Sunday, July 7, 2013

PRK Kuala Besut: PAS terdesak cipta alasan kata Ketua Pemuda Umno Bahagian Besut


Pas menyedari kedudukan parti itu di Dun Kuala Besut belum cukup kuat sehingga terdesak mencipta alasan menyalahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung penetapan tarikh pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Kuala Besut.

Ketua Pemuda Umno Bahagian Besut, Mohd Mahdi Musa sebaliknya berkata, tarikh pengundian yang jatuh pada hari bekerja itu bukanlah masalah kerana ia bukan kali pertama berlaku dalam sejarah pilihan raya di negara ini.

Sehubungan itu, beliau melihat isu itu tidak sepatutnya timbul sama sekali, apalagi mendakwa SPR cuba halang kira-kira 3,000 pengundi muda dari Dun Kuala Besut di luar Terengganu balik mengundi.

“Kita melihat tiada masalah apa-apa pun mengenai tarikh pengundian dan ini mungkin topik yang akan dibangkitkan Pas sekiranya mereka kalah pada PRK Dun Kuala Besut. Mereka menjadikan hari mengundi yang jatuh pada hari Rabu sebagai alasan jika kalah,” katanya kepada Sinar Harian.

Dun Kuala Besut mempunyai 17,683 pengundi berdaftar dan daripada jumlah tersebut, Mohd Mahdi berkata, 55 peratus adalah pengundi berumur 40 tahun dan ke bawah.

Dalam laporan Sinar Harian semalam, Pas menganggap SPR tidak sensitif terhadap warga Terengganu berhubung penetapan tarikh penamaan calon dan pembuangan undi bagi PRK Dun Kuala Besut.

Sementara itu, merujuk gerak kerja pihaknya menghadapi persiapan PRK Dun Kuala Besut, Mohd Mahdi yang juga Adun Kota Putera berkata, Pemuda Umno melakukan persiapan sejak awal dengan program turun padang melalui kumpulan 10 (K10).

Beliau menjelaskan, pihaknya akan mendekati golongan muda melalui pendekatan ‘personal touch’ untuk memastikan mereka terus bersama-sama BN bagi mengekalkan kerusi sedia ada.

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails