Friday, November 23, 2012

Nurul Izzah pula saman Utusan


Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar hari ini memfailkan saman fitnah terhadap Kumpulan Utusan dan ketua pengarangnya berhubung laporan berkenaan dengan kenyataan menyentuh kebebasan beragama, yang menurut beliau telah diputarbelitkan oleh akhbar terbitan syarikat berkenaan.

Syarikat itu merupakan penerbit akhbar Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia.

Nurul Izzah memfailkan tuntutan saman melalui firma guaman Tetuan Mohamed Hanipa & Associates di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Beliau selaku plaintif, menamakan syarikat Utusan Melayu (M) Berhad dan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak masing-masing defendan pertama dan kedua.

Saman itu berhubung empat artikel yang disiarkan di muka hadapan akhbar Utusan Malaysia antaranya bertajuk: "Melayu bebas pilih agama? Rakyat tidak harus dipaksa amal ajaran tertentu - Nurul Izzah" bertarikh 5 November lalu.

Menurut pernyataan tuntutan, Nurul Izzah menuntut defendan meminta maaf dan menarik balik tuduhan fitnah dalam masa 24 jam daripada tarikh perintah ke atas writ saman di muka hadapan Utusan Malaysia, ganti rugi am, ganti rugi teladan dan ganti rugi melampau, tetapi nilai tuntutan tidak dinyatakan.

Menurut pernyataan tuntutan, tiga lagi artikel yang diterbitkan akhbar berkenaan di muka surat lima bertarikh 6 November 2012 pula adalah "Nurul Izzah cuba gadai Islam, Melayu"," Naib Presiden PKR letak akidah lebih rendah daripada politik" dan "Kenyataan Nurul Izzah bertujuan jadikan Malaysia negara Pluralisme agama".

Nurul Izzah yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai juga menuntut injunksi kekal ke atas Utusan Malaysia bagi menghalang akhbar tersebut terus menyiarkan artikel sama.

Beliau tidak menyatakan jumlah ganti rugi yang dituntut dalam saman tersebut.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu didakwa membuat kenyataan tersebut sewaktu menjadi panelis forum “Negara Islam: Versi yang Mana; Siapa Bertanggungjawab?" di Gereja Full Gospel Tabernacle, Subang Jaya pada 3 November lalu.

Berikutan itu, beliau kemudiannya dikecam beberapa pihak termasuk Sultan Sultan melahirkan rasa kesal.
 
~ Sinar Harian

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails