Friday, June 1, 2012

BERSIH 3.0 sebabkan populariti Najib merosot..


Paras populariti Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengalami sedikit penurunan daripada 69 peratus pada Februari lalu kepada 65 peratus bulan lalu, demikian menurut kajian terbaru kendalian Merdeka Center.


Penurunan ini direkodkan dalam kajian yang diadakan dua minggu selepas perhimpunan Bersih 3.0, yang menuntut pendekatan tambahan bagi menjamin pilihan raya bebas dan adil sementara spekulasi menyebut Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), yang pertama bagi beliau selaku Perdana Menteri keenam, akan diadakan dalam waktu terdekat.

"Satu kajian terbaru dijalankan di Semenanjung Malaysia mendapati kadar sokongan kepada perdana menteri merosot sedikit kepada 65 peratus pada bulan Mei (bulan lalu) daripada 69 peratus pada Februari lalu," kata Merdeka Center dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Sementara 65 peratus menyokong kepimpinan Najib, paras mereka yang tidak berpuas hati dengan prestasi beliau adalah sebanyak 29 peratus.

Populariti itu sama paras dengan sokongan yang disaksikan Mei tahun lalu.

Berdasarkan kaum, populariti Najib tinggi di kalangan responden Melayu iaitu 79 peratus, India (72 peratus) dan Cina (37).

Kajian kali ini dikendalikan membabitkan 1,019 responden antara 10 hingga 18 Mei. Perhimpunan Bersih 3.0 diadakan pada 28 April lalu.

Kajian Februari lalu menunjukkan kadar populariti beliau meningkat kepada 69 peratus berbanding 59 peratus Ogos lalu, selepas ia mengalami penurunan jika dibandingkan dengan kedudukan tahun 2010.

Kajian Ogos lalu dikendalikan kira-kira sebulan selepas Perhimpunan Bersih 2.0 di ibu negara. Sejak itu Najib mengumumkan beberapa pembaharuan sosiopolitik.

Populariti Najib, hasil kajian berkala Merdeka Center, telah menurun ke paras 59 peratus pada Ogos lalu selepas mencatat paras paling tinggi iaitu 72 peratus pada Mei 2010.

Populariti 69 peratus Februari lalu sama dengan paras yang direkodkan pada Mac 2010 iaitu 14 bulan selepas menjadi Perdana Menteri.

Pada Mei 2009, lebih sebulan selepas dilantik sebagai Perdana Menteri yang keenam, populariti Najib adalah sekitar 45 peratus.

Hasil kajian terbaru yang dikeluarkan hari ini juga menunjukkan bahawa kepuasan terhadap prestasi Najib selaku perdana menteri masih tinggi di kalangan responden berusia 50 tahun ke atas - sekitar 70 peratus tetapi paras kepuasan di kalangan mereka bawah 30 tahun hanya 61 peratus.

"Sebagaimana kajian sebelum ini, kepuasan di kalangan responden berpendapatan rendah (isi rumah dengan pendapatan bulanan RM1,500) adalah sangat tinggi.

"Kepuasan di kalangan responden-responden kalangan kumpulan berpendapatan pertengahan (isi rumah dengan pendapatan antara RM3,000 dan RM5,000) menunjukkan penurunan besar berbanding (kajian) bulan Februari lalu," kata beliau lagi.

Kajian terbaru menunjukkan sokongan ke atas populariti Najib di kalangan responden berpendapatan RM1,500 dan ke bawah meningkat daripada 78 peratus pada Februari 2012 kepada 82 peratus bulan lalu.


Sinar Harian

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails