haji Rafizi Ramli..


PKR mencadangkan supaya permit import (AP) untuk membeli gula mentah pada harga lebih rendah dibuka sekali gus dapat menurunkan harga gula tapis di pasaran.

Pengarah Strateginya, Rafizi Ramli mendakwa, apabila monopoli AP membeli gula mentah dimansuhkan, ia akan memberi peluang kepada banyak syarikat untuk membawa masuk gula mentah dan gula bertapis pada harga yang lebih murah.

"Dalam keadaan harga gula mentah pasaran dunia adalah lebih rendah, dengan lebih banyak syarikat diberi peluang untuk membawa gula mentah dan gula bertapis sudah tentu ia lebih murah dari harga yang ditentukan oleh syarikat monopoli.

"Keengganan BN melunturkan monopoli gula yang dikuasai oleh Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhary mengesahkan mereka lebih mementingkan beberapa kroni berbanding rakyat," katanya pada sidang media di lobi Parlimen, dekat sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas lanjut kenyataan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Paduka Ahmad Bashah Md Hanipah yang mengesahkan dalam sidang Dewan Rakyat Khamis lalu bahawa kerajaan telah memeterai kontrak jangka panjang untuk membeli gula mentah pada harga yang kini lebih tinggi dari harga pasaran.

Dalam pada itu, Rafizi turut mempertikaikan tindakan kerajaan yang memasuki kontrak pembelian gula mentah jangka panjang bagi pihak swasta sedangkan keuntungan adalah milik swasta.

"Kenapa dalam keadaan harga bekalan gula mentah tidak menguntungkan syarikat milik Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhary akibat rundingan kontrak jangka panjang yang tidak sempurna, kerajaan juga dilibatkan kerana kontrak itu dimeterai oleh kerajaan.

"Risiko untung rugi pembelian gula mentah perlulah ditanggung oleh syarikat pemegang AP gula mentah yang dikuasai oleh Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhary kerana mereka diberikan monopoli industri gula di Malaysia," katanya ~ Sinar Harian

 

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails