Wednesday, June 20, 2012

Empat asset NFC disita bantu siasatan pecah amanah

KUALA LUMPUR, 19 Jun – Empat aset milik Perbadanan Fidlot Nasional Sdn Bhd (NFCorp) melibatkan kes pecah amanah bernilai RM49.7 juta disita mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiyaan Keganasan (AMLATFA) 2001.

Penolong Ketua Urus Setia Ketua Polis Negara (Perhubungan Awam) Bukit Aman ACP Ramli Mohamed Yoosuf dalam kenyataan hari ini berkata bahagian Siasatan Pencegahan Wang Haram, Pasukan Petugas Khas (Operasi/Counter Terrorism) Bukit Aman sedang menjalankan satu siasatan berkaitan syarikat NFCorp di bawah Seksyen 4(1) AMLATFA 2001 bersabit laporan Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.

“Hasil siasatan telah mengenal pasti empat harta tak alih telah menjadi ‘subject matter’ kepada kes,” katanya.

Susulan itu beliau berkata Timbalan Pendakwa Raya Anselm Charles Fernandis telah berpuas hati dan telah mengeluarkan perintah penyitaan terhadap kesemua harta tak alih berkenaan di bawah Seksyen 51(1) AMLATFA 2001, semalam.

Empat aset yang disita itu ialah dua unit ‘One Menerung’ kondominium di sini untuk unit B1-2 dan B1-1, dan dua unit tanah di lot 4 dan lot 5, Precint 10, Bandar Putrajaya.

“Bagi memenuhi peruntukan di bawah Seksyen 51(1) AMLATFA 2001, adalah menjadi kewajipan supaya perintah penyitaan itu disiarkan di dua akhbar utama berbahasa kebangsaan dan bahasa inggeris sebelum 20 Jun ini,” katanya.

Ramli berkata kegagalan mematuhi peruntukan itu adalah menjadi satu kesalahan di bawah Seksyen 86 AMLATFA 2001.

Pada 12 Mac lepas, Pengerusi eksekutif NFCorp Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail, 64, didakwa menyelewengkan RM9,758,140 dalam kapasitinya sebagai pengarah NFC, bagi membiayai pembelian dua unit kondominium di ‘One Menerung’ di Bangsar antara 1 dan 4 Dis 2009 di CIMB Islamic Bank Bhd di Taman Tun Dr Ismail.

Tuduhan kedua melibatkan pemindahan RM40 juta ke dalam akaun National Meat & Livestock Corporation Sdn Bhd, di mana Mohamad Salleh dan seorang daripada anaknya adalah pengarah, antara 6 Mei dan 16 Nov, 2009. – Bernama

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails