Wednesday, May 29, 2013

Tian Chua, Haris dan Tamrin ditahan semula dan Safwan Anang turut ditahan.. (Video Inside)


Naib Presiden PKR Chua Tian Chang, aktivis Haris Ibrahim dan ahli PAS Tamrin Ghafar ditahan semula oleh polis hari ini beberapa hari selepas majistret enggan memberikan perintah reman untuk ketiga-tiga mereka.

Sementara menurut laporan dari Twitter, aktivis mahasiswa Safwan Anang turut ditahan petang tadi.

Keempat-empat mereka ditahan di bawah Akta Hasutan 1948 dan Kanun Keseksaan. Bercakap kepada The Malaysian Insider ahli Parlimen Puchong dan peguam Gobind Singh Deo mengatakan:

"Polis telah mendapatkan waran tangkap dan sekarang mereka ditahan. Kita masih belum mempunyai maklumat lanjut setakat ini tetapi kami percaya mereka ditahan kerana menghasut. Menurut waran mereka perlu dibawa ke mahkamah secepat mungkin iaitu esok pagi.

"Kami masih cuba mendapatkan butiran di mana dan pukul berapa mereka akan didakwa. Saya tidak faham mengapa mereka perlu ditahan semalaman jika mereka akan didakwa. Mereka boleh dibawa ke mahkamah esok tetapi waran telah dikeluarkan dan kita perlu hormat itu."

"Ya," kata Chua apabila dihubungi untuk bertanyakan apakah beliau ditahan.

Apabila ditanya sebab apa beliau ditahan, Chua berkata: "Saya dibawa ke Dang Wangi."

Menurut peguam Malek Imtiaz Sarwar, keempat-empat yang ditahan akan didakwa di mahkamah Kuala Lumpur pada pukul 9.00 pagi esok

Pada 24 Mei, Tamrin, Haris dan Chua dibebaskan selepas ditahan semalaman oleh polis.

Pakatan Rakyat (PR) terdahulu mengatakan penahanan merupakan tindakan keras secara nasional terhadap pemimpin pembangkang persekutuan.

Ketiga-tiga dipercayai ditahan berhubung pengelibatan mereka dalam satu forum pada 13 Mei mengenai keputusan pilihan raya 5 Mei yang baru berakhir.

Minggu lalu aktivis mahasiswa Adam Adli Abdul Halim ditahan kerana menghasut - terlibat dalam forum sama, dituduh menghasut rakyat Malaysia ke jalan raya untuk menjatuhkan kerajaan BN.

Pelajar berumur 24 tahun itu mengaku tidak bersalah dan dibebaskan dengan ikat jamin RM5,000 dan kes akan mula didengar pada 2 Julai.

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails