Monday, October 28, 2013

Najib diramal naikkan lagi harga minyak tahun depan..


Pakar ekonomi Bank Dunia Dr Frederico Gil Sander meramalkan kerajaan akan memotong subsidi minyak kali kedua tahun depan bagi menangani defisit fiskal yang dihadapi selama 15 tahun berturut-turut.

September lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan kenaikan harga RON95 dan diesel sebanyak 20 sen, sekaligus menimbulkan kemarahan dan kritikan daripada orang ramai dan juga pembangkang Pakatan Rakyat (PR).

"Kelihatannya mungkin ada satu lagi pusingan (rasionalisasi subsidi minyak)," kata Frederico semasa ditemui sebaik berakhir Dialog Pasca Bajet 2014 anjuran Persatuan Ekonomi Malaysia di Bukit Kiara hari ini.

Frederico yang bertugas di Jabatan Asia Timur dan Pasifik, Membasmi Kemiskinan dan Pengurusan Ekonomi, berkata berdasarkan pembentangan Bajet baru-baru ini adalah isyarat jelas Putrajaya akan mengambil langkah rasionalisasi tersebut pada tahun depan.

Subsidi minyak merupakan jumlah terbesar yang dibelanjakan oleh kerajaan setiap tahun, dianggarkan berjumlah RM24.8 bilion atau 53% daripada keseluruhan RM47 bilion wang yang dibelanjakan untuk subsidi sahaja.

"Jika dilihat pada peruntukan, untuk peruntukan minyak dijangka akan menurun secara signifikan tahun depan.

"Di mana saya berpendapat ia adalah isyarat kemungkinan akan berlaku rasionalisasi subsidi minyak bagi memastikan sasaran dapat dicapai," kata beliau yang merujuk kepada sasaran kerajaan mengurangkan defisit fiskal pada paras 3% daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) pada 2015 dan bajet berimbang pada 2020.


~ The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails