Monday, October 1, 2012

Terdesak nak kekal berkuasa, UMNO/BN jual MyKad, RM1000 sekeping?


Dari laporan Akhbar Daily Express bertarikh 29 September 2012 di atas, seorang warga asing bernama Hassannuddin Bin Manna memberitahu mahkamah bahawa dia telah membeli Mykad palsu dengan harga RM1000.

Mahkamah juga telah memutuskan Hassannuddin didenda dan dipenjara kerana memiliki dokumen palsu, sekaligus mengesahkan Kad Pengenalan yang diperolehi Hassannuddin adalah palsu.


Namun setelah disemak nombor kad pengenalan milik Hassannuddin (741029125463), SAMM mendapati nombor Kad Pengenalan palsu tersebut wujud dalam pangkalan data SPR dan juga merupakan pengundi yang sah.


Persoalannya, bagaimana seorang warga asing yang telah didapati bersalah oleh mahkamah kerana memiliki kad pengenalan palsu didapati layak untuk mengundi? Kad Penganalan yang dikenalpasti tidak sah, tetapi sah untuk mengundi mengikut bancian senarai pengundi SPR? Bagaimana ini berlaku?

Kad pengenalan ini juga didapati mempunyai rekod di JPN dengan status 'telah diambil'. Ini bermakna Kad Pengenalan palsu ini telah diluluskan di JPN. Siapa pegawai yang meluluskannya? Siapakah kerani kaunter yang melepaskan kad pengenalan palsu ini untuk diambil?

Apakah ini satu lagi kerjasama utuh di antara Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan juga melibatkan bantuan dari Jabatan Imigresen? Inikah hasil daripada program 6P yang cuba dilaksanakan secara terburu-buru oleh Jabatan Imigresen?

Isu pemberian Mykad kepada warga asing merupakan satu isu yang sangat serius ketika ada warga sendiri yang masih tidak diberi kad pengenalan kerana birokrasi melampau. Percayalah lambat laun warga negara sendiri terpaksa merempat di bumi bertuah ini.


Keadaan menjadi lebih parah apabila warga asing diberikan pula hak untuk mengundi oleh SPR. Apakah demokrasi negara ini dibiarkan terjual kepada warga asing demi menyelamatkan Barisan Nasional daripada kehilangan kuasa?

Lihatlah bagaimana kedudukan warga asing di serata pelusuk negara walaupun tanpa memiliki dokumen yang sah, mereka mampu berniaga di pasar pagi, pasar petang siang dan malam, membuka gerai, bengkel malah ada yang mempunyai syarikat pembinaan sendiri. Bayangkan jika warga asing diberikan kad pengenalan secara sewenang-wenangnya demi mempertahan regim pemerintah sedangkan ia sebenarnya satu skim menjual negara.

* Kenyataan Media oleh Edy Noor Reduan, Pengarah Propaganda, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)*

Kenyataan Media sepenuhnya sila baca di ( Edyesdotcom )

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails