Tuesday, June 5, 2012

BN dalam bahaya kerana salah akidah - TG Nik Aziz


PASIR MAS – Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, Umno dan Barisan nasional (BN) kini berada dalam zon bahaya kerana mereka mengamalkan akidah yang salah.

Beliau berkata, BN mengamalkan sistem pemerintah yang tidak berlandaskan hukum Islam dan tidak mustahil mereka akan menerima kesan buruk dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) kelak.

“Akhirnya mereka (BN) mengakui, mereka berada di dalam zon bahaya, kerana menolak Islam dan mengutamakan sistem kebangsaan yang digunakan oleh pihak Inggeris,” katanya, selepas solat Zohor bersama 300 penduduk di Kampung Kubang Agol, Chetok, di sini semalam.

Nik Abdul Aziz berkata demikian, bagi mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyatakan BN kini berada dalam zon bahaya.

Namun katanya, jika Umno dan BN mengikuti akidah seperti Nabi Muhammad SAW, pasti mereka tidak akan berada di dalam zon bahaya seperti sekarang.

Muhyiddin meluahkan rasa kecewa terhadap sebahagian daripada ahli BN yang mengamalkan politik wang sehingga menyebabkan rakyat hilang kepercayaan kepada parti komponen itu.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Peraturan dan Perlembagaan Umno berkata, politik wang sebelum ini, hanya berlaku ketika proses pemilihan di peringkat tertinggi, namun ketika ini ia sudah menular sehingga di peringkat cawangan.

Dalam perkembangan lain, Nik Abdul Aziz enggan mengulas mengenai kesudian anaknya, Nik Abduh Nik Abdul Aziz mahu bertanding dalam PRU13.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan akan menyatakan pendiriannya berhubung kenyataan Nik Abduh, di masa yang sesuai.

Dalam kenyataan hujung minggu lalu, Nik Abduh berkata beliau menunggu restu daripada ayahnya sekiranya parti menamakan beliau sebagai calon.

Nik Abduh yang juga Timbalan Ketua Pemuda Pas Pusat berkata, bapanya mengambil masa 40 tahun untuk mendidik beliau dalam dunia politik khususnya untuk menentang Umno.


Sinar Harian

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails