Tuesday, October 30, 2012

Pemuda UMNO sokong langkah tangguh pasang AES oleh Pakatan Rakyat..


Pemuda Umno hari ini sebulat suara menuntut kerajaan supaya menangguhkan hasrat untuk pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES).

Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata, terlalu banyak kelemahan AES dikenal pasti walaupun sistem itu bertujuan untuk menangani berlakunya kes kemalangan.

“Bukan tak setuju. Mungkin pada dasarnya ia satu cadangan yang baik tapi kami sebulat suara tuntut kerajaan tangguhkan AES dan kaji semula pelaksanaan tersebut,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Pemuda di Bangunan Umno di sini hari ini.

Ahli Parlimen Rembau itu berkata, kajian itu perlu meliputi kewajaran lokasi kamera itu dipasang, had laju yang praktikal, serta pendedahan kepada umum sebelum ianya dilaksanakan memandangkan terlalu banyak rungutan diterima mengenainya.

“Penangguhan ini juga tak bermakna menghalalkan pengguna jalan raya melanggar undang-undang sedia ada tapi AES ni terlalu banyak masalah.

“Harap jemaah menteri yang bermesyuarat pada minggu ini dapat membincangkan mengenai isu ini dan dapat keluarkan satu keputusan,” katanya.

Semalam, empat negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat – Selangor, Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan – memutuskan untuk menangguhkan pelaksanaan AES di negeri-negeri terbabit.

Pemasangan AES 

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dilaporkan berkata, sebanyak 331 kamera AES dicadang untuk dipasang di empat negeri itu, namun pelaksanaannya terpaksa ditangguhkan.

Ini memandangkan pemasangan AES itu seharusnya mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa di peringkat kerajaan negeri terlebih dahulu.

“Kami akan bertemu Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Long See Wool bulan depan bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai AES termasuk kos dan syarikat pengendali,” katanya dipetik Bernama.

AES adalah sistem kamera automatik berteknologi tinggi yang dipasang di lokasi ‘hitam’ bertujuan meningkatkan kecekapan sistem penguatkuasaan selain mampu mengurangkan kemalangan maut.

Ia merakam pesalah trafik yang melanggar dua kesalahan utama iaitu memandu melebihi had laju dan melanggar lampu merah.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) juga sebelum ini pernah membuat kenyataan menafikan pihaknya akan mengaut keuntungan daripada sistem tersebut.

Katanya, setakat ini hanya dua daripada tujuh syarikat yang memohon layak mendapat tender pemasangan kamera AES dengan tempoh konsesi 66 bulan, iaitu ATES Sdn Bhd yang menggunakan teknologi robot daripada Jerman dan Beta Tegap Sdn Bhd yang menggunakan teknologi Redflex daripada Australia.

Free Malaysia Today

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails