Thursday, December 6, 2012

Kerana fitnah, Ketua Pemuda ini bakal disaman Guan Eng..


Ketua Pemuda UMNO Pulau Pinang, Shaik Hussein Mydin terpaksa membuktikan dakwaannya di mahkamah kononnya Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menerima rasuah daripada Kuala Lumpur International Dental Centre (KLIDC).

Dalam kenyaatan akhbarnya hari ini, Pegawai Khas Undang-undang Ketua Menteri Pulau Pinang, Andrew Yong berkata, Guan Eng akan membuktikan dakwaan itu di mahkamah bahawa beliau tidak korup seperti Ketua-ketua Menteri BN yang dikait dengan skandal sumbangan RM40 juta atau memiliki kekayaan luar biasa.

“Kerana terdesak untuk kekal berkuasa, UMNO terpaksa menggunakan fitnah dan kawalan ke atas media untuk menyebarkan fitnah terhadap Lim. Maka, Lim tidak mempunyai pilihan lain melainkan menyaman Shaik Hussein dan BN dalam mahkamah kerana fitnah,” ujar beliau.

Menurut beliau, Shaik Hussein, Pemuda UMNO dan BN negeri mendakwa bahawa KLIDC menawarkan wang kepada Guan Eng bagi menyokong tender untuk tanah seluas 1.1 ekar di Taman Manggis untuk pembinaan hospital swasta.

“KLIDC tidak menerima apa-apa bantuan dalam pembidaan mereka untuk tanah berkenaan kerana ia ditawarkan kepada umum melalui tender terbuka. Pembida tertinggi sudah dipilih,” kata beliau sambil menambah bahawa BN tidak mengamalkan tender terbuka demi memperkayakan kroni.

Beliau menambah bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang pimpinan Pakatan Rakyat mengambil pendirian tegas terhadap rasuah.

Pulau Pinang adalah negeri pertama yang melaksanakan tender terbuka, membuat pengisytiharan harta Ketua Menteri dan Ahli EXCO, melarang ahli keluarga daripada berurus niaga dengan kerajaan negeri serta melarang wakil rakyat dan ahli majlis daripada memhon tanah kerajaan.

Andrew turut menambah bahawa tiada guna membazirkan masa untuk memenuhi undangan dialog umum oleh Shaik Hussein kerana itu hanya menunjukkan Ketua Pemuda UMNO Pulau Pinang itu tidak berani membuktikan tuduhannya di mahkamah, sambil menambah bahawa Guan Eng mempunyai hak untuk menyaman Shaik Hussein kerana membuat tuduhan fitnah tanpa bukti.

“Kebebasan bersuara dan kebebasan media tidak memberi hak kepada seseorang untuk memfitnah dan membuat kenyataan palsu,” ujar beliau lagi.

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails