Tuesday, June 12, 2012

Himpunan BERSIH 'haram' bukan fatwa tapi nasihat kata Mashitah


6 Mei lalu, Utusan telah melaporkan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia hari ini memutuskan adalah haram untuk umat Islam menyertai perhimpunan atau demonstrasi yang bertujuan tidak baik, melanggar undang-undang serta mencetuskan huru-hara dan kekacauan dalam negara.

Pengerusinya, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Abdul Shukor Husin berkata, jawatankuasa memandang serius isu itu kerana sebahagian umat Islam telah bertindak sebagai perusuh jalanan dalam banyak perhimpunan atau demonstrasi termasuk seperti yang berlaku pada perhimpunan di ibu negara 28 April lalu.

Tapi... hari ini pula...


Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan tidak pernah mengeluarkan sebarang fatwa berhubung pengharaman demonstrasi jalanan di ibu negara pada 28 April lepas seperti mana yang didakwa parti pembangkang.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mashitah Ibrahim berkata jawatankuasa itu sebaliknya hanya mengeluarkan kenyataan media sebagai nasihat daripada anggota muzakarah jawatankuasa berkenaan yang bersidang awal bulan lepas.

"Perkara ini telah dipersetujui oleh semua ahli muzakarah supaya nasihat mengenai penglibatan umat Islam yang bertindak sebagai perusuh jalanan yang telah membawa kerosakan dan musibah kepada negara dikeluarkan melalui satu kenyataan media," katanya.

Mashitah berkata demikian ketika menjawab ucapan penangguhan oleh Ahmad Kasim (PKR-Kuala Kedah) mengenai fatwa pengharaman perhimpunan jalanan yang didakwa dikeluarkan oleh jawatankuasa berkenaan.

Menjelas lanjut Mashitah turut menegaskan bahawa anggota jawatankuasa itu yang dilantik atas perkenan Majlis Raja-Raja tidak mempunyai sebarang kepentingan politik melainkan untuk kepentingan agama dan ummah.

"Oleh itu nasihat jawatankuasa fatwa adalah bebas daripada pengaruh mana-mana pihak dan tidak terikat dengan kepentingan individu mahupun mana-mana organisasi," katanya.

Mashitah berkata antara isi kandungan kenyataan media itu menyebut anggota muzakarah memandang serius tindakan sebahagian masyarakat, khususnya umat Islam yang bertindak sebagai perusuh jalanan seperti mana yang berlaku pada demonstrasi itu yang telah membawa kerosakan dan musibah kepada negara.

"Sebagai umat Islam seharusnya kita mensyukuri keamanan, kemakmuran dan perpaduan yang telah dinikmati dan diwarisi sekian lama.

"Pegangan Ahli Sunnah Waljamaah yang menjadi tunjang pegangan kita sebagai umat Islam di Malaysia sejak sekian lama wajib kita pertahan daripada apa jua anasir negatif kerana pegangan inilah yang menjadi perisai kepada umat Islam daripada terjebak dengan perlakuan yang dimurkai oleh Allah dan rasulnya," katanya.

Mashitah berkata sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi, banyak saluran perbincangan yang lebih bermanfaat boleh dilaksanakan tanpa perlu menggadai keamanan negara.

Justeru, mereka yang terlibat di dalam demonstrasi itu khususnya umat Islam perlu sedar dan insaf bahawa perbuatan itu bukan ajaran Islam kerana Islam tidak pernah menyuruh umatnya secara tidak hak mengancam nyawa sesama manusia, menimbulkan huru hara dan merosakkan negara demi mencapai sesuatu agenda, katanya.

Persidangan Dewan disambung esok. - Bernama

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails