Thursday, January 17, 2013

Apahal sampai 25 syarat yang dikenakan untuk adakan ceramah ni?


Polis Daerah Serdang menetapkan 25 syarat kepada Pengerusi DAP Selangor, Teresa Kok untuk mengadakan ceramah politik di Bandar Puchong Jaya, dekat sini yang dijadualkan hari ini.

Adun Kinrara itu berkata, syarat itu ditetapkan oleh Ketua Polis Daerah Serdang, ACP Abd. Razak Elias tiga hari lalu dan beberapa daripadanya amat tidak munasabah

Tokoh DAP itu juga mendakwa, pihak polis mencetak 1,500 naskah notis kepada penduduk persekitaran tapak ceramah bagi menggalakkan orang ramai membantah ceramah berkenaan.

Antara syarat yang dikenakan oleh polis Serdang ialah unit amal PAS tidak dibenarkan mengawal kenderaan lalu-lintas kerana boleh membangkitkan perasaan provaksi masyarakat awam yang tidak terlibat dengan program tersebut.

Ketua polis daerah mempunyai kuasa untuk menyuraikan perhimpunan jika peserta melebihi anggaran.

Penganjur hendaklah memastikan peserta atau hadirin tidak meminum minuman keras atau mengambil dadah semasa menghadiri ceramah bagi mengelak tingkah laku yang agresif di bawah pengaruh alkohol dan dadah.

“Syarat-syarat yang dikenakan oleh balai polis Serdang itu telah mendatangkan banyak masalah pada pihak penganjur,” katanya dalam kenyataan media semalam.

Menurut Teresa lagi, oleh kerana ceramah diadakan di tepi jalan dan depan restoran, jika anggota unit amal PAS tidak dibenarkan untuk mengawal trafik ia mungkin menyebabkan kesesakan lalu lintas.

Katanya, jika polis mahu menyuraikan ceramah jika kehadiran melebihi jangkaan adalah tidak munasabah kerana pihaknya tidak dapat memastikan peserta kurang daripada 500 orang.

“Kami memang tidak boleh menghalang pelanggan minum di tapak di luar restoran. Jadi syarat yang dikenakan adalah sukar dipatuhi,” katanya.

Menurut Teresa, pada asalnya ceramah tersebut diadakan pada 8 Januari lalu tetapi polis menolak permohonan dengan alasan tempoh pemberitahuan hanya lapan hari. Dalam Akta Perhimpunan Aman pihak penganjur sepatutnya memberitahu kepada polis 10 hari sebelum program.

`Syarat ketat’

“Saya dan pembantu saya mendapati polis kelihatan mengenakan syarat yang lebih ketat terhadap pihak penganjur ceramah berbanding dengan sebelum adanya Akta Perhimpunan Aman.

“Sebelum adanya akta itu, polis selalu meluluskan permohonan program kami malah dengan notis beberapa hari sahaja, tetapi sekarang pihak polis menolak dengan alasan kami beritahu polis kurang daripada notis 10 hari.

“Selain itu, sebelum adanya akta ini, polis tidak begitu serius untuk mengajak penduduk persekitaran tapak ceramah membantah, tetapi dalam ceramah ini, polis mengedarkan 1,500 notis kepada penduduk persekitaran tapak ceramah, ini seolah-olahnya mengajak orang ramai membantah,” tambah beliau.

Teresa berkata, objektif Akta Perhimpunan Aman adalah untuk memudahkan penganjur mengadakan program atau perhimpunan dan bukan digunakan oleh pihak polis untuk menghalang perhimpunan dan program.

“Saya ingin tanya samada polis akan mengenakan syarat yang sama terhadap ceramah politik ataupun apa-apa bentuk aktiviti kami dalam kempen pilihanraya yang akan datang.

“Sekiranya ini berlaku dalam kempen pilihan raya, maka Akta Perhimpunan Aman akan dijadikan sebagai undang-undang yang boleh disalahgunakan oleh pihak polis untuk menghalang apa-apa bentuk program dan bukannya memudahkan program dan ceramah politik kami.

“Saya akan tulis surat kepada Ketua Polis Selangor untuk menyampaikan ketidakpuasan saya terhadap perkara ini,” kata Teresa lagi.


~ Free Malaysia Today

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails