Tuesday, June 25, 2013

Kesemua 32 yang ditahan dekat Parlimen dibebas 2.15 pagi tadi..


Kesemua 32 orang yang ditahan dalam perhimpunan berhampiran pintu masuk Parlimen semalam telah dibebaskan dengan jaminan polis pagi ini.

Pengarah Eksekutif Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Nalini Elumalai berkata, mereka dibebaskan secara berperingkat bermula jam 12 tengah malam semalam dan selesai dibebaskan kira-kira jam 2.15 pagi. 


Katanya, setakat ini polis belum memaklumkan lagi sama ada mereka yang ditahan semalam akan didakwa atau pun tidak.

"Belum ada apa-apa makluman daripada polis berkenaan perkara itu," katanya kepada Malaysiakini.

Polis dalam satu kenyataan semalam mengumumkan bahawa mereka yang ditahan mungkin akan berhadapan empat dakwaan.

Ia adalah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh, Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah terhadap penjawat awam yang menjalankan tugas,dan Seksyen 9(5) dan Seksyen 4(2) Akta Perhimpunan Aman atas tuduhan mengadakan perhimpunan tanpa notis dan berarak tanpa memberikan notis.

Keadaan menjadi tegang semalam apabila kumpulan tersebut cuba melepasi halangan polis yang didirikan kira-kira 800 meter dari pintu masuk Parlimen.

Bagaimana pun mereka gagal berbuat demikian kerana halangan itu dikawal tidak kurang daripada 300 orang semalam.

Polis mendakwa seorang pegawai polis cedera di mata kanan dan hidung manakala seorang lagi pula patah gigi dan terseliuh ibu jari kiri dalam pertembungan tersebut.

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails