Wednesday, June 6, 2012

Bukti TNB naikkan tarif elektrik dalam diam...


KUALA ROMPIN - Rata-rata pengguna di sekitar Bandar Kuala Rompin, di sini, merungut berikutan kenaikan kadar tarif elektrik sambil menyifatkan kadar itu terlalu membebankan pengguna.

Peniaga dan penduduk mendakwa, kenaikan tarif elektrik itu ­dianggap sebagai tidak munasabah kerana terpaksa membayar sekurang-kurangnya sekali ganda berbanding sebelum ini.

Keadaan itu merunsingkan pengguna terutama bagi golongan ­berpendapatan rendah yang ­terpaksa ­mengimbangi kenaikan kos sara ­hidup dan bahan mentah lain.

Pengguna mendesak agar Tenaga Nasional Berhad (TNB) Cawangan Rompin menyemak semula tarif ­elektrik di daerah itu kerana ia menimbulkan rasa tidak puas hati ­dengan ­kenaikan mendadak berkenaan.

Penyata bil mengelirukan

Kasmah menunjukkan berlaku peningkatan bil elektrik mendadak bil pada April

lalu berbanding Mac.
Seorang suri rumah, Balkish Mohd Isa, 42, berkata, dia ­kecewa kerana terpaksa membayar bil ­elektrik tertunggak selama dua ­bulan ­kemungkinan dipercayai akibat dari-pada kesilapan teknikal TNB.

Menurutnya, pada pertengahan April lalu, dia menerima bil elektrik yang dihantar melalui pos dengan tertera jumlah semasa adalah RM0.

Namun, katanya, pada Mei lalu, dia terkejut apabila bil elektrik yang diterimanya tiba-tiba naik sekali ­ganda iaitu sebanyak RM94.45 hingga ­mengundang keraguannya terhadap pemeriksaan meter yang dijalankan pihak terbabit.

“Sangkaan saya mungkin bulan ini kami boleh berjimat kerana ­bulan lepas kami tidak ada tunggakan bil elektrik, namun sangkaan itu ­meleset apabila kami terpaksa membayar sekali ganda daripada kebiasaannya,” ­katanya kepada Sinar Harian.

Balkish berkata, sebagai peng­guna, timbul keraguan apabila mendapati bil yang diterima itu tidak menunjukkan tarikh sebenar bilakah bil ia dikeluarkan.

“Perkara ini seharusnya tidak terjadi kerana membebankan ­pengguna memandangkan terdapat kekeliruan pada penyata bil yang diberikan,” katanya.

Peniaga Kedai Makan, Tan Jit Fong, 46, berkata, dia terkejut apabila bil elektriknya pada Mei naik ­sebanyak RM225.88.

Jit Fong berkata, penggunaan elektrik di kedainya itu adalah sama seperti sebelum ini, namun kesal apabila terpaksa membayar caj lebih mahal.

Katanya, dia turut diberi notis pemotongan bekalan elektrik daripada TNB sekiranya gagal menjelaskan bayaran tertunggak tersebut.

“Biasanya jumlah bil elektrik yang perlu dijelaskan tidaklah sebanyak ini, namun saya hairan kerana jumlah tersebut berlipat kali ganda hingga membebankan kami untuk membayarnya,” katanya.

TNB disaran tingkat mutu perkhidmatan pelanggan

Pengusaha Kedai Dobi, Zanariah Buyong, 39, berkata, pada bulan lalu bil elektriknya naik kepada RM68.78 berbanding hanya RM40 pada April lalu.

Menurutnya, terdapat per­bezaan hampir RM30 yang terpaksa di­bayarnya pada bulan lalu sekali gus menyebabkan perniagaannya ­sedikit terjejas.

Katanya, peniaga kedai dobi ­bukan sahaja terpaksa bersaing ­dengan peniaga kedai mencuci pakaian lain, malah kini, mereka pula dihimpit kebimbangan dengan kenaikan tarif elektrik yang mendadak.

“Masalah bekalan elektrik yang sering terganggu dan kelewatan memperbaiki kerosakan antara sebab kenaikan itu perlu dikaji semula selain perlu penambahbaikan dari segi perkhidmatan pelanggan,” katanya.

Peniaga gerai makan, Kasmah Surat pula berkata, pada bulan ini, bil elektrik yang diterimanya hampir dua kali ganda apabila terpaksa memba­yar RM377 pada April lalu berbanding hanya RM188 bulan sebelumnya.

Menurutnya, jumlah bil yang terpaksa dibayarnya itu membebankan kerana jumlah bil elektrik biasanya ­tidak melebihi RM200 setiap bulan.

“Bagi peniaga seperti saya, ­jumlah itu terlalu tinggi dan membebankan kerana terpaksa ambil kira kos ­sampingan lain yang terpaksa di­bayar termasuk upah pekerja dan modal ­pusingan perniagaan,” katanya.

Pas serah memorandum bantahan kepada TNB

Sementara itu, Pas Kawasan Rompin menyerahkan satu memorandum bantahan kenaikan tarif elektrik kepada TNB dan menuntut agar ia dikaji secara menyeluruh sebelum kenaikan dibuat pihak terbabit.

Timbalan Pengarah Pilihan Raya Pas Dewan Undangan Negeri (Dun) Tioman, Mohd Fadzli Mohd Ramly berkata, memorandum itu diserahkan memandangkan ramai pengguna di Rompin merungut berhubung hal itu.

Menurutnya, Pas melihat kenaikan sehingga 200 peratus atau tiga kali ganda yang dihadapi sesetengah pengguna terlalu membebankan rakyat dan ia tidak seharusnya berlaku dalam keadaan taraf hidup yang semakin meningkat.

“Penyerahan memorandum ini dibuat adalah kerana kami mahu TNB mengkaji secara menyeluruh sebab kenaikan bil yang naik mendadak selain mengenal pasti apakah tindakan yang perlu diambil bagi memastikan bil yang tinggi itu mampu dibayar golongan berpendapatan rendah,” katanya.

Selain itu, beliau juga merayu agar TNB tidak membuat tindakan penguatkuasaan seperti pemotongan bekalan elektrik sekiranya pengguna tidak berupaya membayar bil yang tinggi.

“Kita minta budi bicara TNB supaya pengguna yang terbeban dengan kenaikan ini dapat membayar sebahagian daripada jumlah bil tersebut bagi memastikan mereka terus boleh menikmati bekalan elektrik berterusan,” katanya.

TNB nafi berlaku kenaikan tarif elektrik

Sementara itu Jurucakap TNB Pahang menafikan ­berlakunya ­kenaikan tarif elektrik hingga ­menyebabkan pengguna terbeban dengan situasi tersebut.

Katanya, terdapat beberapa ­kemungkinan menyebabkan bil yang diterima pengguna itu tinggi termasuk pembacaan meter anggaran yang dibuat TNB melalui Kedai Tenaga berhampiran.

Bagaimanapun, katanya, pem­bacaan anggaran itu akan diselaraskan semula pada bulan berikutnya bagi menentukan jumlah sebenar yang ­sepatutnya dibayar pelanggan.

“Sekarang ini kita akan baca meter dua bulan sekali termasuk satu bulan yang dibaca berdasarkan anggaran daripada Pusat Khidmat Pelanggan TNB Rompin yang kemudiannya bil itu akan dihantar dari rumah ke rumah melalui pos,” katanya.

Katanya, pengguna tidak perlu khuatir dengan keadaan itu sebaliknya mereka boleh merujuk hal itu di Pusat Khidmat Pelanggan TNB Rompin yang berhampiran bagi mengutarakan masalah yang dihadapi.


Sinar Harian

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails