Friday, July 13, 2012

Skandal Noh Omar pula didedah.. beli 30 ekar tanah pada harga RM100,000 saja? (Video Inside)


Dewan Negeri Selangor (DNS) semalam digemparkan tentang skandal pembelian tanah oleh Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar di Bagan Tengkorak, Tanjong Karang pada 1995.

Lebih lagi, Noh, yang sekarang Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, telah memulakan projek ternakan udang pada tahan 30 ekar itu bersama sebuah syarikat Pristine Agrofood Sdn Bhd.


Penglibatan Noh di dalam syarikat itu, kata Ng Suee Lim (DAP-Sekinchan) yang mendedahkan skandal tersebut, menimbulkan persoalan percanggahan kepentingan kerana Noh merupakan menteri yang bertanggungjawab mengelola industri itu.

Noh membeli tanah 30 ekar itu dengan hanya membayar RM100,000 berbanding harga asal kira-kira RM3 juta pada ketika itu, kata Suee Lim.


Katanya, tanah itu yang asalnya berstatus komersil kemudiannya ditukar kepada tanah pertanian demi menjayakan projek ternakan udang itu pada 2011.

“Rakyat susah untuk mendapat tanah tetapi seorang pemimpin kanan diberi tanah dengan mudah pada ketika itu. Saya telah melawat kawasan itu dan mendapati statusnya adalah untuk ternakan udang,” katanya semasa sesi perbahasan di hari terakhir persidangan DNS.

Suee Lim dalam pada itu turut mendedahkan surat akuan sumpah yang membuktikan usahasama Noh bersama pengarah Pristine Agrofood Sdn Bhd, Chu Bak Teck.


Mengikut dokumen yang didedahkan Suee Lim, Noh mendapat tanah itu pada 13 Jun 1995. Hasil carian di laman web Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) menunjukkan Noh memenangi kerusi Ahli Parlimen Tanjong Karang buat kali pertama pada April 1995.

“Kes ini saya anggap sebagai skandal tanah dan bukti wujudnya percanggahan kepentingan kerana beliau ketika ini ialah seorang menteri yang memegang portfolio pertanian dan industri asas tani yang secara terang terlibat secara langsung dalam industri itu.

“Di manakah maruah Umno-BN yang kononnya memperjuangkan hak rakyat tetapi parti terlibat dalam kes sapu tanah rakyat?” soalnya.

Sementara itu, DNS meluluskan Rang Undang-undang yang dicadangkan Suee Lim supaya tidak membenarkan wakil rakyat, ahli majlis dan pihak berkuasa tempatan membuat sebarang permohonan untuk memiliki tanah kerajaan negeri.

Usaha TV Selangor menghubungi Noh bagi mendapatkan respon beliau bagaimanapun gagal. Panggilan dan mesej pesanan ringkas yang dihantar kepada nombor telefon beliau tidak dibalas - Selangorku

Untuk pengetahuan semua tanah seluas 30 ekar ialah kira-kira seluas 15 padang bola.. dan berikut adalah jawapan Noh Omar.. dengar betul-betul apa yang dia kata..


Noh Omar dituduh mendapatkan tanah seluas 30 ekar pada harga RM100,000 pada 13 Jun 1995 tapi dia jawab "Kalau dia (Swee Lim) tuduh salah guna kuasa, suruh dia lapor SPRM lah kalau kita ada salah guna kuasa, kita ada undang-undang.

"Kemudian dia dakwa ada satu tanah RM3 juta, saya nak suruh dia beli tanah RM3 juta, dia dah tak ada isulah, saya belum jadi ketua bahagian (Umno) lagi (pada) tahun 2002... dah lama... bila tiada isu dia ungkit," katanya.

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails