Friday, May 4, 2012

Najib kata Himpunan Bersih 3.0 cuba guling k’jaan


GUA MUSANG: Perhimpunan badan bukan kerajaan yang disokong pembangkang berhampiran Dataran Merdeka di Kuala Lumpur, Sabtu lepas, adalah satu percubaan untuk menggulingkan kerajaan yang dipilih oleh rakyat menerusi sistem demokrasi, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata tindakan itu menunjukkan pihak yang terlibat tidak menghormati kerajaan yang dipilih oleh rakyat menerusi proses yang sah.

“Mereka ada niat untuk tawan Dataran Merdeka, bukan berhimpun untuk dua tiga jam tetapi dua tiga hari atau lebih daripada itu, nak gambarkan kerajaan tidak boleh mengawal keadaan.

“Mereka nak jadikan Dataran Merdeka sebagaimana Dataran Tahrir di Mesir,” katanya ketika berucap merasmikan Karnival Komuniti 1Malaysia Negeri Kelantan di Padang Pusat Sivik di sini, hari ini.

Perdana Menteri yang dalam lawatan kerja sehari ke negeri ini, berucap di hadapan lebih 30,000 orang yang mula menunggu ketibaan beliau sejak pukul 7 pagi di padang Pusat Sivik itu.

Hadir pada majlis tersebut antaranya Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin dan Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah.

Perdana Menteri berkata kerajaan tidak boleh berkompromi dengan kumpulan tersebut yang cuba menumbangkan kerajaan yang dipilih oleh rakyat secara sah.

Beliau berkata dalam cubaan kumpulan terbabit menawan Dataran Merdeka, mereka telah bertindak ganas antaranya mencederakan anggota polis dan wartawan serta merosakkan kenderaan polis dan harta awam.

Semalam, Timbalan Ketua Cabang PKR Rasah, R.Tangam merupakan orang pertama didakwa di mahkamah atas tuduhan melanggar perintah Mahkamah Majistret berhubung larangan menyertai perhimpunan yang bertukar ganas Sabtu lepas.

49 individu dikehendaki polis

Hari ini, polis menyiarkan gambar 49 individu yang dikehendaki polis dalam akhbar-akhbar tempatan yang disyaki terbabit dalam pelbagai kesalahan sepanjang perhimpunan itu.

Perdana Menteri berkata kumpulan tersebut menyalahkan polis yang didakwa menyebabkan tercetusnya kekecohan pada perhimpunan tersebut.

Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional mencabar kumpulan itu agar bersaing melalui saluran pilihan raya.

“Kepada kumpulan ini, bersainglah di peti undi, kalau anak jantan bersainglah di peti undi.

“Saya tidak nafikan ada sedikit sebanyak kekasaran oleh polis, tetapi perkara ini boleh dielakkan jika mereka hormati undang-undang yang diluluskan Parlimen,” katanya.

Perdana Menteri berkata kerajaan telah menawarkan lokasi yang sesuai untuk mereka berhimpun secara aman termasuk di Stadium Merdeka tetapi mereka menolak tawaran itu.

“Mereka tolak Stadium Merdeka kerana niat mereka itu, kalau negara harmoni dan semua dalam keadaan baik, mereka tidak boleh duduk di takhta Putrajaya,” katanya.

Sementara itu, Najib berbangga dengan orang ramai termasuk penduduk di Gua Musang, yang membanjiri padang Pusat Sivik itu, yang dapat berhimpun secara aman dengan semangat perpaduan yang tinggi tanpa mencetuskan keadaan huru hara.

“Saya tabik kepada orang Gua Musang, kita boleh beritahu pada puak yang berhimpun dekat Dataran Merdeka bahawa orang Gua Musang lebih bertamadun daripada mereka.

“Mereka (penduduk Gua Musang) mencerminkan masyarakat madani, menghormati prinsip undang-undang dan tidak mahu kacau bilau,” katanya.

- Bernama

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails