Tuesday, July 9, 2013

Syed Ali Alhabshee nasihat atau sindir Shahrizat nie?


DATUK Seri Shahrizat Abdul Jalil sewajarnya menerima saranan dan pandangan supaya beliau melepaskan jawatan ketua Pergerakan Wanita UMNO dengan hati terbuka, kata Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee.

Katanya, saranan dan suara akar umbi yang mahukan beliau melepaskan jawatan tersebut bukan berniat untuk mematikan kerjaya politkknya tetapi dibuat berasaskan kepada persekitaran politik semasa.

"Saya sendiri tidak pernah berniat disebaliknya apabila mengusulkan supaya dia melepaskan jawatan, tetapi hanya melontarkan pandangan demi kebaikan dan masa depan serta hala tuju pergerakan tersebut," katanya.

Tegas beliau, Shahrizat juga seharusnya menerima gesaan tersebut dengan berlapang dada dan tidak menyifatkannya segala teguran dan desakan itu sebagai usaha pihak tertentu untuk menjatuhkan beliau. 

"Apabila ada yang menegur kita, bermakna teguran itu ada asasnya dan kita sewajarnya menerima segala teguran itu dengan hati terbuka dan menilainya dengan sifat jujur disamping bermuhasabah diri," jelasnya. 

Lagipun kata beliau, jawatan dalam parti bukan milik mutlak seseorang individu dan apabila sampai masanya maka mahu tidak mahu terpaksa berundur atau melepaskan jawatan tersebut.

"Pemimpin pergi dan datang silih berganti adalah lumrah dalam UMNO, tetapi tanggungjawab kita ialah menjaga kepentingan parti melebihi kepentingan peribadi atau pihak tertentu," tegasnya.

Menurutnya, apabila seseorang itu diberikan tanggungjawab sebagai pemimpin, niatnya mestilah ikhlas berkhidmat kepada parti dan bertanggungjawab kepada amanah yang dipikul dan akhirnya bersedia untuk berundur apabila merasakan wajar berbuat demikian.

Menurut beliau, sewajarnya seseorang itu bersedia untuk melepaskan jawatan yang disandang apabila merasai bahawa kepimpinannya sudah tidak dapat lagi diterima secara majoriti oleh kumpulan yang dipimpin.

"Apabila seseorang itu berkeras untuk tidak mahu melepaskan jawatan, akan timbul pelbagai tanggapan disamping berlaku desakan secara terbuka oleh pihak yang mahukan kepada perubahan kepimpinan," jelasnya.

Bagaimanapun katanya, cara bagaimana seseorang pemimpin itu berundur kadangkala menjadi persoalan atau pemerhatian rakyat terutama ahli-ahli parti diperingkat akar umbi.

Oleh sebab itu jelas Syed Ali, tidak timbul soal beliau bersengeketa atau sengaja melakukan provokasi untuk menjatuhkan Shahrizat selaku Ketua Wanita UMNO Malaysia.

"Saya sekadar berikan pandangan bahawa melihat kepada situasi politik masa kini dan UMNO memerlukan transformasi secara keseluruhannya sejajar dengan aspirasi presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak, maka saya beranggapan bahawa Wanita UMNO perlu kepada kepada perubahan dan seeloknya Sharizat melepaskan jawatan," katanya.

Katanya, beliau pernah menegur dan menyarankan bekas Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Rafidah Aziz supaya melepaskan jawatan tetapi bukan bermakna beliau mencipta permusuhan. 

"Oleh sebab itu, hubungan saya dengan Rafidah masih kekal baik sehingga ke hari ini, kerana dia seorang pemimpin yang bersedia untuk menerima segala teguran dan pandangan daripada akar umbi," katanya.

Syed Ali menjelaskan bahawa beliau tidak mempunyai sebarang masalah dengan Shahrizat tetapi barangkali berbeza dan bercanggah pendapat dari segi parti bukannya membabitkan isu peribadi.

"Niat saya ikhlas apabila membuat teguran dan niat saya terhadap Shahrziat juga ikhlas demi kebaikan parti, bukannya kerana dibelenggu masalah peribadi, tidak ada sifat sedemikian pada saya, apa yang penting kepada saya ialah memastikan UMNO kekal relevan dan dihormati," tegasnya.

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails