Friday, August 10, 2012

Haram sokong DAP?.. Dr. Asri bidas Pengasas Pondok Geting


SHAH ALAM - Bekas Mufti Perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin berharap pandangan seperti haram dan berdosa mengundi DAP tidak membawa kemudaratan, dan 'fatwa' sedemikian perlu diteliti semula dalam konteks politik sebenar negara ini.

Mohd Asri berkata, oleh kerana perkara tersebut merujuk kepada DAP, rakan politik dalam Pakatan Rakyat (PR), Barisan Nasional (BN) juga ada parti komponen yang mempunyai pendirian seakan sama dengan DAP.

"Itu, kalau kita kata haram, kena melihat pada alasan mengapa kita kata begitu.

"Kalau kita kata haram (mengundi DAP) kerana dia tidak menyokong negara Islam, ada juga parti dalam BN seperti MCA dan MIC tidak menyokong... jadi kita mengambil pendirian sebahagian sahaja (dalam mengatakan haram dan dosa)," kata beliau.

Mohd Asri mengulas kenyataan Pengasas Pondok Geting, Tumpat Abdullah Sa'amah, dipetik Utusan Malaysia kelmarin bahawa bahawa umat Islam tidak boleh menyokong DAP kerana ia haram serta berdosa.

Gesaan itu adalah ekoran pendirian parti Pas untuk terus bekerjasama dengan DAP sedangkan pengerusi DAP Karpal Singh berkeras supaya Pas menggugurkan niat untuk menjadikan Malaysia sebuah negara Islam.

Mohd Asri, Ahli akademik dari Universiti Sains Malaysia dan baru pulang ke tanah air selepas dilantik sebagai felo di Pusat Pengajian Islam Oxford selama lapan bulan menambah, jika perkara tersebut dilihat secara menyeluruh dan perlu dibincangkan, ia harus dibawa ke Majlis Fatwa Kebangsaan untuk membuat keputusan.

"Kita tidak boleh membuat fatwa sendiri, kita kena bincang perkara ini supaya tidak bercelaru," kata beliau sambil berkata, pandangan sedemikian tidak wajar kerana boleh membawa kepada kemudaratan dalam negara yang penduduknya pelbagai kaum dan agama.

Katanya, realiti politik di negara ini berbeza dan ia disedari oleh komponen Pakatan Rakyat (PR) dan Barisan Nasional (BN).

Sambil menekankan bahawa beliau tidak mahu menyentuh secara mendalam soal fatwa, Mohd Asri berkata, jika DAP dilabel sebagai "kafir harbi", ia akan membawa kesan yang mendalam, seolah-olah meminta orang Islam berperang.

"Saya tidak kata apa yang diperkatakan itu betul atau salah, tetapi kenyataan dikeluarkan mengenai soal haram dan dosa, perlu diteliti semula, kemudian boleh berbincang. Saya lihat itu hanya pandangan peribadi sahaja," kata beliau lagi.

"Kemungkinan dia tidak tahu kesan kenyataan, kesan perkataan dikeluarkan, tidak tahu bahawa ia boleh membawa kepada permusuhan, tidak baik bagi negara majmuk dan pelbagai agama seperti Malaysia," katanya.

Mohd Asri juga berkata, beliau tidak memihak kepada PR atau BN yang ada parti komponen atau wakil rakyat bukan Islam.

"Juga ada wakil bukan Islam dalam kerajaan. Jadi, kita perlu fikir semula perkara (kenyataan) itu semula," katanya lagi.

"Haram perlu kedua-dua sebelah. Kita tidak boleh memilih, hanya satu parti... jadi kita memerlukan penjelasan, kita kena menjustifikasikan," katanya lagi.

Sehubungan itu katanya, pada 1980-an, Pas sendiri pernah berpendirian sedemikian dengan menggunakan perkataan kafir ke atas penyokong BN.

"Tetapi hari ini mereka sedar bahawa pemerintahan negara ini memerlukan sokongan pelbagai pihak. Pas sudah berubah. Dan, hari ini seolah-olah Umno mengambil pendirian macam Pas tahun 1980-an.

"Esok, keadaan akan berubah. Jadi kita boleh menggunakan agama sebagai panduan berpolitik, tetapi tidak harus menjadikan ia sebagai instrumen politik.

"Agama mengatasi politik. Jadi, kita jangan campur aduk politik dan agama, jangan gunakan agama untuk politik," katanya lagi.

  Sinar Harian Online

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails