Wednesday, May 29, 2013

Letak Jawatan?.. Ini Video jawapan Timbalan Pengerusi SPR buat penyokong Pakatan Rakyat..


Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar berkata, sama ada beliau mahupun Pengerusi Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof tidak boleh sewenang-wenangnya meletak jawatan memandangkan mereka telah dilantik olah Yang DiPertuan Agong dan Majlis Raja-Raja.

Justeru Wan Ahmad meminta penyokong pembangkang untuk menyemak semula undang-undang dan menghormatinya dengan tidak melakukan sebarang kekecohan yang menggangu-gugat ketenteraman negara.

"Kita tak bersalah, kita buat pilihan raya dan pilihan raya dah selesai. Ada yang menang ada yang kalah, dan kita buat pilihan raya mengikut segala peraturan dan undang-undang semua," katanya.

"Kita dilantik oleh Yang DiPertuan Agong, dan oleh Majlis Raja-Raja di bawah Perkara 114 Perlembagaan dan kalau Yang DiPertuan Agong bertitah sedemikian maka baru kena pada tempatnya suruh SPR letak jawatan," jelas beliau.

Pembangkang telah mengadakan siri perhimpunan haram di beberapa buah negeri seluruh negara mengumpulkan ribuan penyokong yang rata-ratanya masyarakat kaum Cina menunjukkan bantahan terhadap keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

BN berjaya membentuk kerajaan dengan majoriti mudah apabila menang 133 kerusi daripada 222 kerusi parlimen, manakala Pakatan Rakyat hanya memperolehi 89 kerusi.

Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapannya mendakwa kemenangan Pakatan Rakyat 'dirompak' oleh Barisan Nasional (BN) selain menuduh SPR mengkhianati amanah rakyat dengan memberi kemenangan kepada BN.

Antara tuduhan yang dilemparkan terhadap SPR termasuk isu dakwat kekal, pengundi hantu, keraguan jumlah kertas undi dan 'lampu padam' di pusat pengiraan undi.

Wan Ahmad dalam pada itu turut menyindir pembangkang yang kononya menolak keputusan SPR sedangkan dalam masa sama mengangkat sumpah sebagai menteri besar dan melantik barisan kepimpinan negeri di Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan.

"Negeri-negeri pun telah angkat sumpah semua, sebagai exco dan sebagai menteri besar termasuk Pulau Pinang dan Selangor mengesahkan menerima keputusan pilihan raya, ada segelintir yang tidak menerima keputusan pilihan raya.

"Bila menang pilihan raya dia ikut undang-undang, bila dia kalah pilihan raya dia tak mahu ikut undang-undang beginilah keadaannya nak melayan kerenah pembangkang," katanya lagi.

 


Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails