Sunday, May 26, 2013

BN Perak akan tumbang dalam masa 6 bulan?


KEMENANGAN BN di Perak dengan 31 kerusi Dun daripada 56 bukanlah kejayaan yang boleh dibanggakan, malah kemenangan itu cukup tidak selesa bagi Menteri Besar Perak, Dato’ Zambry Abdul Kadir.

BN cuma menang dengan kelebihan 3 kerusi Dun sahaja, sama seperti Pakatan Rakyat menang pada PRU12 lalu.

Pakatan Rakyat memperolehi 31 kerusi manakala BN 28, sekarang terbalik, BN 31, Pakatan Rakyat 28. Hakikatnya cukup tidak menyenangkan bagi BN walaupun mustahil Adun BN “melompat” ke Pakatan Rakyat.

Pada 2008, walaupun kemenangan berpihak kepada Pakatan, tetapi ia terlepas kuasa apabila apabila wakil rakyatnya di Jelapang, Changkat Jering dan Behrang “melompat” parti menjadi Adun bebas.

Pada PRU13, Pakatan Rakyat berjaya menawan Dun Changkat Jering, dan Jelapang tetapi gagal mengambil Dun Behrang.

Pilihan raya umum kali ini BN menang tipis di beberapa Dun, seperti Lubok Merbau (majoriti 53 undi), Manjoi (132), Pasir Panjang (304) dan Selama (619).

Apa yang menjadi kebimbangan kerajaan BN Perak apabila baru-baru ini Pakatan Rakyat Perak bertekat untuk mengemukakan petisyen di mahkamah terhadap keputusan di enam kawasan pilihan raya di negeri itu.

Kawasan-kawasan tersebut adalah Dewan Undangan Negeri (Dun) Manjoi, Manong, Lubuk Merbau, Kamunting, Pasir Panjang dan Selama.

Menurut Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak Dato’ Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, petisyen tersebut akan dibuat berikutan terdapat bukti berlakunya penipuan pilihan raya.

Antara penipuan yang dikesan termasuk warga asing boleh mengundi, orang lain sudah mengundi untuk pengundi yang sah, dan keraguan peratus undi rosak yang lebih tinggi berbanding undi majoriti.

Sekiranya kesemua petisyen tersebut, atau tiga daripada pitesyen itu berjaya, pastilah pilihan raya akan diadakan semula di kawasan berkenaan.

Memandangkan “mood” rakyat yang kian bergelora dengan slogan Pakatan Rakyat “Ini kali lah” pastinya BN cukup sengsara untuk memenangi semula Dun tersebut, sekali gus membolehkan Pakatan Rakyat menerajui semula negeri ini.

Inilah yang dinantinantikan oleh Pakatan Rakyat.

Mungkinkah kerajaan BN Perak kali ini cuma bertahan enam bulan sahaja? Segalanya ditentukan oleh Allah.

Jika diteliti pada pilihan raya umum kali ini terdapat perubahan pola pengundian serta pertambahan pengundi di beberapa buah kawasan yang dimenangi BN berbanding 2008, lebih-lebih lagi di kerusi yang mempunyai 70 peratus pengundi Melayu.

Perkembangan yang berlaku menyaksikan berlakuknya pertambahan pengundi yang mendadak di Dun Manjoi dan Pasir Panjang dalam masa lima tahun ini.

Di Manjoi, pertambahan pengundinya naik sehingga 36 peratus. Begitu juga Pasir Panjang, hampir 35 peratus pengundi baru bertambah - purata luar biasa bagi sebuah kawasan kampung.

Ini yang menjadi tanda-tanda bagaimana boleh peningkatan pengundi baru yang naik mendadak. Pada pilihan raya 2008, di Manjoi pertambahan pengundi hanya tujuh peratus sahaja, begitu juga di Pasir Panjang hanya lapan peratus. Purata biasa pertambahan pengundi baru bagi sesebuah negeri ialah sebanyak 19.6 peratus.

Oleh demikian dengan pertambahan pengundi baru yang mendadak menimbulkan satu persoalan dan inilah yang menjadi punca dua kawasan itu dimenangi BN dengan majoriti tipis.

Pada pilihan raya umum sebelum ini Dun Changkat Jong dimiliki oleh PAS, tetapi kali ini PAS tidak mampu mempertahankan kemenangan di kawasan itu.

Jika dianalisis faktor kekalahan PAS di Dun berkenaan, antara punca kekalahan PAS di kerusi itu pertambahan pengundi baru sebanyak 5,463. Calon PAS Anuar Sudin memperolehi 10,947, sementara calon BN Mohd Azhar Jamaludin mendapat 12,065. Calon PAS tewas dengan majoriti 1,718, berbanding 2008 lalu Anuar Sudin menang dengan majoriti 899.

Pada pilihan raya umum kali ini menyaksikan hampir separuh daripada jumlah undi pengundi baru itu memberi undi kepada calon BN iaitu Mohd Azhar Jamaluddin.

Inilah yang perlu dimuhasabah oleh PAS sekiranya mahu kembali menawan kerusi Dun ini pada PRU14 nanti.


~WARTA UTARA ONLINE

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails