Sunday, August 5, 2012

Tun Salleh Abas bantu Rafizi hadapi kes Bafia


SHAH ALAM - Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas bersedia menghulurkan khidmat nasihat perundangan kepada Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli yang berhadapan dengan tuduhan berkaitan projek kontroversi National Feedlot Corporation (NFCorp).

Rafizi mengesahkan ada menerima panggilan daripada Salleh kelmarin, memaklumkan kesediaan untuk memberi pandangan untuk berhadapan dengan tuduhan di bawah Akta Bank dan Institusi-institusi Kewangan (Bafia) 1989.

 "Ya, betul Tun Salleh Abas ada hubungi saya. Tun berkata beliau bersedia untuk membantu saya memberi khidmat nasihat menghadapi kes ini.

"Setakat ini bukan sebagai peguam tetapi lebih kepada khidmat nasihat... saya akan berbincang dengan peguam saya N. Surendran mengenai perkara ini," kata beliau ketika dihubungi. Dalam satu mesej Twitter, Rafizi berkata,

"pagi tadi (3 Ogos) dapat 1 panggilan. Sangat teruja sebab yang telefon itu hero saya masa kecil-kecil: Tun Salleh Abas, bekas Ketua Hakim Negara, mahu bantu kes."

Rabu lalu, Rafizi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam terhadap pertuduhan mendedahkan penyata akaun projek NFCorp yang menimbulkan kontroversi kepada dua pengamal media.

Rafizi, 35, didakwa mendedahkan dokumen penyata baki akaun pelanggan Public Bank Bhd iaitu NFC, National Meat & Livestock Sdn Bhd, Agroscience Industries Sdn Bhd dan Pengerusi NFC Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail, yang beliau mempunyai akses, kepada Yusof Abdul Alim dan Erle Martin Carvalho di Ibu Pejabat PKR di Merchant Square Jalan Tropicana Selatan Petaling Jaya pada 7 Mac lepas.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 97(1) Bafia, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 103(1)(a) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda maksimum RM3 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Selain itu, kerani bank Johari Mohamad, 41, yang didakwa bersubahat dengan Rafizi pada tarikh dan di alamat yang sama, juga mengaku tidak bersalah.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata, beliau menghargai sokongan sedemikian, lebih-lebih daripada seorang bekas Ketua Hakim Negara.

"Saya akan bertemu dengan beliau dalam waktu terdekat... tarikh belum ditetapkan, beliau pun ada kes, beroperasi di Terengganu. Nanti saya maklumkan kalau ada apa-apa perkembangan," katanya lagi.

Kes itu akan disebut semula bulan depan.


Sinar Harian

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails