Wednesday, December 19, 2012

Gagal memujuk.. Buku memburukkan Presiden PAS 'Kafirkah Aku?' pula diedar UMNO...


Setelah berbagai pendekatan memujuk PAS agar bersama mereka dalam agenda memperbodohkan rakyat dan menjarah harta negara digunakan mereka menemui jalan buntu, UMNO mememburuk-burukkan PAS.

Sebelum ini kita telah menyaksikan beberapa lukisan mural yang terpampang di PWTC yang cuba mengaitkan PAS dengan A-Maunah ( lihat di SINI ).. kini buku yang memburuk-burukkan Presiden PAS pula diedarkan..

Buku setebal 85 muka surat dengan judul 'Kafirkah Aku' yang harga jualannya RM10 telah diedar secara percuma di beberapa buah Sekolah menurut seorang sahabat yang bertugas di salah sebuah Sekolah yang telah diedarkan buku tersebut.

Sasarannya ialah semua Guru-guru dan juga Kakitangan Sekolah..

Berikut adalah ulasan mengenai buku tersebut oleh wartawan UTUSAN..


Dalam buku setebal 85 muka surat itu, Al-Afghani yang pernah berjuang bersama Mujahidin di bumi Afghanistan mendedahkan bagaimana ahli-ahli Pas seperti dirinya begitu taksub dengan perjuangan Pas.

''Tidak keterlaluan kalau dikatakan waktu itu, masing-masing sanggup berkorban apa sahaja demi kawan atau istilah 'orang kita'. Lingkungan orang kita ini hanyalah terdiri daripada ahli Pas. Walaupun ahli keluarga, tetapi masih UMNO tidak diiktiraf sebagai orang kita. Lebih dahsyat lagi hingga ada yang memutuskan hubungan keluarga. Pendirian ini diambil sebenarnya bukanlah mengikut nafsu tetapi ada dalil-dalil yang disampaikan oleh pimpinan Pas."

Demikian coret Al-Aghani dalam muka surat 7 buku berkenaan yang memaparkan bagaimana demi perjuangan Pas, ahli-ahli parti itu sanggup melakukan apa sahaja hatta menjatuhkan hukum kafir kepada mereka yang tidak sehaluan politik.

Keadaan itu menjadi bertambah parah dengan lahirkan Amanat Haji Hadi yang disampaikan pada 7 April 1981 di Kampung Benggol, Peradong, Kuala Terengganu. Sehingga hari ini amanat yang dianggap mencetuskan pelbagai konflik dalam kalangan umat Islam khususnya antara pengikut UMNO dan Pas tidak ditarik balik oleh Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang kini menjadi Presiden Pas.

Sebab itulah dalam buku itu, Al-Afghani mencoretkan sebuah 'Warkah Buat Datuk Seri Haji Hadi' yang antara lain meminta Abdul Hadi menarik balik amanat tersebut dan isytihar secara terbuka bahawa UMNO tidak kafir di sisi Islam.

''Dengan ini juga memudahkan lagi kami yang dalam dilema ini berlepas diri daripada ikatan amanat tersebut. Memudahkan kami memohon maaf kepada saudara kandung dan ahli keluarga, jiran tetangga, orang kampung, rakan sekerja juga pimpinan UMNO yang pernah dikafirkan satu masa dulu. Selagi mana Datuk Seri tidak mahu mengisytiharkan begitu, selagi itulah persoalan yang sering menghantui 'Kafirkah aku jika bersama UMNO, Kafirkah aku setelah dipecat dari Pas' tetap mencengkam saya. Datuk Seri harus bertanggungjawab di atas keresahan ini, bebaskanlah kami dari ikatan amanat Datuk Seri itu," tulis Al-Afghani.

Hakikatnya, buku 'Kafirkan Aku?', bukan sekadar berlegar kepada kesan amanat Abdul Hadi sahaja tetapi jauh daripada itu satu renungan dan iktibar serta peringatan kepada ahli-ahli Pas yang masih taksub dengan perjuangan parti itu untuk memahami hala tuju parti tersebut yang semakin bercelaru.

Ia kerana seperti mana dipaparkan Al-Afghani terlalu banyak perkara yang dilakukan oleh Pas sekarang bertentangan dengan prinsip perjuangan asal parti itu dan segala-galanya berlaku kerana keterujaan Pas untuk mengejar kuasa ke Putrajaya bersama rakan-rakan sekutunya.

Malahan apa yang paling mengecewakan insan-insan perjuang tegar Pas seperti Al-Afghani, pemimpin-pemimpin parti itu bersedia melakukan apa sahaja kerana 'dalam mencapai matlamat (ke Putrajaya), pedulikan dulu apa juga yang ada di kiri kanan lebuh raya ke Putrajaya.'

Sebab itulah prinsip dan dasar sedia ada dikorbankan, tiada lagi ayat-ayat al-Quran atau dalil-dalil yang dibacakan oleh alim ulama Pas berhubung kerjasama dengan bukan Islam seperti mana dahulu mereka sering membaca surah al-Nisa ayat 144 yang bermaksud;

''Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kami mengambil orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang yang beriman.Adakah kamu hendak mengadakan alasan yang terang dan nyata bagi Allah untuk (menyeksa) kamu."

Al-Alfghani juga dalam bukunya itu turut mempersoalkan mengenai tindak-tanduk kepimpinan Pas terutamanya dalam perjuangan melaksanakan hukum hudud yang kini semakin dipinggirkan sedangkan perjuangan itulah yang mengakibatkan ahli-ahli Pas sanggup melakukan apa sahaja dengan hasrat ingin melihat Pas memerintah negara ini, menggantikan pemerintahan sekular yang dibawa oleh UMNO.

''Sering kali disebut oleh pemimpin Pas, andainya Pas dapat memerintah negara pada 12 jam tengah malam, maka undang-undang Islam akan dilaksanakan pada jam 12.01 minit. Terhapuslah di situ undang-undang Lord Reid. Sokongan padu pada Pas diberikan atas dasar ini, yakni mahu lihat hukum hudud dilaksanakan. Selagi hudud tidak dilaksanakan, ertinya perjuangan Pas masih gagal. Bagaikan makan tidak bergaram, minuman tidak bergula," hujah Al-Afghani.

Apa yang menarik Al-Afghani turut menimbulkan pelbagai persoalan mengenai kemelut yang berlaku dalam pentadbiran negeri di bawah Pas yang disimpulkan oleh beliau, ''Pada saya, Pas belum boleh diberi kepercayaan menerajui pemerintahan negara berdasarkan beberapa perkara. Biarlah rakyat dan ahli Pas Kedah tertipu, jangan pula seluruh rakyat Malaysia turut terpedaya. Slogan Kerajaan kebajikan, Kedah sejahtera dan Serambi Mekah masih jauh tersasar.''

Mungkin bagi mereka yang taksub kepada perjuangan Pas, seperti biasa mereka akan menuduh Al-Afghani sudah 'dibeli' oleh puak-puak tertentu, Al-Afghani adalah tali barut UMNO dan Barisan Nasional, Al-Afghani adalah pengkhianat kepada Pas.

Tetapi sebelum mereka membuat tafsiran dan tuduhan sedemikian, baca dan kajilah segala hujah dan fakta yang dipaparkan oleh Al-Afghani dalam buku berkenaan, kemudian bandingkanlah dengan situasi Pas sekarang, sudah pasti mereka akan menemui kebenarannya.

Bak kata, Al-Afghani dalam buku itu, ''Tujuan saya tidak lain, semata-mata menyelamatkan ummah yang sedang hanyut dibawa gelombang hijau, biru, merah dan kuning. Atas nawaitu ini, saya terpaksa membelakangkan segala tohmahan, Lontarkan rasa takut terhadap makhluk dan menelan segala kepahitan.

Arus yang dibawa oleh gelombang hijau ini, nampaknya begitu besar. Bagaikan tsunami yang melanda semua tumbuhan dan bangunan di tepi pantai. Saya tampil di suasana begini untuk berteriak, agar insan yang di tepi pantai segera menyelamatkan diri ke tempat yang lebih tinggi. Kembali ke landasan perjuangan sebenar berpandukan al-Quran dan sunnah.''

Oleh Zulkiflee Bakar, Utusan Malaysia 

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails