Saturday, October 13, 2012

Dalang bagi isu Soros dan Pakatan Rakyat akhirnya terdedah!!


Buku panduan berbahasa Melayu ini disediakan sebagai rujukan pegawai kempen JASA satu daripada beberapa badan utama gerak saraf kerajaan dan ia dibuka dengan petikan kata-kata Najib.

Pada Mac lalu, menteri penerangan, komunikasi dan kebudayaan Rais Yatim dilaporkan berkata sebanyak 50,000 naskhah akan dicetak, termasuk untuk rujukan orang awam di luar bandar.

Projek memburuk-burukkan pembangkang dengan jutawan George Soros seperti yang dilaporkan meluas oleh media sekarang telah dirancang oleh sebuah jabatan khas Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan sejak pertengahan tahun ini.

Melalui sebuah buku tebal Panduan Penjelasan Isu Semasa terbitan Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim didakwa mendapat dana spekulator mata wang dunia itu bagi menghadapi pilihan raya umum.


Dengan menonjolkan beliau sebagai ejen Yahudi Zionis, Soros melalui Institut Masyarakat Terbuka (OSI) didakwa mendanai Kumpulan Krisis Antarabangsa (ICG) yang disertai Anwar.

"... Anwar merupakan antara ahli majlis eksekutif ICG ... sebahagian besar (pemimpin) dalam ICG adalah berbangsa Yahudi," buku setebal 322 halaman itu dipetik.
"Soros mengkritik tindakan kerajaan Malaysia dan membela Anwar semasa beliau didakwa atas (tuduhan) salah guna kuasa."

Hubungan Soros-Anwar ini dimuatkan dalam bab "Kumpulan Krisis Antarabangsa (ICG) dan hubungan Zionis", satu daripada 22 bab yang disusun bagi menjawab isu dan program yang dibangkitkan oleh Pakatan Rakyat sehingga Jun lalu.

Bagi menggambarkan perhimpunan "BERSIH 3.0 itu kotor" pula, Anwar didakwa memulakan huru-hara pada 28 April lalu dan beliau sendiri disokong oleh ahli parlimen Australia yang pro-hubungan seks sejenis.



Soros (kanan) menjadi perhatian semula sejak awal bulan lalu apabila kerajaan mempertikaikan dana NGO hak asasi Suaram yang dikaitkan dengan jutawan tersebut.

Ia disusuli laporan konsisten media-media pro-kerajaan yang mengaitkan dana Soros dengan sejumlah NGO lain termasuk pendesak pilihan raya bebas BERSIH dan portal berita Malaysiakini.

Dana berjumlah ratusan juta ringgit itu kononnya untuk "menggugat" kerajaan.

Ekoran itu, kumpulan NGO berkenaan mengugut untuk menyaman New Straits Times yang memuatkan laporan tersebut di muka depannya.

Baru-baru ini pula, bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad menyifatkan "undi untuk Pakatan Rakyat bermakna undi untuk Soros" dengan alasan beliau mendalangi usaha "pertukaran regim" di negara ini dalam pilihan raya umum nanti.


Isu-isu lain yang dimuatkan dalam buku panduan ini termasuklah kontroversi Pusat Fidlot Nasional, himpunan BERSIH 3.0, pemerolehan Scorpene, loji pemprosesan nadir bumi Lynas, program Buku Jingga, kematian Teoh Beng Hock, durian runtuh Felda dan penyenaraian Felda Global Venture Holdings (FGV), tuntutan pelobi pendidikan Cina Dong Zong dan kritikan terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Buku yang ditulis dalam bentuk soal jawab ringkas ini turut memberikan perhatian khusus kepada Kelantan dan Sabah.

Sumpah PM tentang Altantuya

Isu-isu utama berkaitan negeri pimpinan PAS itu dimuatkan dalam tiga bab khas: tuntutan royalti petroleum, pencemaran air paip dan projek ladang rakyat.

Tiga bab lagi ditujukan bagi menjawab isu di Sabah: kebanjiran pendatang asing, tanah adat dan kempen "Sabah for Sabahans".

Bagaimanapun bab terakhir "tuduhan pembunuhan Altantuya (Shaariibuu)" tidak memakai format soal jawab atau penjelasan lengkap seperti bab-bab lain.

Ia hanya memuatkan sepenuhnya sumpah Perdana Menteri Najib Abdul Razak sewaktu menafikan pembabitannya dengan wanita Mongolia itu bersempena kempen pilihan raya kecil Permatang Pauh pada 2008.

Sementara 22 bab lagi disusun bagi menjelaskan dasar-dasar kerajaan dan senarai program yang dimajukannya. Dibahagikan kepada tiga, bahagian pertama 'dasar-dasar negara' dimulakan dengan bab-bab berikut:

Wawasan 2020, gagasan 1Malaysia, Rancangan Malaysia ke-10 dan program transformasi kerajaan (GTP).

Ia juga menjelaskan tentang Bajet 2012, skim Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), kempen kerajaan mengurangkan rasuah dan kadar jenayah serta langkah mengawal kenaikan harga dan program meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah.

Satu halaman diperuntukkan untuk menyenaraikan 20 tokoh paling kaya di Malaysia dengan kesimpulan: " ... orang Melayu hanya tiga orang (15 peratus) manakala Cina 16 orang (80 peratus) dan India seorang (5 peratus)."


Ia juga memuatkan statistik-statistik lain yang menunjukkan kemunduran Melayu dalam bidang ikhtisas (profesional), pemilikan ekuiti dan premis perniagaan.

Bab-bab ini diikuti dengan program memajukan bumiputera seperti Teraju sebelum melakarkan "kejayaan negara" di mata dunia.

Malaysia digambarkan aman makmur walaupun penduduknya berbilang-bilang kaum dan agama; tidak seperti hura-hara yang dialami dalam krisis Asia Barat beberapa bulan kebelakangan.

~ Malaysiakini

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails