Friday, February 8, 2013

Apa faedahnya Felda belanjakan RM100 juta untuk stadium?


Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad mengumumkan semalam bahawa sebuah stadium bakal dibina dekat Bandar Tun Abdul Razak, Jengka, Pahang tidak lama lagi.

Sinar Harian melaporkan Isa sebagai berkata bahawa pihaknya (Felda) memperuntukkan kira-kira RM80 juta sehingga RM100 juta bagi membina stadium itu untuk kegunaan pasukan bolas epak Felda United.

Persoalannya apakah pembinaan sebuah stadium merupakan satu keperluan mustahak kepada Felda di kala kedudukan kewangan Felda menimbulkan persoalan.

Di kala Felda meminjam RM6 billion daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, yang sehingga kini Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan masih belum menjawab secara spesifik dan terperinci untuk kegunaan apakah RM6 billion itu; perlukah Felda membelanjakan RM80 juta ke RM100 juta untuk sebuah stadium yang belum tentu dapat memberi pulangan lumayan.

Ditambah pula dengan harga pasaran saham Felda Global Ventures Holdings (FGVH) yang setakat hari ini hanya sekadar ‘cukup makan”.

Dalam keadaan peneroka Felda di seluruh negara dibelenggu dengan pelbagai masalah termasuk kes tanam semula yang tidak sempurna, proses tanam semula yang lewat, ladang peneroka bersemak samun, hutang peneroka yang tinggi dengan Felda (proses tanam semula dan elaun sara diri) dan pertikaian Kadar Perahan Gred (KPG) kelapa sawit; kini Felda ingin berbelanja sakan untuk satu perkara yang bukan asas atau matlamat utama pembukaan rancangan Felda itu sendiri.

Tidak nampak apa faedah jangka masa panjang untuk peneroka dan generasi baru peneroka dengan pembinaan stadium itu.

Pembinaan stadium satu pembaziran

Mewujudkan pasukan bola sepak Felda United itu sendiri seperti satu pembaziran. Tidak tahu berapa juta dihabiskan setiap tahun untuk membayar gaji pemain termasuk pemain import, jurulatih dan pegawai pasukan bola sepak Felda United. Sebahagian besar pemain pasukan bola sepak Felda United adalah diambil dari luar Felda iaitu bukan anak peneroka Felda. Tidak ada masalah jika kos menurunkan pasukan Felda United di dalam Liga Malaysia seratus peratus ditaja oleh syarikat swasta yang bukan anak syarikat Felda.

Begitu juga jika ada sektor korporat yang mahu menanggung kos pembinaan stadium itu. Tetapi Felda tidak seharusnya mengorbankan kantung Felda sendiri untuk perbelanjaan pasukan Felda United dan pembinaan stadium.

Persoalan yang harus dijawab oleh Isa apakah dengan membina sebuah stadium di sebuah kawasan Felda mampu menarik peminat bolasepak membanjiri stadium tersebut?

Secara umumnya prestasi dan minat peminat bola sepak Malaysia kepada Liga Malaysia tidak begitu memberangsangkan sejak 12 tahun lalu.

Stadium menghadapi kekurangan penonton yang dikaitkan dengan kualiti dan standard pemain pasukan bola sepak dalam Liga Malaysia agak merosot berbanding era pemain bola sepak tempatan 80an dan 90an dulu.

Stadium kosong

Merujuk sambutan peminat bola sepak pada musim 2012 Liga Malaysia contohnya , kecuali Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bahru (Kelantan), boleh dikatakan tidak ada stadium yang penuh (kecuali Final Piala Malaysia dan Final Piala FA) walaupun pasukan itu berada dalam kedudukan yang baik. Contohnya Selangor dan Negeri Sembilan walaupun Stadium Shah Alam dan Stadium Paroi terletak di pusat bandar. Ini kan pula stadium di kawasan penempatan Felda.

Malah kalau Felda United menjadi Juara Liga Super sekali pun stadium tidak akan penuh kerana pasukan kelab di Malaysia tidak mempunyai “fan base” seperti mana pasukan negeri.

Contohnya pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjadi Juara Liga Perdana pada tahun lepas, menjadi Naib Juara Piala Malaysia 2012 dan memenangi Piala Sumbangsih pada tahun ini, tetapi stadium yang digunakan oleh ATM di Stadium Paroi pada tahun ini hanya mampu menarik lebih kurang 1,000 ribu penyokong ATM sedangkan kapasiti Stadium Paroi adalah untuk 40, 000 penonton.

Stadium yang bakal dibina di Jengka ini berpotensi besar menjadi satu projek gajah putih.

Lebih baik dibelanjakan untuk perumahan, universiti dan kemudahan asas

Kekayaan yang dimiliki oleh Felda hari ini adalah titik peluh 112,635 peneroka dari seluruh negara.

Alangkah baiknya kalau RM80 juta ke RM100 juta itu digunakan untuk membina lebih banyak rumah untuk generasi kedua Felda. Alangkah indahnya kalau RM80 juta sehingga RM100 juta ini digunakan untuk membina universiti, khas untuk anak-anak peneroka sahaja. Sekurang-kurangnya mereka tidak merebut tempat dengan pelajar dari bandar dan desa.

Lawatan secara rambang di kebanyakkan rancangan Felda boleh membuktikan bagaimana rancangan Felda ini masih tidak mempunyai pusat komersial yang tidak sempurna dan perancangan bandar yang teruk.

Deretan kedai yang tidak tersusun, keadaan pasar basah yang tidak sempurna dan kotor, peniaga kecil-kecilan yang membuka gerai makanan di sisi jalan, jalan yang berlopak, tiada sistem perparitan dan longkang yang sempurna, tiada Pejabat Pos apatah lagi tiada mesin ATM (bank), tiada Balai Polis, tiada Balai Bomba dan pusat kesihatan yang lengkap merupakan senario yang biasa di kebanyakkan tanah rancangan Felda.

Apa salahnya jumlah wang sedemikian besar digunakan untuk mewujudkan bandar-bandar kecil di tanah rancangan Felda untuk memudahkan urus niaga dikalangan peneroka yang kini perlu membelanjakan duit dan masa untuk ke bandar terdekat yang biasanya terletak agak jauh dari tanah rancangan Felda.

Pendek kata kemudahan infrastruktur di kebanyakkan tanah rancangan Felda di seluruh negara masih dalam keadaan yang mendukacitakan.

~ Free Malaysia Today
Projek stadium bermula Mac

Di majlis penyampaian sijil dan anugerah anak Felda ke Akademi Bola sepak Cardiff City, Wales, di Klana Resort, Seremban semalam; Isa Samad berkata:

“Kita telah selesai melantik kontraktor bagi melaksanakan pembinaan projek stadium baru ini dan dijangka bermula awal Mac depan.

“Mengikut perancangan, kita akan bina stadium bertaraf antarabangsa bagi membolehkan pasukan bola sepak Felda terutamanya Felda United menggunakan kemudahan itu pada masa akan datang.

“Pembinaan ini mengambil masa selama dua tahun sebelum dapat digunakan,” katanya.

Mohd Isa juga berkata stadium yang boleh memuatkan 30, 000 penonton itu juga dijangka akan dijadikan sebagai sebuah kompleks bersepadu menempatkan pelbagai aktiviti sukan.

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails