Monday, December 24, 2012

Hukuman penjara terhadap Umar ditangguhkan..


Umar Muhammad Aziz, seorang pelajar kolej swasta yang dijatuhi hukuman sebulan penjara oleh Mahkamah Majistret atas tuduhan menghalang tugas penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berjaya mendapat penangguhan hukuman oleh mahkamah pagi ini.

Peguam Umar, Syahredzan Johan memohon mahkamah supaya hukuman penjara sebulan dan denda RM1000 kerana didakwa menghalang penjawat awam dari menjalankan tugas di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur ditangguh sementara keputusan rayuannya disebut semula.

Bagaimanapun Umar tidak hadir kerana masih ditahan di Penjara Kajang, Selangor sejak dijatuhkan hukuman pertengahan minggu lalu.

Umar dibenar diikat jamin RM5000 dengan seorang penjamin sementara menunggu keputusan kesnya didengar semula.

Syaratnya, dia tidak dibenarkan menyertai mana-mana perhimpunan atau demonstrasi tanpa permit dari pihak berkuasa.

Umar seorang pelajar tahun akhir jurusan diploma dalam jurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di Hulu Klang.

Umar didakwa pada 23 April mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang Mohd Masran Mamat daripada “menangkap dan mengiringi” aktivis Mohd Fahmi Reza Mohd Zarin. Insiden itu didakwa berlaku semasa serbuan mengejut DBKL ke atas perkhemahan protes di Dataran Merdeka di Kuala Lumpur pada jam 8 pagi 22 April lalu.

Aktivis siswa berkhemah di dataran tersebut sebagai bantahan mereka terhadap Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang didakwa mereka tidak adil.

Sementara itu, pelbagai pihak menyokong agar keluarga Umar menyaman Pendakwaraya yang menyebabkan proses rayuan tidak dapat dijalankan.

Ketua AMK Malaysia, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, beliau dimaklumkan oleh pihak media kes itu tidak sempat dibuat rayuan kerana ketiadaan pendakwaraya.

“Ini perkara yang memalukan kerana seseorang itu boleh dibebaskan atau ditangguhkan sementara hukuman itu sementara menunggu rayuan.

“Jadi jika pihak pendakwaraya tidak ada, itu menunjukkan mereka tidak serius untuk memastikan keadilan itu ditegakkan,” kata Shamsul.

Umar dibawa ke Penjara Kajang petang kelmarin bagi menjalani hukuman tersebut, selepas gagal mendapat pendengaran penangguhan pelaksanaan hukuman terhadapnya.

Ujar Shamsul lagi, adalah tidak adil apabila seseorang itu dihukum penjara atau ditahan dalam keadaan di mana beliau mempunyai peluang untuk hukumannya ditanguhkan sementara menunggu rayuan.

“Sewajarnya Umar ini tidak perlu ditahan dan dipenjara sementara menunggu rayuan.

“Tindakan menghukum pelajar itu adalah zalim dan memberikan kesan buruk kepada proses demokrasi negara,” katanya.


TVSelangor melaporkan. 

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails