Saturday, January 12, 2013

#KL112: Sepuluh Isu Kontroversi yang Najib perlu jawab


 #KL112 yang juga bermaksud Himpunan Kebangkitan Rakyat pada 12 Januari 2013 di Stadium Merdeka, kaji selidik Merdeka Center menunjukkan bahawa populariti Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menurun dua peratus.


Dalam konteks Barisan Nasional (BN) berada dalam keadaan paling lemah setelah memegang tampuk pemerintahan sebagai kerajaan persekutuan semenjak merdeka (baca: Perikatan) dan semenjak penubuhan Malaysia pada 1963, komponen-komponen parti BN termasuk parti politik yang dominan selama ini yang bergelar UMNO, mengharapkan populariti Pengerusi UMNO-BN Najib dapat diterjemahkan sebagai sokongan undi kepada UMNO-BN dalam Pilihan Raya Umum Ketigabelas (PRU-13) yang akan diadakan dalam tempoh seratus hari.

Namun begitu, hakikat bahawa Najib merupakan seorang pemimpin politik yang penuh kontroversi dan senantiasa berdiam diri apabila pentadbirannya dilandai pelbagai isu kontroversi, nampaknya merisaukan kumpulan tertentu dalam UMNO yang semakin hari semakin kehilangan keyakinan untuk memenangi PRU-13

Tanggal 3 April 2009, Najib menggantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri yang ke-6 selepas Abdullah Ahmad Badawi gagal mengekalkan majoriti dua pertiga dalam PRU-12 pada 8 Mac 2008.

Pada awal tempoh Najib sebagai Perdana Menteri, beliau cuba menonjolkan diri sebagai “Bapa Tranformasi”, dengan memperkenalkan Model Ekonomi Baru (MBE), Gagasan 1 Malaysia, Program Transformasi Kerajaan (GDP) dan Program Transformasi Ekonomi (EDP) untuk menunjukkan keazaman dan semangat bagi mentransformasikan struktur ekonomi daripada negara berpendapatan menengah ke sebuah negara maju yang berpendapatan tinggi.

Beliau juga mengumumkan sambungan pemberian subsidi dengan mengurangkan subsidi bahan api, tepung, gula dan petrol.

Pengumuman beliau membawa kepada bebanan berterusan yang ditanggung oleh rakyat akar umbi. Hampir semua harga barangan melambung tinggi dalam masa yang singkat sementara harga gula dinaikan sebanyak 20 sen daripada RM1.45 (2008) kepada RM1.65 (2009) di Semenanjung Malaysia.

Tindakan pentadbiran Najib dikritik mengabaikan kepentingan rakyat kerana kadar kenaikan gaji dan pendapatan boleh guna rakyat gagal untuk menyaingi kadar kenaikan harga barangan.

Najib menerangkan rasionalisasi subsidi adalah bertujuan bagi mengelakkan negara bankrap pada masa hadapan, tetapi pada masa yang sama, Najib mengekalkan subsidi kepada syarikat-syarkat kroni.

Ekoran PRU-13 semakin hampir, Najib mengubah retorik mengenai falsafah transformasinya bahkan banyak daripada program yang dirancang oleh beliau tidak dilaksanakan sepenuhnya atau tidak berada di landasan betul dan hampir selalunya berhenti di pertengahan jalan.

Beliau yang menyatakan negara akan bankrap jika pemberian subsidisi diteruskan kepada rakyat kini mengumumkan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bernilai RM500 dan seumpamanya untuk menyelamatkan diri dan UMNO-BN daripada kegagalan apabila PRU-13 diadakan nanti.

Melihat kembali perkembangan semenjak Najib menjadi Perdana Menteri, Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) telah meninjau kembali dan menyenaraikan sepuluh isu kontroversi yang mencorakkan kelemahan Najib sebagai seorang Perdana Menteri:

Jadual 1: Sepuluh Isu Kontroversi Sepanjang Najib sebagai Perdana Menteri
No
Isu Kontroversi
Respons Najib/Pentadbiran Najib
1. Kematian Altantuya  Rakan karib Najib, Abdul Razak Baginda yang disyaki terlibat dalam kematian Altantuya telah dibebaskan.
Pada Disember 2012, ahli perniagaan, Deepak Jaikishan menamakan seorang adik Perdana Menteri Datuk Nazim Razak sebagai individu yang didakwanya bertanggungjawab membayar penyiasat persendirian P Balasubramaniam untuk menandatangani akuan berkanun (SD) kedua. Bala pada awalnya menandatangani satu akuan berkanun mengaitkan Datuk Seri Najib Razak dengan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu.
Deepak mendedahkan bahawa isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor mempunyai kaitan dengan kontroversi berhubung Altantuya yang mati dibunuh.
      Najib lafaz sumpah tidak mengenali Altantuya. Najib dan Rosmah membisu atas semua dakwaan Deepak.
2. Skandal pembelian kapal selam Scorpene  Suaram, sebuah pertubuhan bukan kerajaan telah melantik seorang hakim bebas di Mahkamah Perancis bagi membicarakan kes dakwaan rasuah pembelian Scorpene.
Pihak Perancis pada 27 November 2012, Peguam Perancis, Apoline Cagnate. Apoline dalam taklimatnya di Kota Singa, Singapore berkata akan menggabungkan perbicaraan pembunuhan Altantuya Shaariibuu, dalam siasatan Scorpene.
 Suaram didakwa merupakan sebuah badan yang tidak berdaftar dan juga dibiayai oleh dana asing sejak tahun 2008.  Suaram didakwa menggunakan dana asing bagi membiayai kegiatan ceramah politik dan menggerakkan demonstrasi jalanan dengan motif memfitnah kerajaan serta beberapa pemimpin negara ini.
Skandal pembelian kapal selam Scopena masih belum diselesaikan.
3. FBC Media  Pada Ogos 2011, dunia kewartawanan bersifat penyiasatan dipelopori Sarawak Report menyaksikan pendedahan skandal penyelewengan wang rakyat sebanyak RM57.68 juta dalam projek ‘Global Strategic Communication Campaign’ yang juga merupakan perjanjian antara Kerajaan Malaysia dengan FBC Media (UK) Limited, yakni sebuah firma media dan hiburan di Eropah.       Kerajaan menyatakan projek berkaitan berfungsi untuk mengendalikan kempen media di peringkat antarabangsa dan menjalankan beberapa aktiviti promosi Malaysia. Namun demikian, Sarawak Report telah mendedahkan bahawa apa yang dikendalikan oleh projek tersebut bercorak aktiviti politik kotor yang melibatkan serangan peribadi dan publisiti palsu melalui program televisyen dan blog.  Najib memberi alasan bahawa FBC Media membantu meningkatkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan dan pelaburan semasa.
4. Kematian Teoh Beng Hock, kematian Kugan dan kematian Amirulrasyid  Badan Teoh Beng Hock ditemui mati di bangunan SPRM.
Kugan ditemui mati dalam lokap. Keluarga mengesyaki Kugan didera semasa di dalam lokap kerana banyak kesan calar balar di belakang, pergelangan tangan dan lehernya.
Seorang pelajar berumur 14, Amirulrasyid  ditembak mati oleh anggota Polis semasa dikatakan melarikan diri daripada sebuah kereta terlanggar yang dipandunya.
      Najib mengumumkan penubuhan Suruhanjaya Diraja Menyiasat Kematian Teoh Beng Hock dengan terma siasatan, iaitu Suruhanjaya Diraja hanya meneliti cara soal-siasat SPRM, dan bukannya punca kematian Teoh Beng Hock.  Suruhanjaya berkenaan merumuskan bahawa Teoh Beng Hock membunuh diri.
9 suspek dipercayai terbabit dalam kes kematian Kugan, tetapi akhirnya hanya seorang konstabel polis, Navindran dijatuh hukum penjara selama 3 tahun.
Korporal Jenain Subi atas kesalahan menyebabkan kematian Aminulrasyid Amzah telah dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi.
5. Isu Lynas  Lynas Corporation Ltd merupakan sebuah syarikat Australia yang diberikan kelulusan pada Januari 2008 untuk mendirikan sebuah kilang pengeluaran nadir bumi yang terletak di Gebeng, Kuantan, Pahang. Loji ini dijangka beroperasi pada September 2011 tetapi dibantah oleh penduduk tempatan diketuai oleh Naib Presiden PKR, Fuziah Salleh.
Beberapa perhimpunan yang bernama perhimpunan hijau diadakah bagi membantah operasi kilang Lynas. Perhimpunan hijau 2.0 juga berjaya berhimpun kira-kira 20,000 orang yang datang dari seluruh negara ini bagi membantah perkilang pencemaran yang bakal menjejaskan kehidupan generasi yang akan datang
      Kerajaan telah memberi lesen operasi sementara (TOL) kepada lesen tanpa menangani masalah penempatan sisa buangan radioaktif.  4 Menteri Kabinet iaitu Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Maximus Johnity Ongkili; Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Douglas Unggah Embas; dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai turut sekali lagi berkata kabinet memutuskan bahawa sisa berkenaan tidak boleh dibiarkan di Malaysia. Tetapi, Pengerusi Eksekutif Lynas, Nick Curtis menyatakan bahawa lesen operasi sementara (TOL) tidak menetapkan syarat mengeksport keluar sisa loji itu dari Malaysia.
6. Pembaharuan Sistem Pilihan Raya  Perhimpunan Bersih 2.0 dan 3.0 diadakah pada tahun 2011 dan 2012. Tuntutan Bersih adalah bersihkan senarai undi, reformasi kepada undi pos, menggunakan dakwat kekal, tempoh kempen minimum 21 hari, akses media yang bebas dan adil, mengukuhkan institusi awam, menghentikan rasuah dan hentikan politik kotor.       Pada 15 Ogos 2011, Najib mengumumkan pembentukan sebuah jawatankuasa pilihan parlimen untuk mengkaji sistem pilihan raya. Menurut beliau, jawatankuasa tersebut akan terdiri daripada ahli-ahli parlimen dari kerajaan pusat dan pembangkang yang bakal membincangkan isu-isu pembaharuan pilihan raya sehingga tercapainya sebulat suara.  Walaupun jawatankuasa telah mengemukakan 22 syor bagi menambahbaikan proses pilihan raya pada 3 April 2012, namun hanya satu daripada lapan tuntutan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil Bersih diluluskan dalam laporan Jawatankuasa Khas Pilihan Parlimen PSC. Tuntutan yang dikatakan lulus ialah penggunaan dawat kekal.
Berikutan Rang Undang-Undang (RUU) Kesalahan Pilihan Raya (Pindaan) 2012 yang menggandungi pindaan tertentu yang penuh dengan pertikaian dan mampu mengubah wajah proses PRU-13 telah diluluskan pada petang 22 April 2012 di Dewan Rakyat, bakal menguntungkan Barisan Nasional, menyaksikan pilihan raya umum terkotor dalam sejarah Malaysia apabila RUU tersebut  dikuatkuasakan sebagai satu akta nanti dan pelaksanaannya terpakai semasa PRU-13.
Kumpulan Bersih 3.0 ambil keputusan  mengadakan perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April 2012 bertempat di Dataran Merdeka tetapi mendapat bantahan daripada pelbagai pihak. Termasuklah, pihak polis yang telah mengeluarkan arahan dengan tidak membenarkan pihak Bersih mengadakan perhimpunan 3.0 atas sebab-sebab keselamatan. Namun begitu, Bersih 3.0 masih berjaya menarik 25 ribu peserta untuk menunjukkan perasaan kepada kerajaan.
Kejayaan Bersih menyebabkan Menteri di jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz mengumumkan kerajaan akan menarik balik cadangan pindaan kepada Rang Undang-undang Kesalahan Pilihan Raya (Pindaan) 2012 di Dewan Negara pada 10 Mei 2012.
7. Menara Warisan Merdeka  Cadangan pembinaan Warisan Merdeka 100 tingkat diumumkan oleh Najib ketika membentangkan Belanjawan 2011.
Projek pembangunan bersepadu itu yang bernilai RM5 bilion dan akan dibangunkan oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB), terletak di kawasan berdekatan Stadium Merdeka dan Stadium Negara. Pembinaannya dijangka siap pada 2015.
      Walaupun kaji selidik yang dijalankan oleh Merdeka Center menunjukkan hampir dua pertiga rakyat Malaysia membantah rancangan kerajaan BN untuk membina Menara Warisan Merdeka setinggi 100 tingkat. Namun projek ini masih dikekalkan.  Pada 31 Oktober 2012, Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar mengesahkan bahawa ketinggian Menara Warisan Merdeka, akan ditambah menjadi 118 tingkat daripada 100 tingkat seperti yang dirancang.
8. National Fidlot Corporation (NFC)  Laporan Ketua Audit Negara 2010 menyatakan NFC gagal memenuhi matlamat penubuhannya. Pihak pembangkang mendakwa wujud penyelewengan terhadap peruntukan kerajaan berjumlah RM250 juta yang disalurkan kepada NFC disalah guna keluarga Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil. Ia termasuk membeli lima kondominium di Singapura dan Bangsar, dua lot tanah di Putrajaya, kereta mewah dan pelbagai transaksi yang meragukan.       Najib berkata ianya terpulang kepada peguam negara untuk memutuskan samada mahu mendakwa lembaga pengarah Perbadanan Fidlot Nasional (NFCorp) atas tudah pecah amanah atau sebaliknya. Bagaimanapun, beliau menekankan bahawa siasatan akan membawa kepada sebarang pendakwaan.  Najib tidak menggesa Datuk Seri Shahrizat meletakkan jawatan demi skandal tersebut.
9. Pelaksanaan AES  Urusan AES dikendalikan oleh Beta Tegap Sdn Bhd dan ATES Sdn Bhd. Kerajaan tidak mengeluarkan apa-apa peruntukan kerana mesin, kamera dan semuanya akan disediakan oleh dua syarikat ini.
Saman yang dikeluarkan telah dikomersilkan dan diswastakan di mana dua syarikat terbabit akan mendapat komisen daripada setiap saman bagi 831 kamera yang dipasang.
      Najib di sebelah tangan mengumumkan langkah-langkah bagi mengurangkan kos sara hidup rakyat, tetapi pada masa yang sama melaksanakan Sistem Pengangkutan Automatik (AES). Pelaksanaan AES telah menunjukkan slogan Najib bahawa Rakyat didahulukan adalah retorik.  Walaupun AES bertujuan meningkatkanPerception of Being Caught (POBC) ke tahap yang lebih tinggi ke arah mengurangkan kadar kemalangan dan kematian di jalan raya, namun polis mengumumkan ianya juga akan mengekalkan perangkap kelajuan bersama-sama AES untuk menangkap pemandu memandu laju.
Pengumuman polis menimbulkan kontroversi dan mencetuskan lebih banyak bantahan daripada orang ramai kepada kamera baru yang dipasang di lebuh raya dan jalan awam lain. Banyak suara untuk menangguhkan pelaksanaan AES ini dikeluarkan oleh pelbagai pihak termasuk dari Barisan Nasional sendiri.
Pada 18 Disember 2012, Jabatan Peguam Negara mengambil keputusan untuk membekukan semua prosiding berkaitan dengan saman kesalahan AES.Namun, sistem AES masih akan dijalankan selepas segala masalah teknikal diselesaikan.
10. Aliran Keluar Wang Haram  Jumlah pengaliran keluar wang haram meningkat 111 peratus dari AS$30.41 bilion pada 2009 atau RM94.27 bilion meningkat kepada AS$64.38 bilion atau RM199.58 bilion pada 2010.
Seorang perlabur balak, Micheal Chia yang dipercayai berhubung rapat dengan Menteri Sabah, Musa Aman yang disyaki membawa wang haram di dalam mata wang Singapura berjumlah 16 juta dollar Singapura (RM40 juta).
      Najib menyebelahi Musa Aman turut menjelaskan, pemberian dana RM40 juta kepada Umno Sabah adalah bertujuan sebagai sumbangan politik dan selagi ianya disalurkan dengan cara yang betul ianya bukan satu kesalahan.

Perdana Menteri yang Penuh Kontroversi

Najib merupakan seorang pemimpin politik yang diwarnai dengan pelbagai kontroversi. Beliau telah dibebani skandal pembelian kapal selam Scorpene dan kematian Altantuya semenjak beliau menjadi Perdana Menteri.

Kematian seorang wanita Mongolia, Altantuya Shaaribuu disyaki mengenali Najib seterusnya mendedahkan Abdul Razak Baginda, rakan karib Najib sebagai  projek service provider bagi perolehan dua kapal selam Scorpene.

Altantuya Shaaribuu sebagai penterjemah yang mengiringi Razak Baginda dalam menguruskan transaksi kapal selam di Perancis didapati dibunuh oleh dua pengawal peribadi Najib – ketua inspektor Azilah Hadri dan koperal Sirul Azhar Umar dengan tembakan di bahagian kepala dan tubuh diletupkan dengan bahan letupan tentera di hutan Puncak Alam, Shah Alam pada Oktober 2006.

Skandal pembelian kapal selam Scopena dan kematian Altantuya menghantui Najib sehingga hari ini walaupun Mahkamah Tinggi Shah Alam telah menjatuhkan hukuman terhadap Azilah Hadri dan koperal Sirul Azhar Umar manakala Razak Baginda telah dibebaskan tanpa dipanggil untuk membela diri.

Namun, kekeliruan yang timbul dalam kematian Altantuya dengan hubungan Razak Baginda dan Najib dan skandal pembelian kapal selam Scoperna yang membabitkan berbilion-bilion ringgit masih dalam siasatan.

Tindakan Najib yang tidak menangani kes tersebut secara jujur menjadi punca Najib masih terperangkap dalam skandal tersebut sehingga hari ini.

Sebuah organisasi badan bukan kerajaan, Suaram yang tidak berpuas hati dengan  keputusan Mahkamah Tinggi ke atas kematian Altantuya dan skandal pembelian Scorpena, telah memulakan kes bersama seorang hakim bebas di Mahkamah Perancis bagi membicarakan kes dakwaan rasuah pembelian Scorpene diwakili oleh tiga orang peguam iaitu Joseph Breham, William Bourdon dan Renaud Semerdjian pada 18 April 2011 untuk meneruskan siasatan ke atas dua skandal tersebut.

Tindakan Suaram mencetuskan kebimbangan pentadbiran Najib, di mana pentadbiran Najib seterusnya mengambil tindakan untuk menghalang peguam Perancis, William Bourdon atau pihak yang berkenaan untuk memasuki negara ini bagi melaporkan perkembangan siasatan.

Seterusnya Suaram telah didakwa merupakan sebuah badan yang tidak berdaftar tetapi aktif seperti sebuah pertubuhan yang sah dan dibiayai oleh dana asing sejak tahun 2008. Suaram didakwa menggunakan dana asing bagi membiayai kegiatan ceramah politik dan menggerakkan demonstrasi jalanan dengan motif memfitnah kerajaan serta beberapa pemimpin negara ini.

Serangan pentadbiran Najib terhadap Suaram melalui gangguan secara berterusan dan penganiayaan terhadap Suaram sebagai pertubuhan tidak sah telah pun menunjukkan ketakutan dan kebimbangan Najib ke atas skandal tersebut.

Beliau berusaha untuk menutup rahsia berkaitan dan secara tidak langsung kontrovasi ini bakal membawa impak cukup besar sehingga ianya berpotensi untuk menjejaskan posisi beliau sebagai seorang pemimpin negara.

Penyelewengan Wang Rakyat untuk Pulih Imej Najib

Untuk memulihkan imej negatif Perdana Menteri yang dibebani dengan skandal pembelian kapal selam Scorpena dan kematian Altantuya, Najib menggunakan wang rakyat (peruntukan di bawah Jabatan Perdana Menteri) sebanyak RM57.68 juta dalam sebuah projek perhubungan awam, ‘Global Strategic Communication Campaign’ di mana sebuah syarikat antarabangsa perhubungan awam Eropah, FBC Media (UK) Limited, untuk menjalankan kempen media secara haram yang menyalahi etika kewartawanan memandangkan beliau mengalami krisis publisiti berhubung tuduhan rasuah dan skandal yang melibatkan kes pembunuhan.

Namun demikian, projek ‘Global Strategic Communication Campaign’ juga telah didedah bercorak sebagai sebuah taktik politik kotor yang melibatkan serangan peribadi terhadap pihak Pakatan Rakyat khususnya Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan publisiti palsu melalui program televisyen dan blog.

Selepas pendedahan kempen “haram” antara Kerajaan Malaysia dengan FBC Media, CNBC dan BBC World telah membatalkan program FBC Media dan mengadakan penyiasatan ke atas insiden ini.

Skandal ini telah memalukan Malaysia di pentas antarabangsa apabila seorang Perdana Menteri terpaksa mengambil pendekatan “merasuahi” media antarabangsa bagi membina imej positif tanpa memberi apa-apa perkara yang memanfaatkan atau apa-apa perkara yang boleh dibanggakan oleh rakyat Malaysia.

Ini merupakan sikap seorang anak bangsawan yang mementingkan imej dan pujian orang lain.

Gelaran Bapa Trasformasi  

Meskipun Najib diberi gelaran oleh kumpulan penyokongnya sebagai “Bapa Trasformasi Malaysia”, namun hasrat Najib untuk mentransformasikan ekonomi politik negara sehingga digelar sekumpulan pengkaji Universiti Harvard sebagai Najibnomics lebih merupakan lanjutan kepada episod Mahathirisme iaitu kecenderungan untuk melaksanakan projek-projek mega dan untuk merangsang ekonomi melalui projek-projek mega tersebut.

Namun, projek-projek mega ini hanyalah suatu saluran untuk mengambil wang daripada rakyat bagi memberi manfaat kepada diri dan kroni.

Cadangan pembinaan Warisan Merdeka 100 tingkat diumumkan oleh Najib ketika membentangkan Belanjawan Negara 2011. Berdasarkan Belanjawan Negara 2011, Projek pembangunan bersepadu itu yang bernilai RM5 bilion akan dibina oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB), terletak di kawasan berdekatan Stadium Merdeka dan Stadium Negara dijangka siap pada 2015.

Suara bantahan kedengaran kuat selepas pengumuman Najib. Suatu kumpulan bernama 1M Malaysian Reject 100-Storey Mega Tower ditubuhkan di laman sosial Facebook. Jumlah ’Like’ mencapai sebanyak 307,552 tetapi tidak dihiraukan.

Pengkritik menganggap projek pencakar langit itu tidak diperlukan di ibu negara buat masa sekarang memandangkan ia akan menelan berbilion-bilion ringgit.

Sementara itu, kaji selidik yang dijalankan oleh Merdeka Center juga menunjukkan hampir dua pertiga rakyat Malaysia membantah rancangan kerajaan BN untuk membina Menara Warisan Merdeka setinggi 100 tingkat. Namun projek ini masih dikekalkan, bahkan akan ditambah kepada 118 tingkat daripada 100 tingkat.

Mega projek ini melibatkan tanah milik kerajaan. Di samping itu, tapak Menara Warisan Merdeka itu melibatkan pembangunan di tempat-tempat bersejarah iaitu  Stadium Negara dan Stadium Merdeka.

Manakala, kerajaan berniat memusnahkan Stadium Negara dan Stadium Merdeka bagi pembinaan Menara Warisan yang berpotensi untuk gagal seperti lambakan ruang pejabat di KLCC, malahan dengan kadar sewa yang tinggi, ianya juga gagal untuk menarik peniaga tempatan untuk menyewa pejabat di situ.

Alasan Najib untuk mempertahankan pembinaan Warisan Merdeka tiada perbezaan dengan alasan penyokong Mahathirisme; iaitu semakin besar sesuatu projek, semakin besar keuntungan yang diperolehi.

Realitinya, semakin besar sesuatu projek, semakin besar tanggungan yang bakal dipikul oleh kerajaan.

Di samping itu, jikalau berdasarkan sikap Najib yang mendambakan pujian, rancangan pembinaan Warisan Merdeka juga membawa manfaat bagi Najib mengekalkan gelaran “Bapa Trasformasi Malaysia”.

Menara Warisan Merdeka bakal menjadi petunjuk kepada zaman pentadbiran Najib.

Semangat Keadilan diabaikan oleh Anak Bangsawan

Anak bangsawan seperti Najib mementingkan kenamaan, imej, maruah dan kesenangan tetapi membelakangi prinsip keadilan, kebenaran, dan penderitaan walaupun satu demi satu kes kematian kontroversi berlaku termasuk kematian Teoh Beng Hock di bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kematian Kugan Ananthan di lokap, dan kematian Amirulrasyid daripada tembakan polis.

Tiga kes kematian tersebut mencerminkan semangat keadilan di negara ini telah diabaikan oleh pentadbiran Najib yang melaungkan slogan “1Malaysia” dalam konteks kes-kes kematian berkaitan.

Teoh Beng Hock yang ditemui mati di bahagian koridor tingkat lima bangunan Plaza Masalam, Shah Alam pada 16 Julai 2009 telah mengejutkan rakyat seluruh negara. Namun, perbicaraan yang mengambil masa lebih daripada 500 hari, berakhir dengan keputusan yang gagal untuk menemui sebarang jawapan.

Suruhanjaya Diraja Menyiasat Kematian Teoh Beng Hock ditubuhkan oleh Perdana Menteri, Najib pada 7 Januari 2011.Namun Suruhanjaya tidak menyiasat punca kematian Teoh Beng Hock. Sebaliknya, Suruhanjaya hanya meneliti cara soal-siasat SPRM, tetapi bukannya punca kematian Teoh Beng Hock.

Suruhanjaya tersebut tidak menjatuhkan hukuman ke atas pihak yang harus dipertanggungjawabkan.
Satu-satunya rumusan daripada Suruhanjaya tersebut adalah bahawa Setiausaha Politik Exco Selangor itu membunuh diri dengan terjun dari pejabat SPRM di tingkat 14 Plaza Masalam.

Tindakan Teoh Beng Hock membunuh diri didorong oleh soal siasat yang agresif, berlarutan, menindas dan keterlaluan yang dikenakan ke atasnya oleh pegawai-pegawai SPRM pada malam 15 Julai 2009 dan awal pagi keesokan harinya. Maka, adakah pegawai-pegawai berkenaan dijatuhkan hukuman yang berpatutan? Najib mengambil pendirian untuk tidak mengambil peduli kes tersebut.

Di samping itu, adakah individu-individu yang bertanggungjawab ke atas kes kematian Kugan Ananthan dan kematian Amirulrasyid mendapat hukuman yang berpatutan? Najib juga tidak mengambil peduli dalam hal sedemikian yang melibatkan prinsip keadilan.

Pada Jun 2012, Mahkamah Sesyen Shah Alam menjatuhkan hukuman penjara selama tiga tahun ke atas Navindran yang merupakan konstabel polis yang didapati bertanggungjawab menyebabkan kecederaan terhadap Kugan Ananthan.

Namun, ahli keluarga mendiang Kugan tidak berpuas hati dengan keputusan mahkamah tersebut. Mereka mendesak Navindran dikenakan hukuman setimpal di bawah Seksyen 331 Kanun Keseksaan iaitu didenda dan dihukum penjara sehingga sepuluh tahun. Selain itu, mereka juga menggesa kerajaan mohon maaf secara terbuka kepada keluarga mereka.

Kematian Kugan Ananthan dalam lokap bukanlah satu-satunya kes kecuaian pihak polis. Menurut Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam jawapan bertulis kepada Ahli Parlimen Kota Melaka Sim Tong Him bahawa seramai 209 orang tahanan meninggal dunia sejak tahun 2000 sehingga September tahun 2012.

Menurut kenyataan Hishammuddin, kebanyakan kematian berpunca daripada masalah kesihatan tahanan. Di samping itu beliau juga menafikan kematian – kematian tersebut diakibatkan oleh keganasan polis.

Sementara itu, kes kematian Amirulrasyid akibat tembakan polis berlaku pada 26 April 2010. Amirulrasyid berumur 14 yang ditembak mati oleh anggota Polis semasa apa yang dikatakan sebagai perbuatan melarikan diri selepas melanggar sebuah kereta dengan sebuah kereta yang dipandu oleh Amirulrasyid.

Pada 15 September 2011, Mahkamah Sesyen Shah Alam menjatuhkan hukuman penjara selama lima tahun ke atas Korporal Jenain Subi atas kesalahan menyebabkan kematian Aminulrasyid Amzah. Namun begitu, selepas Jenain membuat rayuan terhadap sabitan dan hukuman itu, Jenain akhirnya dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi pada 5 Disember 2012.

Dalam penghakimannya, hakim Abdul Rahman berpuas hati bahawa anggota polis tersebut melepaskan tembakan dengan tujuan memberhentikan kereta proton Iswara dipandu Aminulrasyid dan bukan dengan niat untuk membunuh remaja tersebut.

Namun, laporan polis menunjukkan Aminulrasyid mati akibat ditembak di bahagian belakang kepala, menunjukkan cara anggota polis memberhentikan kereta tersebut adalah dengan melepaskan tembakan di bahagian kepala pemandu.

Menurut kenyataan Hishammuddin bahawa sejumlah 298 orang penjenayah telah ditembak mati oleh polis dalam tempoh lima tahun iaitu dari Januari 2007 sehingga Ogos 2012. Jumlah ini termasuklah 134 orang warga Indonesia. Ini juga menunjukkan setiap bulan menemui 5 orang mati akibat tembakan polis.


Adakah jumlah ini termasuk mangsa tembakan polis yang bukan penjenayah, seperti seorang wanita bernama Norizan bt Salleh, berusia 30 tahun yang ditembak sebanyak 5 tembakan kali oleh pihak polis pada tahun 2009?

Adakah semua mangsa diberi peluang secukupnya atas prinsip keadilan oleh pentadbiran Najib?

Wang Rakyat Diboros Sewenang-wenangnya

Anak bangsawan seperti Najib tidak peduli akan keganasan oleh pihak berkuasa terhadap rakyat tanpa bersenjata, tidak peduli akan kepentingan prinsip keadilan, dan tidak peduli akan penderitaan rakyat. Namun, apa yang beliau mementingkan adalah kekayaan dan kemewahan diri, keluarga dan kroni.

Isu Projek Fidlot Kebangsaan (NFC) merupakan salah satu contoh yang terbaik bagi membuktikan Najib membiarkan ahli kabinet beliau menyalahgunakan kuasa demi kepentingan sebuah keluarga.

Isu NFC mula mendapat perhatian ramai selepas Laporan Ketua Audit Negara 2010 menemui kegagalan NFC untuk mencapai matlamat penubuhannya. Ianya terus menjadi isu panas selepas Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli mendakwa wujud penyelewengan terhadap peruntukan kerajaan berjumlah RM250 juta yang disalurkan kepada NFC.

Ianya didakwa bahawa peruntukan tersebut disalahgunakan oleh keluarga Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil. Penyelewengan yang didakwa termasuklah pembelian lima buah kondominium di Singapura dan Bangsar, dua lot tanah di Putrajaya, kereta mewah dan pelbagai transaksi lain yang meragukan.

Sebagai seorang Perdana Menteri yang bertanggungjawab ke atas tindakan-tindakan individu-individu yang bertanggungjawab ke atas pentadbiran kerajaan beliau, Najib mempunyai peluang untuk melaksanakan siasatan telus di bawah Pejabat Peguam Negara. Malangnya, Najib mengambil laluan untuk menekankan bahawa sebarang siasatan tidak akan membawa kepada sebarang pendakwaan.

Ramai pemimpin UMNO telah menggesa Shahrizat meletakkan jawatan beliau sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Ketua Wanita UMNO, malah bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed juga meminta Shahrizat supaya “jangan terlalu sayang kepada jawatan”. Namun, Najib mengambil keputusan untuk terus membisu sehinggalah Shahrizat mengumumkan bahawa beliau akan mengundurkan diri daripada jawatan-jawatan beliau.

Isu NFC ini masih berlanjutan sehingga hari ini di mana ahli keluarga Shahrizat tidak dikenakan sebarang tindakan undang-undang, walaupun suami Shahrizat telah didakwa cuba merasuah pegawai penyiasat SPRM dan polis.

Sebaliknya, pemberi maklumat, Rafizi Ramli yang membangkitkan isu ini pula dilayani sebagai “seorang penjenayah” di bawah sistem kehakiman negara ini di mana jika disabitkan kesalahan, Rafizi boleh dijatuhkan hukuman denda sebanyak RM3 juta atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Sikap Najib memberikan ruang dan peluang kepada individu-individu dalam pentadbirannya untuk menyeleweng wang rakyat juga menjadi punca kepada jumlah pengaliran keluar wang haram untuk meningkat tiga kali ganda pada tahun 2010. Ini menjadi bukti kepada kegagalan pimpinan Najib dalam mengendalikan dasar ekonomi negara secara telus dan berkesan.

Jumlah pengaliran keluar wang haram meningkat 111 peratus daripada AS$30.41 bilion pada 2009 (RM94.27 bilion) kepada AS$64.38 bilion (RM199.58 bilion) pada tahun 2010.

Skandal wang haram RM40 juta yang dibangkitkan baru-baru ini telah memberi satu gambaran bahawa kepimpinan tertinggi negara ini disyaki terlibat dalam rasuah namun Najib masih melindungi individu-individu ini.

Pada April 2012, laman web Sarawak Report telah mendedahkan dokumen daripada Suruhanjaya Bebas Menentang Rasuah Hong Kong (ICAC) yang didakwa menunjukkan seorang peguam di Sabah memasukkan sejumlah AS$30 juta (RM92 juta) dalam sebuah akaun di sebuah bank di negara Switzerland yang dimiliki oleh Datuk Musa Aman.

Kes menjadi lebih hangat apabila Parti Keadilan Rakyat mengemukakan laporan rasmi ICAC berhubung penahanan rakyat Malaysia, Michael Chia yang disyaki membawa wang haram di dalam mata wang Singapura berjumlah 16 juta dollar Singapura bersamaan RM40 juta. Michael Chia didakwa mempunyai kaitan dengan kes Musa Aman.

Namun, Najib mengambil pendirian untuk menyebelahi Musa Aman menjelaskan bahawa pemberian dana sebanyak RM40 juta kepada Umno Sabah bersifatkan sumbangan politik dan selagi ianya disalurkan dengan cara yang betul ianya bukanlah satu kesalahan dari segi undang-undang. Apabila disoal mngenai sumber sumbangan tersebut, Najib enggan mendedahkan butiran perkara tersebut dan mendakwa pembangkang juga menerima sumbangan politik bagi menjalankan operasi parti mereka.

Nazri dalam jawapan bertulis dalam Dewan Rakyat mengatakan bahawa Jabatan Peguam Negara telah meneliti dan mempertimbangkan keterangan yang dikemukakan oleh SPRM dan memutuskan tiada wujudnya elemen rasuah.

Nazri mendakwa, Jabatan Peguam Negara mengesahkan sumbangan tersebut adalah sumbangan yang dibuat kepada Badan Perhubungan Umno Sabah, dan bukannya untuk kegunaan persendirian Ketua Menteri.

Namun selepas itu, Nazri telah didedahkan mempunyai hubungan rapat dengan Micheal Chia, di mana anak Nazri menerima manfaat daripada Michael Chia melalui sebuah kenderaan mewah jenis Hummer, bernilai RM459,000.

Najib mengambil pendirian untuk tidak mempunyai pendirian tetap dan tegas ke atas tindakan-tindakan yang dilakukan oleh individu-individu dalam pentabirannya terutamanya perbuatan yang melibatkan penyelewengan wang milik rakyat Malaysia. Bahkan isterinya Rosmah Mansor juga pernah didakwa terlibat dalam pembelian cincin bernilai jutaan ringgit dan barangan mewah menggunakan wang milik rakyat Malaysia.

Penutup

Kontroversi yang didepani Najib sebagai Perdana Menteri dalam tempoh masa khidmat sepanjang 4 tahun telah membuktikan beliau tidak lagi sesuai memimpin negara selepas PRU-13.

Sebagai seorang anak bangsawan, Najib tidak memahami penderitaan rakyat yang hidup dalam kemiskinan.

Beliau tidak memahami konsep memperjuangkan semangat keadilan sepertimana beliau tidak memahami bahawa kuasanya sebagai seorang Perdana Menteri berasal daripada rakyat, bukan daripada warisan keluarga bangsawan.

Oleh itu, kes-kes seperti kematian Altantuya menggunakan bahan letupan C4, kematian Teoh Beng Hock di bangunan SPRM, kematian Kugan di lokap, kematian Amirulrasyid akibat tembakan polis yang berlaku satu per satu, gagal diselesaikan secara adil.

Oleh sebab itu, rakyat berhak bangkit dan menuntut keadilan. Di Stadium Merdeka akan dituntut supaya dikembalikan hak rakyat kepada rakyat.


Diterima dari: Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU)

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails