Monday, June 11, 2012

Terpedaya dengan Utusan rupanya.. sebab itulah pesara Polis ini fitnah Mat Sabu..


PULAU PINANG: Perbicaraan kes Haji Mohamad Sabu yang didakwa kerana dikatakan memfitnah polis Bukit Kepong di bawah seksyen 500 Kanun Keseksaaan menyaksikan kegemparan apabila pengadu kes tersebut beberapa kali meminta maaf kepada beliau dan meminta Mahkamah membebaskannya dari pertuduhan.

Saksi pendakwa tersebut Visvanathan a/l Muthu iaitu seorang pesara polis yang memberi keterangan beliau hari ini berulang-ulang kali meminta maaf kepada Mat Sabu sambil mengangkat tangannya kepada Mat Sabu dan meminta mahkamah membebaskan beliau.

Beliau berkata demikian apabila di soal balas secara panjang lebar oleh peguambela Mat Sabu, Mohamed Hanipa Maidin di Mahkamah Sesyen hari ini.

Semasa pemeriksaan balas tersebut beliau mengakui bahawa laporan polis yang beliau pada 27 Ogos 2011 adalah semata-mata berdasarkan laporan Utusan Malaysia pada tarikh yang sama.

Berikut adalah antara lain petikan soal balas Hanipa dengan saksi tersebut.

Soalan peguambela (S): Kamu setuju kamu sendiri tak dengar ceramah Mat Sabu?

Jawapan saksi(J): Ya, setuju.

S: Kamu setuju apabila kamu tak dengar apa yang Mat Sabu kata, kamu sebenarnya tak tahu apa yang Mat Sabu kata?

J: Ya. Setuju.

S: Cuba kamu lihat laporan laporan akhbar Utusan dan petikan ucapan Mat Sabu, setuju tak apa yang ditulis oleh Utusan adalah tidak sama dengan apa yang Mat Sabu kata?

J : Ya, setuju.

S : Mat sabu tak ada kata perkataan komunis langsung dalam ucapan beliau tapi Utusan ada kata, betul tak?

A : Betul.

S: Kamu setuju atau tidak apa yang kamu tulis dalam laporan polis kamu yang katakan Mat Sabu menfitnah polis dan menyokong komunis adalah tidak betul?

J : Ya, setuju.

S : Jadi laporan polis kamu tidak betul dan saya katakan bukan Mat Sabu yang memfitnah polis tetapi kamu yang sebenarnya memfitnah Mat Sabu dalam laporan polis kamu?

J : Ya, saya setuju. Saya mahu minta apology (maaf) kepada beliau (sambil tunjukkan tangan minta maaf pada Mat Sabu yang ada di kandang orang kena tuduh).

S : Dalam laporan polis kamu ada sebut minta polis ambil tindakan undang-undang Mat Sabu, kamu masih mahu 'stick' kepada apa yang kamu katakan?

J : Tidak, saya mahu minta maaf pada Mat Sabu dan 'he is now my brother'. Saya mahu Mat Sabu dibebaskan.

S: Kamu kata Mat Sabu derhaka pada Yang Dipertuan Agong, saya ingin tanya pada kamu macam mana kamu boleh kata dia derhaka kepada Agong, sedangkan pada masa peristiwa Bukit Kepong Malaysia belum wujud dan Yang Di Pertuan Agong pun belum ada. Macam mana Mat Sabu boleh derhaka pada benda yang belum ada?

J :Saya tidak boleh jawab soalan itu.

S: Jadi kamu setuju kamu tidak cakap benda betul dalam laporan polis kamu?

A: Setuju.

Saski juga mengakui dia tidak tahu di mana Bukit Kepong dan apabila terus ditanya oleh Hanipa beliau menyatakan Bukit Kepong terletak di Selangor dan Hanipa lantas menyampuk "Itu Kepong bukan Bukit Kepong!"

Saksi tersebut yang mengidap diabetik beberapa kali terpaksa berhenti memberi keterangan kerana dikhuatiri akan pengsan kerana berdiri terlalu lama.

Apabila disoal semula oleh pihak pendakwa saksi sekali lagi meminta maaf pada Mat Sabu dan berkata beliau menyesal (kerana buat laporan polis ke atas Mat Sabu).

Selepas selesai memberikan keterangan saksi tersebut dilihat berjalan menuju ke kandang Mat Sabu dan terus bersalam dengan beliau dan meminta maaf sekali lagi.

Kes kemudiannya ditangguhkan ke 13,16 dan 17 Julai depan kerana Hanipa memaklumkan mahkamah bahawa Mat Sabu sedang menunggu tarikh rayuannya di Mahkamah Rayuan bagi membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang yang enggan membatalkan pertuduhan ke atas beliau.

Mat Sabu diwakili oleh Mohamed Mohamed Hanipa Maidin, Amin Zulkifli dan Nasar Khan manakalan Encik Husaini mewakili pihak pendakwa.

Galeri Mahkamah yang dipenuhi pemerhati turut menyaksikan kehadiran Ustaz Salleh Man, Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang dan Ahli Majlis dari DAP iaitu saudara Francis. - Harakahdaily

Laporan Utusan yang disiarkan pada 27 Ogos 2011

Kenyataan Mat Sabu kurang ajar


PUTRAJAYA 27 Ogos - Bekas tentera di negara ini menyelar Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu yang menganggap pengganas komunis hero sebenar tragedi Bukit Kepong dan menyifatkan kenyataannya sebagai biadab dan kurang ajar.

Ketua Penerangan Persatuan Veteran Tentera Melayu (PVTM), Mohd. Jurit Ramli yang amat terkejut dengan kenyataan Mohamad Sabu itu menegaskan, ia jelas satu penghinaan besar terhadap seluruh bekas anggota pasukan keselamatan negara serta keluarga arwah yang terkorban melawan komunis pada era darurat.

Serentak itu, bekas tentera yang pernah berkhidmat dalam pasukan Malbatt Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu menyeru semua bekas tentera dan polis bersatu untuk 'menyerang hendap' Pas pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) nanti.

"Jika dia (Mohamad Sabu) sekali kurang ajar, kita (bekas tentera) akan lebih 10 kali kurang ajar terhadap dia.

"Kita pasti janjikan 'serang hendap' terhadap Mohamad Sabu dan Pas pada PRU13 jika Mohamad Sabu tidak memohon maaf secara terbuka kepada seluruh bekas tentera dan keluarga arwah-arwah yang terkorban menentang komunis.

"Kita nak tengok semasa PRU13 itu sama ada Mohamad Sabu hendak dapatkan bantuan komunis ke atau tidak.

"Kita harap dia faham mesej keras kita ini, tapi yang jelas Mohamad Sabu ni memang tak tahu bersyukur dan mengenang budi... bekas tentera sungguh terluka dan sedih dengan kenyataan tidak berperikemanusiaan ini," katanya yang juga Setiausaha Gabungan NGO Malaysia (GNM) kepada Mingguan Malaysia, hari ini.

Dianggarkan ketika ini terdapat lebih 300,000 bekas tentera di negara ini manakala di sebelah pasukan polis seramai 150,000 orang.

Mohamad Sabu dalam ceramahnya di Tasek Gelugor, Pulau Pinang pada 21 Ogos lalu, menganggap pengganas komunis dalam Kompeni Pasukan Keempat Parti Komunis Malaya yang membunuh anggota keselamatan serta keluarga mereka dalam tragedi Bukit Kepong sebagai hero sebenar.

Menurutnya, Muhammad Indera, lelaki Melayu yang bersekongkol dengan Goh Peng Tun dan 200 anggota komunis adalah hero sebenar, bukannya 25 anggota polis dan keluarga mereka yang mempertahankan diri ketika serangan di balai polis itu.

Dalam ceramahnya itu, Mohamad turut mendakwa Datuk Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman tidak layak dianggap pejuang kemerdekaan kerana kedua-dua tokoh itu pegawai British.

Mohd. Jurit berkata, sepatutnya pada bulan Ramadan yang mulia ini dan menjelang sambutan Hari Kemerdekaan ke-54, Mohamad Sabu menyedekahkan Fatihah kepada arwah-arwah anggota tentera yang terkorban melawan komunis dan menjaga keselamatan negara.

"Ini tidak, melalut tak tentu arah...kita harapkan Mursyidul Am Pas (Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) dapat memberikan tazkirah kepada Mohamad Sabu...ramai tentera dan bekas tentera marah dengan kenyataan yang tidak disangka-sangka ini," katanya.

Utusan Online

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails