Saturday, October 26, 2013

Perlaksanaan GST : Apa kata pakar-pakar ekonomi?.. bacalah..


Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) adalah langkah ‘regresif’ yang akan memberi kesan lebih buruk kepada kumpulan miskin dan rakyat Malaysia yang sudah pun bergelut dengan hutang, kata pakar ekonomi.

Walaupun memuji langkah kerajaan untuk memansuhkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (SST) untuk diganti dengan GST, kadar 6% yang diumum Putrajaya hari ini dalam Bajet 2013 dianggap terlalu tinggi, menurut pakar ekonomi Institut Rakyat, Azrul Azwar Ahmad Tajudin.


"Ini adalah cukai regresif kerana mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana akan terbeban dengan pengenalan cukai ini daripada segi nisbah kepada pendapatan mereka," kata Azrul kepada The Malaysian Insider.

Azrul juga tidak bersetuju dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mengatakan pengenalan kadar 6% adalah paling rendah.

"Kerajaan perlu membuat perbandingan pengenalan kadar antara negara dan bukan pada kadar semasa.

"Singapura semasa memperkenalkan GST hanya pada 3%," terang Azrul lagi.

Pandangan Azrul juga dikongsi oleh penganalisis Sosioekonomi dan Alam Sekitar (SERI), Dr Michael Lim Mah Hui kerana kadar itu adalah tidak munasabah memandangkan hutang isi rumah berada pada 80% dan orang ramai akan terpaksa berbelanja lebih daripada hasil yang diperoleh.

"Akhirnya rakyat terpaksa berbelanja lebih daripada hasil yang mereka peroleh," kata Lim kepada The Malaysian Insider.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Dr Zakaria Abdul Rashid tidak menolak dengan inflasi yang meningkat secara konsisten sejak beberapa bulan lalu, pengenalan GST akan menekan rakyat.

"Indeks harga pengguna (CPI) ketika ini pada kadar 1.9% dan kita lihat sejak beberapa bulan ia naik secara konsisten.

"Kalau peningkatan ini berterusan sehinggalah pengenalan GST pada tahun 2015 nanti, ia mungkin menambah tekanan kepada orang ramai," kata Zakaria.

Indeks CPI bagi tempoh Januari hingga Ogos 2013 meningkat sebanyak 1.7% kepada 106.5 dibandingkan dengan 104.7 pada tempoh yang sama tahun lepas.

Berbanding dengan bulan yang sama tahun 2012, CPI Ogos 2013 mencatatkan kenaikan sebanyak 1.9% daripada 105.0 kepada 107.0 dan apabila dibandingkan dengan bulan sebelumnya, CPI merekodkan peningkatan sebanyak 0.1%.

Selain itu, Putrajaya juga telah pun berdepan dengan kritikan susulan pengurangan subsidi minyak oleh kerajaan sebanyak 20 sen, malah kadar inflasi Malaysia dijangka meningkat kepada 2.3% menurut pakar ekonomi Putrajaya, Datuk Seri Abdul Wahid Omar.

Mengenai jaminan untuk memantau pelaksanaan GST di bawah Jawatankuasa Pemantauan GST, Azrul meragui akan kemampuan Putrajaya untuk menunaikan janji-janji tersebut berdasarkan kegagalan dalam pelaksanaannya sebelum ini.

"Saya meragui jawatankuasa yang ditubuhkan tersebut mempunyai kemampuan untuk menguatkuasa GST ke atas peniaga, pengeluar serta menangani inflasi.

"Sejak dahulu lagi, tren penguatkuasaan di Malaysia adalah lemah. Adakah itu membuatkan anda berfikir penguatkuasaan sekarang akan lebih baik daripada masa lepas?" soal Azrul lagi.

Sebaik pengumuman tersebut, Najib berkata cukai tunggal atau GST itu akan membolehkan kerajaan menangani kelemahan dalam sistem percukaian sedia ada.

"Lebih 160 negara di dunia telah melaksanakan GST. Ini jelas menunjukkan bahawa GST terbukti sebagai satu sistem cukai yang telus, berkesan dan adil.

"Majoriti negara-negara dunia itu tidak akan melaksanakan GST jika ia memudaratkan rakyat dan negara," kata Najib.

Dalam pada itu, bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini juga menegaskan pelaksanaan GST haruslah dilaksanakan secara berperingkat.

"Semuanya harus dilakukan secara berperingkat, perlahan-perlahan, bukan jumlah sepenuhnya sekali gus, bagi faedah rakyat," kata beliau kepada pemberita pada Forum CEO Yayasan Kepimpinan Perdana 2013 Jun lalu.

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails