Saturday, July 14, 2012

Rafizi dedahkan kerana penyelewengan MCA, 4,000 ekar tanah digadai oleh Talam Corporation..


Semalam Pengarah strategi PKR Rafizi Ramli  mengancam untuk mendedahkan kaitan parti BN dengan syarikat Talam Corporation sekiranya timbalan menteri daripada parti itu, Datuk Chua Tee Yong (gambar) terus menyerang Pakatan Rakyat Selangor.

"Sekiranya dia teruskan, minggu depat saya akan panggil satu lagi sidang media untuk tunjukkan siapa sebenarnya yang mendapat untung daripada Talam," katanya.

Tapi.. tak sampai minggu depan.. hari ini dia dah dedahkannya...

Talam Corporation adalah anak emas Umno/MCA di bawah pentadbiran mereka dahulu. Selain diberikan tanah, Talam Corporation juga mendapat pelbagai projek besar yang dikendalikan oleh Kerajaan Selangor pada ketika itu.

Maka tidak hairanlah, sekurang-kurangnya 4,259 ekar tanah telah dipindahmilik kepada Talam Corporation di bawah pentadbiran Umno/MCA di Selangor. Lebih memualkan, pentadbiran Umno/MCA juga menutup mata kepada kegagalan Talam Corporation membayar cukai tanah dan premium kepada Kerajaan Negeri, termasuk bagi tanah-tanah seperti berikut:

1. RM11.26 juta tunggakan cukai tanah bagi tanah seluas 1,276 ekar di Bukit Beruntung

2. RM526,421 tunggakan cukai tanah bagi tanah seluas 25.94 ekar di Bukit Beruntung

Tidak cukup dengan kealpaan kerajaan Umno/MCA mengutip cukai tanah dari kroni mereka, rakan-rakan karib Datuk Chua Tee Yong di dalam MCA juga tidak segan silu membenarkan tanah-tanah ini dicagarkan pula oleh Talam Corporation kepada bank, sedangkan mengikut undang-undang selagi cukai tanah belum dibayar hakmilik tidak boleh dipindahkan.

Oleh sebab kealpaan dan penyelewengan MCA jugalah, sebahagian besar tanah seluas lebih 4,000 ekar ini digadaikan oleh Talam Corporation kepada bank. Hutang bank tertunggak Talam Corporation kepada bank, ketika Kerajaan Selangor di bawah Tan Sri Khalid Ibrahim mengambil keputusan nekad merampas tanah-tanah ini, sudah pun mencecah RM286 juta.

Pada masa yang sama, Talam Corporation juga berhutang dengan anak-anak syarikat Kerajaan Selangor apabila pelbagai projek usahasama dan tender yang dimenanginya gagal disiapkan.

Sekali lagi, rakan-rakan karib Datuk Chua Tee Yong langsung tidak menghiraukan rekod buruk Talam Corporation apabila tender-tender dan perjanjian usahasama ini dianugerahkan kepada Talam Corporation.

Akibat dari pelbagai projek usahasama dan tender yang gagal, Talam Corporation berhutang sejumlah RM392 juta kepada anak-anak syarikat Kerajaan Selangor.

Penyelewengan yang ditinggalkan oleh kerajaan Umno/MCA ini akhirnya terpaksa diselesaikan oleh pentadbiran Pakatan Rakyat.

Ini bermula dengan merampas kembali tanah-tanah dan harta yang masih dimiliki Talam Corporation, termasuklah tanah-tanah yang telah digadaikan kepada bank-bank. Jumlah tanah-tanah dan harta yang dirampas dari Talam Corporation oleh pentadbiran Pakatan Rakyat mencecah RM684 juta.

Pun begitu, tanggungjawab kepada pemiutang lain dan bank juga perlu diselesaikan supaya tanah-tanah ini bebas dari gadaian dan boleh dibangunkan oleh anak-anak syarikat Kerajaan Selangor di masa hadapan.

Dari jumlah RM684 juta harta yang dirampas tadi, sejumlah RM292 juta digunakan untuk melangsaikan hutang-hutang bank dan pemiutang lain untuk membebaskan tanah-tanah tersebut dari gadaian.

Hasil bersih inilah; yang berjumlah RM392 juta adalah bersamaan dengan hutang-hutang Talam Corporation, yang akhirnya berjaya dikutip oleh pentadbiran Pakatan Rakyat.

Kiraan ini adalah cukup mudah, tetapi dirumitkan oleh Datuk Chua Tee Yong untuk mengaburi mata rakyat.

Saya memberi amaran supaya beliau cepat-cepat menghentikan fitnah ini sebelum lebih banyak fail-fail penglibatan pimpinan MCA dalam kesemua usahasama dan projek yang gagal ini didedahkan kepada rakyat.

Kenyataan penuh sila baca di ( Rafizi Ramli )

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails