Saturday, July 27, 2013

Kerajaan akan bela guru besar SK Seri Pristana


Guru besar SK Seri Pristana Mohamad Nasir Mohd Nor bakal mendapat pembelaan daripada kerajaan sekiranya jelas terbukti beliau tidak bersalah dalam isu membenarkan pelajar bukan Islam sekolah berkenaan menikmati makanan pada waktu rehat di bilik persalinan, kata Tengku Adnan Tengku Mansor.

Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata isu SK Seri Pristana diputar belitkan pihak pembangkang bagi menunjukkan kerajaan bersalah dalam isu tersebut.

“Guru besar tersebut memang sengaja meletakkan pelajar sekolah itu menikmati makanan pada waktu rehat di bilik persalinan bagi melindungi pelajar daripada terdedah kepada sinaran matahari.

“Pihak pembangkang telah memutar-belit perihal sebenar yang berlaku di sekolah berkenaan dengan menyalahkan pihak sekolah dan kementerian,” ujar beliau semasa satu sidang media sempena majlis berbuka puasa di Kuala Lumpur.

Setiusaha Agung Umno itu turut mengulas perselisihan faham yang berlaku di antara Perkasa dan Pertubuhan Kebajikan dan Amal India Baru Malaysia (Perinbam) semasa mengumumkan penubuhan Majlis NGO Antara Kaum Malaysia (Mirac) di Kuala Lumpur semalam.

Tengku Adnan berkata pembangkang turut mengapi-apikan badan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat bagi membentuk persefahaman antara kaum sambil terus memberikan persepsi yang buruk kepada Perkasa dengan melabelkan mereka sebagai pertubuhan perkauman.

“Apa yang berlaku sebenarnya hanyalah persepsi yang cuba dimainkan pembangkang bagi memburukkan Perkasa. Mereka ini sengaja menangguk di air yang keruh.

“NGO seperti ini wajar dipuji kerana telah menunjukkan semangat perpaduan tanpa mengira agama dan bangsa bagi mencapai satu tujuan. Jangan kita biarkan pihak pembangkang untuk melemparkan tuduhan yang bukan-bukan. Mereka hanya mahu mengelirukan rakyat dan bermain dengan emosi rakyat,” katanya.

The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails