Sunday, May 13, 2012

Muhyiddin akui PRU13 akan tentukan Hidup atau Mampus UMNO..


Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan Pilihan Raya Umum ke-13 adalah penentu kepada kelansungan Umno dan Barisan Nasional (BN) untuk mentadbir negara.

Timbalan Perdana Menteri itu menegaskan, pilihan raya yang bakal dilaksanakan dalam masa terdekat itu adalah “ibu” kepada segala pilihan raya dan Umno bakal berhadapan dugaan yang paling getir.

“Inilah saat yang ketikanya Umno akan berhadapan dengan dugaan yang paling getir. PRU13 adalah ibu kepada segala pilihan raya.

“Ingatlah, apa yang kita pertaruhkan bukan sekadar kuasa politik, tetapi seluruh isi perjuangan dan nasib kepada sebuah bangsa,” katanya dalam ucapan sewaktu Majlis Sambutan Ulangtahun ke-66 parti terbesar Melayu itu di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini malam tadi.

Jelas Timbalan Presiden Umno ini lagi, rakyat seharusnya tidak menyerahkan kuasa kepada musuh mereka dan merosakkan akidah dengan ideologi songsang pembangkang.

“Jangan kita biarkan musuh-musuh merosakkan perpaduan dan keharmonian yang telah kita bina.

“Jangan benarkan mereka menyebarkan dakyah dan ideologi songsang yang mempengaruhi akidah kita,” katanya di hadapan sekitar 60,000 peserta di dalam stadium dan ribuan lagi di luar stadium.

Tambah Ahli Parlimen Pagoh ini lagi, rakyat juga seharusnya tidak membiarkan “dakyah fahaman yang menyesatkan mereka mengharu birukan rakyat”.

Justeru, beliau mengharapkan rakyat akan terus memberikan sokongan penuh kepada Umno hanya kerana parti itu sahaja yang menjadi benteng rakyat.

“Umno perlu kekal sebagai benteng kepada rakyat. Umno sebenar-benarnya pembela rakyat.

“Andaikata benteng ini rosak dan terhakis, akan rosaklah segala kota perpaduan dan keharmonian yang terbina selama ini,” katanya diikuti sorakan dan tepukan gemuruh peserta “Gelombang Merah”.

Tambah Muhyiddi, Umno juga sedia berubah seiring dengan perubahan yang dialami landskap politik tanah air.

“Landskap politik sudah berubah. Pendekatan kita juga sudah berubah, namun matlamat dan hasrat perjuangan Umno akan kekal utuh.

“Umno sudah membuktikan kemampuan untuk berubah mengikut kesesuaian masa dan tidak akan berkompromi dengan apa yang kita perjuangkan,” katanya lagi.

Perhimpuanan rasaksa Umno ini disertai oleh ahli diperingkat akar umbi dari seluruh negara dan mereka akan berkampung di Bukit Jalil bermula hari ini hingga Ahad ini.


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails