Monday, June 18, 2012

Rafizi nak menyusahkan UMNO/BN lagi...


Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli berkata, sebahagian daripada  RM30 juta dana yang diperuntukkan untuk pendidikan di Selangor akan digunakan sepenuhnya bagi membantu siswa dari segi kewangan dan sebagainya.

Menurut beliau, RM15 juta pertama yang direncanakan adalah untuk menarik balik kontrak konsesi di Universiti Selangor (Unisel) dan Kolej Universiti Islam Selangor (Kuis) kerana dengan penarikan itu akan menurunkan kos pengurusan infrastruktur universiti.

“Kita (Pakatan Rakyat (PR)) akan tebus balik konsesi kroni-kroni Umno yang menyebabkan kos penyelenggaraan universiti di Selangor menjadi terlalu mahal contohnya seperti konsesi Adun (Ahli Dewan Undangan Negeri) Permatang di Kuis selama 30 tahun dan satu kontrak ‘potong rumput’ di Unisel berjumlah hampir (RM) 1 juta setahun,” katanya.

Beliau menjelaskan demikian hasil daripada maklumat rasmi yang dihuraikan oleh pejabat Menteri Besar (MB).

Rafizi berkata, sebahagian dari jumlah itu juga akan dibahagikan kepada beberapa kaedah termasuk menyediakan tabung mahasiswa supaya bantuan terus boleh disalur kepada pelajar dalam bentuk kewangan.

“Kerajaan negeri akan turut memberi insentif lain kepada Unisel untuk kita betul-betul kurangkan kos, langkah pertama, kita (PR) akan pastikan pelajar menggunakan kemudahan kerajaan negeri seperti tanah, bangunan dan jalan tanpa kita ambil sewa satu sen pun,” katanya.

Demikian jaminan beliau ketika berucap di Majlis Pidato Perdana Pakatan Rakyat ke Putrajaya di Flat Kelompok Camar, Kampung Tasek Permai, Ampang Rabu lalu.

Hadir sama, Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin; Adun Lembah Jaya, Khasim Abdul Aziz; dan Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

Kerajaan Selangor tanggung kos pengajar lanjut pengajian

Bagi insentif kedua pula, menurut Rafizi, Kerajaan Selangor akan terus memberi peruntukan dari dana sedia ada supaya Unisel boleh menghantar lebih banyak tenaga pengajar untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.
“Kalau di universiti lain, kos untuk hantar pensyarah belajar ditanggung oleh universiti, dan itu menyebabkan kos meningkat. Maka kos itulah yang akan dimasukkan ke dalam yuran, sebab itu yuran jadi tinggi,” jelas beliau lagi.

“Saya yakin dan percaya, jika pelan ini dijalankan dalam tempoh enam bulan, InsyaAllah masuk semester akhir tahun ini, kalau tidak percuma pun, Unisel akan menawarkan yuran yang paling murah di Malaysia, hampir kepada percuma,” kata beliau yakin.

“Apabila kita sampai ke Putrajaya, kita akan laksanakan pula pendidikan percuma ini untuk seluruh rakyat Malaysia. Jadi perancangan enam bulan ini cukup untuk kita memastikan anak-anak kita tidak terbeban dan tidak boleh lagi diugut olehkerajaan Umno BN seperti yang berlaku sebelum ini,” katanya.

Rafizi berkata, pada peringkat ini, MB sedang dalam proses menstruktur semula aset Unisel dan dijangka dalam tahun ini manfaat tersebut akan dinikmati oleh pelajar.

Katanya, RM15 juta lagi baki daripada peruntukan itu masih dalam peringkat perbincangan di antara Ahli Lembaga Pengarah Unisel bersama MB.

Sebelum ini, MB Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, Unisel akan menggunakan aset hartanah bernilai
RM30 juta bagi membantu pelajarnya meneruskan pengajian selepas Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) membeku pemberian pinjaman kepada pelajar universiti itu.

Katanya, aset hartanah seluas 500 ekar yang akan digunakan bagi tujuan berkenaan diperolehi hasil daripada penyusunan semula hutang Talam Corporation.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan membantu Unisel mengapungkan hartanah tersebut di pasaran untuk mendapatkan wang tunai.

“Dianggarkan sejumlah RM30 juta boleh diperolehi hasil dari usaha ini.

“Sebahagian wang ini akan digunakan untuk membantu pelajar-pelajar yang teraniayai,” katanya dalam satu kenyataan.

PTPTN membekukan pinjaman membabitkan pelajar baru Unisel bertujuan memberi peluang kepada Pembangkang membuktikan mereka mampu memberi pendidikan percuma di negeri itu.

Pembekuan tersebut hanya membabitkan permohonan baru kemasukan April lalu.
Keputusan itu dibuat selepas mengambil kira desakan Pembangkang supaya pinjaman tersebut dimansuhkan dan pendidikan percuma diperkenalkan di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di negara ini.


 http://www.keadilandaily.com/?p=31688

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails