Sunday, November 17, 2013

1,174 Juruterbang berlesen yang sedang menganggur..


KAMI ibu bapa kepada graduan juruterbang komersial persendirian yang masih menganggur pada ketika ini, ingin membuat sedikit teguran kepada pihak yang berkenaan mengenai punca permasalahan ini.

Kami juga ingin mencadangkan langkah yang boleh diambil untuk mengurangkan kadar pengangguran di kalangan mereka.

Masyarakat sudah jelas mengenai betapa kroniknya tahap pengangguran juruterbang pada ketika ini. Hampir setiap minggu ada sahaja berita atau artikel mengenai juruterbang menganggur. Tetapi bagaimanakah permasalahan ini berpunca?

Ini adalah kerana munculnya lambakan sekolah penerbangan yang tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan. Sejak tahun 2005, sekolah penerbangan berkenaan telah menghasilkan ribuan juruterbang muda yang telah melebihi permintaan syarikat penerbangan.

Ini berlaku kerana akademi latihan penerbangan ini merupakan sebuah perniagaan yang cukup lumayan apabila setiap seorang pelajar dikenakan yuran melebihi RM220,000 seorang. Anak muda berpendidikan pula berpusu-pusu menyertai walaupun yuran tersebut tersangat mahal.

Walaupun begitu, pihak yang menubuhkan sekolah penerbangan tersebut tidaklah boleh dipersalahkan begitu sahaja. Ini kerana pihak yang sebenarnya memantau pertumbuhan sekolah penerbangan adalah Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA).

Sesebuah sekolah penerbangan tidak boleh dibuka begitu sahaja tanpa kelulusan dan pemantauan teliti daripada DCA.

Jadi, yang menghairankan ialah bagaimana pihak DCA meluluskan begitu banyak pembukaan sekolah penerbangan tersebut sehingga wujud lambakan juruterbang yang menganggur?

Bukankah sepatutnya mereka membuat kajian dan pemantauan terlebih dahulu sebelum memberi kelulusan? Di sini, DCA yang sepatutnya memainkan peranan penting untuk menyelesaikan permasalahan ini walaupun sudah agak terlewat.

Baru-baru ini, pihak DCA khabarnya telah mengarahkan setiap sekolah penerbangan menghentikan pengambilan kadet juruterbang buat sementara waktu bagi mengurangkan penghasilan graduan yang menganggur. Juga untuk memberi laluan kepada graduan juruterbang ini mendapat tempat di syarikat penerbangan dan sebagainya.

Tetapi sayangnya tindakan yang diambil oleh pihak DCA tidak begitu serius dan hanya sekadar melepaskan batuk di tangga sahaja. Ini kerana menurut maklumat, terdapat sebuah sekolah penerbangan di Pantai Timur Semenanjung masih lagi mengambil kadet juruterbang baru pada awal Julai 2012 lepas.

Itu belum dikira lagi pelajar dari sebuah universiti yang mengambil jurusan sarjana kejuruteraan aeronautik (pilot profesional) juga akan menyertai sekolah penerbangan tersebut untuk menjadi juruterbang juga. Bayangkan hampir 1,000 lebih juruterbang sedang menganggur dan ini akan bertambah ramai.

Bukan itu sahaja. Sejak dahulu lagi, bilangan kadet juruterbang yang diambil oleh salah sebuah sekolah penerbangan sudah melebihi garis panduan yang ditetapkan oleh DCA, tetapi pihak DCA hanya pejam sebelah mata membenarkan perkara ini dilaksanakan.

Kini jumlah keseluruhan kadet yang masih meneruskan latihan di sekolah tersebut sudah melebihi 400 orang, jauh lebih banyak daripada yang ditetapkan oleh DCA iaitu 200 orang pada satu-satu masa. Bagaimanakah perkara ini boleh berlaku?

Mengenai peluang pekerjaan di syarikat penerbangan tempatan pula, diharapkan DCA juga memainkan peranan untuk mencadangkan supaya syarikat tersebut mengambil juruterbang persendirian selain daripada mengambil kadet sendiri.

Pihak syarikat penerbangan AirAsia sudah memaklumkan bahawa mereka akan terus menghantar sekurang-kurangnya lima kumpulan kadet mereka untuk dilatih oleh sekolah penerbangan, dan hanya akan mengambil sedikit sahaja daripada juruterbang persendirian.

Yang lebih mengejutkan syarikat penerbangan kebangsaan, Penerbangan Malaysia (MAS) tidak mengambil walau seorang pun juruterbang persendirian. Sekiranya amalan ini berterusan, bagaimanakah krisis pengangguran juruterbang muda di negara ini dapat dikurangkan?

Sewajarnya kita perlu memberi pertimbangan kerana kebanyakan mereka bukan sahaja menjalani kursus melalui pinjaman Mara malah ada juga yang meminjam dengan pihak bank. Sekiranya mereka menganggur, bagaimanakah mereka ini ingin membayar kembali pinjaman tersebut? Kepakaran mereka ini tidak boleh digunakan untuk sektor lain.

Anak muda berkelayakan ini dalam keadaan tertekan sekarang kerana mereka tidak punya banyak pilihan untuk menceburi bidang kerjaya lain. Lulusan universiti atau kolej lainnya boleh mencari alternatif untuk membina kerjaya tetapi bagi mereka hanya lesen juruterbang sahajalah yang dimiliki.

Adalah amat malang tenaga mahir ini dibazirkan dan ini juga secara tidak langsung telah membazirkan sumber tenaga negara.

Mohon jasa baik pihak yang berkuasa campur tangan bagi menyelamatkan tenaga muda berkemahiran tinggi ini daripada terus menjadi penganggur.

Ibu Bapa Prihatin
Puchong, Selangor


September lalu Berita Harian melaporkan....

Tidak ada banyak perubahan pada kadar pengangguran juruterbang di Malaysia semenjak tahun lalu, kata Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Sivil (DCA), Datuk Azharuddin Abd Rahim.

Beliau berkata, setakat Ogos 2012, ada 1,174 juruterbang berlesen yang sedang menganggur.

“ Lebihan bekalan juruterbang berbanding permintaan,” katanya dilihat mulai 2011 dan meningkat tahun lalu apabila lebih ramai golongan itu yang membuat aduan kepada DCA.

“Pada 2011, industri penerbangan global melihat kemerosotan akibat peningkatan harga bahan api. Ini mengakibatkan industri penerbangan mengurangkan laluan, tidak membeli pesawat baru dan menghentikan perkhidmatan pesawat untuk menyemak semula operasi, tanpa pengembangan,” katanya kepada BERNAMA.

Beliau menambah bahawa Malaysia tidak mempunyai banyak syarikat penerbangan, dan ketidaktentuan ekonomi juga menjejaskan syarikat penerbangan tempatan menjadikan permintaan untuk juruterbang terus merosot.

Untuk layak sebagai juruterbang syarikat penerbangan, pelajar yang dibiaya secara persendirian harus membayar sekurang-kurangnya RM250,000 dan hanya beberapa pelajar akan diambil sebagai kadet dan dibiaya oleh syarikat penerbangan.

Azharuddin berkata, untuk menangani isu pengangguran itu, DCA menubuhkan pusat pendaftaran di laman web jabatan untuk membantu mereka yang masih menganggur. 

... Sekali lagi kita menyaksikan padah bilamana pendidikan dijadikan perniagaan, dalam hal ini Sekolah Penerbangan diberikan lesen untuk beroperasi tanpa dipedulikan limpahan juruterbang yang jelas akan berlaku..

Yang penting bagi mereka poket kroni penuh.. rakyat?.. mampuih pi!!

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails